Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Waris Saloma enggan bikin kecoh, buka aib orang

Apr 30, 2025 | 5:38 PM
Datin Riza Che Umar, Datuk Muhammed Hasbullah Ali, Saloma, Arzanee Armalie
Pemilik Restoran Saloma, Datin Riza Che Umar, yang juga Presiden Saloma Kuala Lumpur, bersama suami, Datuk Muhammed Hasbullah Ali (kanan), bersama cucu seniwati legenda tersohor, Allahyarham Puan Sri Saloma, Arzanee Armalie (kiri), pada majlis Aidilfitri 2025 anjuran Saloma Kuala Lumpur pada 28 April. - Foto BHM

Cucu seniwati legenda tersohor, Allahyarham Puan Sri Saloma, iaitu Arzanee Armalie, meluahkan rasa terkilan dengan tindakan pihak tertentu yang ‘membelakangkan’ waris Biduanita Negara itu bagi pelbagai projek menggunakan nama tanpa pengetahuan atau kebenaran keluarga.

Dakwanya, bukan sekali dua nama nenda tersayang dipergunakan pihak tertentu sesuka hati demi mengaut keuntungan peribadi.

“Perkara ini sudah lama berlaku. Setiap kali ada projek yang hendak guna nama Saloma, tidak ada pihak datang dan merujuk kepada waris minta kebenaran.

“Kami sedar, kami bukan bekerja dalam bidang hiburan. Namun, apabila berlaku perkara seperti ini, rasa terkilan. Perkara ini berkaitan keluarga, jadi apa salahnya berjumpa.

“Kami semua menetap di Kuala Lumpur dan tiada masalah hendak jumpa. Cuma, kami malas hendak kecoh sebab tidak suka buka aib orang,” katanya ketika ditemui pada majlis jamuan Aidilfitri 2025 anjuran Saloma Kuala Lumpur pada 28 April.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Encik Khairul Firdaus Akbar Khan; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar; Ketua Polis Negara, Encik Tan Sri Razarudin Husain; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Encik Tan Sri Azam Baki.

Pada majlis itu, Arzanee dan adiknya, Rozaidie Armalie, menerima ganjaran daripada pemilik Restoran Saloma, Datin Riza Che Umar, yang juga Presiden Saloma Kuala Lumpur, sebagai simbol penghormatan atas sumbangan besar Allahyarham biduanita itu kepada industri seni tanah air.

Arzanee berkata luahan rasa kecewa itu bukan bermakna soal wang yang menjadi keutamaan, lapor Berita Harian Malaysia.

Sebaliknya, beliau menambah, cukup sekadar pihak terbabit menunjukkan rasa hormat kepada waris serta nama Saloma.

“Sebagai waris, apabila membabitkan perkara baik, kami tiada masalah. Sebelum ini, ada pihak atau penganjur datang bertemu kami untuk berbincang.

“Namun, cara mereka cakap seolah-olah tiada kesalahan untuk mereka guna nama Saloma atas alasan ia bersifat umum.

“Terfikir juga, nama Saloma satu Malaysia kenal dan tahu siapa dia. Tapi tak mengapalah,” katanya.

Ditanya tidakkah mereka berhasrat menjadikan nama Saloma sebagai hak persendirian atau harta intelek, Arzanee menjelaskan usaha itu sudah pun dilaksanakan sejak 2023.

“Usaha mendaftarkan nama Saloma sebagai harta intelek sudah dibuat sejak 2023 lagi. Cuma tiada perkembangan lanjut mengenainya hingga hari ini.

“Saya ada bertanya, tetapi senyap sahaja. Apabila difikirkan kembali, memang tertekan, perkara ini memang sensitif.

“Ada rasa putus asa dan malas hendak ambil peduli sebab saya ada keluarga yang perlu diberi lebih perhatian berbanding isu seperti ini,” katanya.

Mengulas penghargaan yang diterima, Arzanee meluahkan rasa syukur kerana masih ada pihak seperti Saloma Kuala Lumpur tahu menghormati hak harta intelek.

“Apabila sanggup cari kami meminta kebenaran menggunakan nama Allahyarhamha untuk restoran mereka, saya sangat terkejut dan terharu. Kami sangat hargai usaha mereka itu,” katanya.

Sementara itu, Riza berkata tiada sebarang syarat dikenakan waris Allahyarhