Sebagai bekas pedagang pertukaran mata wang asing yang pernah bekerja di Wall Street, Cik Joanna Lau memang biasa mengambil risiko.

Ini mungkin menjelaskan mengapa beliau meninggalkan kerjayanya dalam bidang kewangan pada 2016 untuk memulakan Jemma, sebuah jenama beg tangan yang kini popular di Amerika Syarikat. Bak kata pepatah, risiko tinggi, ganjaran tinggi.

Dan ganjarannya memang tinggi. Kini, Jemma mempunyai kira-kira 120,000 pengikut di Instagram dan menjana hasil berjuta-juta dolar setahun, dengan peningkatan tahun ke tahun. Cik Lau menamakannya Jemma — gabungan namanya dengan nama kakaknya, Emma.

Jenama itu mendapat perhatian di media sosial dua tahun lalu, ketika satu video daripada seorang pempengaruh berpangkalan di New Jersey yang mengulas tentang beg Emma 39 miliknya mencecah 10 juta tontonan — membawa lonjakan pengikut dan perhatian daripada luar negara.

Jenama beg tangan Cik Joanna Lau (kiri), Jemma, mendapat perhatian di media sosial, ketika satu video daripada seorang pempengaruh yang mengulas tentang beg Emma 39 miliknya mencecah 10 juta tontonan.
Jenama beg tangan Cik Joanna Lau (kiri), Jemma, mendapat perhatian di media sosial, ketika satu video daripada seorang pempengaruh yang mengulas tentang beg Emma 39 miliknya mencecah 10 juta tontonan. - Foto ST/JEMMA

Pertumbuhan ini berlaku secara perlahan tetapi mampan, dibina sepanjang sedekad. Ia turut dibantu oleh zaman kegemilangan media sosial dan algoritma yang mesra, Cik Lau memberitahu The Straits Times (ST). 

Kepulangan Jemma ke Singapura bertepatan dengan ulang tahun ke-10 jenama itu. Berada di sini untuk ‘pop-up’ antarabangsa pertama Jemma di Tangs, Tang Plaza, dari 17 Ogos hingga 30 September.

Wanita berusia 38 tahun itu mengimbas kembali perjalanan jauh yang telah ditempuhinya sejak peringkat awal perniagaan, ketika beliau membawa beg-begnya untuk mengadakan ‘roadshow’ di ruang kerja bersama dan memasarkannya kepada kumpulan sasarannya: wanita yang bekerja.

“Apabila anda kekurangan sumber, ia mengajar anda untuk menjadi lebih bijak mencari jalan.”

Cik Lau menikmati biasiswa penuh di Sekolah Bisnes Stern di Universiti New York, di mana beliau mengambil jurusan kewangan dan statistik. 

Beliau sentiasa menyeimbangkan fesyen dan kewangan. Beliau menghabiskan tempoh latihan amali sekolah rasminya bekerja di bank-bank terkemuka, termasuk JP Morgan dan Goldman Sachs, namun semasa semester persekolahannya, beliau menjalani latihan amali di Tommy Hilfiger dalam bidang perhubungan awam. 

Sebelum memasuki universiti, beliau mengikuti kursus reka bentuk musim panas di Sekolah Desain Parsons New York.

Selepas tamat pengajian, beliau memulakan kerjayanya dalam perdagangan forex di JP Morgan, di mana beliau bekerja hampir tiga tahun sebelum kembali ke Singapura untuk bekerja di BNP Paribas. Beliau berpindah semula ke New York pada 2016 dan kini berulang-alik antara kedua-dua bandar.

Reka bentuk untuk wanita

Ketika beliau berada di dewan urus niaga yang didominasi lelaki itu telah menanamkan benih Jemma. Bos dan rakan sekerja, yang kebanyakannya lelaki, akan menilai wanita kerana membawa beg yang feminin atau bergaya unik, ujar Cik Lau. 

“Anda tidak dihormati apabila anda membawa beg daripada, katakan, sebuah jenama pereka. Lelaki-lelaki itu akan memandangnya dan berkata, ‘Oh, comelnya dia’. Anda tidak dianggap sebagai pekerja yang serius di sini.”

Beg fungsional pada masa itu sama ada bergaya maskulin atau tidak menarik, dan beg tangan mewah pula terlalu formal. Beliau mahukan sebuah beg kerja dengan ciri-ciri reka bentuk untuk menyimpan barangan seperti pen atau folio, tetapi mendapati kebanyakan beg sebegitu dibuat hanya untuk lelaki. 

Pasaran hari ini dibanjiri dengan pilihan harga pertengahan, tetapi ketika itu belum ada jenama utama untuk aksesori kerja wanita. 

“Saya tidak mahu mengelak daripada hakikat bahawa saya seorang wanita. Saya mahukan barangan feminin, tetapi pada masa yang sama, saya mahu dianggap serius di tempat kerja.”

Setelah lama bercita-cita untuk memulakan perniagaan sebelum berusia 30 tahun, Cik Lau memutuskan untuk mengambil tindakan sendiri. Pada 2016, ketika berada di Singapura, beliau berhenti kerja dan menubuhkan Jemma dengan duit simpanannya.

Perjalanan menuju pelancaran jenamanya melibatkan lawatan ke kilang di Italy dan China untuk mencari pembekal. Begnya diperbuat daripada kulit anak lembu daripada Italy dan dibina di China, Vietnam dan Thailand.

Beliau mencipta perniagaan itu di Singapura tetapi membawanya ke Amerika untuk dilancarkan, kerana mahu menguji pasaran yang besar, kata Cik Lau.

Jemma memulakan perniagaannya secara dalam talian dengan Emma 37 ($498), sebuah beg tangan-bagasi hibrid yang kemas dengan sarung berlapik untuk komputer riba 14 inci. 

Jemma memulakan debutnya dengan beg Emma 37.
Jemma memulakan debutnya dengan beg Emma 37. - Foto JEMMA

Ia telah menjadi gaya ikonik jenama itu, walaupun produk paling laris di Amerika ialah Emma 39 yang lebih besar ($598 hingga $898), yang dilancarkan tidak lama selepas itu dan dapat muat komputer riba 16 inci.

Beg Emma 39 turut mempunyai poket boleh tanggal yang dapat berfungsi sebagai beg tangan kecil atau beg silang badan mini. Di bahagian belakang pula, terdapat sarung bagasi yang boleh diubah menjadi poket dengan pemegang kad. 

Beg Emma 39 mempunyai poket boleh tanggal dan sarung bagasi di belakang yang boleh diubah menjadi poket dengan pemegang kad.
Beg Emma 39 mempunyai poket boleh tanggal dan sarung bagasi di belakang yang boleh diubah menjadi poket dengan pemegang kad. - Foto JEMMA

Reka bentuk beg-beg itu mempunyai perincian seperti lapisan corak kotak-kotak, yang memudahkan pengguna mencari barangan di dalamnya, bagi membantu wanita tampil lebih profesional.

Perkara kecil seperti terpaksa meraba-raba dalam beg untuk mencari pen, walaupun kedengaran remeh, adalah penting, kata Cik Lau. “Saya sendiri pernah mengalaminya. Apabila anda berada dalam mesyuarat dan dalam kedudukan tinggi, dan seseorang meminta pen, dan anda meraba-raba mencari, ia kelihatan tidak elok.”

Pelanggannya terdiri daripada wanita berusia pertengahan 20-an hingga 60-an dalam jawatan kanan. Bagi ramai wanita, beg Emma merupakan beg kerja pertama atau hadiah graduasi.

Sebagai ibu kepada anak kembar lelaki berusia tiga tahun, Cik Lau amat mengambil berat tentang menyokong wanita.

“Hari ini, ramai wanita berada dalam kedudukan untuk berdiri sama tinggi dengan lelaki dalam kerjaya dan jawatan kepimpinan. Namun aksesori kita belum lagi setanding. 

“Jemma adalah tentang menggabungkan semua perkara yang wanita uruskan pada hari ini dan membina sebuah jenama yang mengiktiraf hakikat bahawa, ya, anda sibuk menjalani kehidupan, dan kami di sini untuk memenuhi keperluan itu.”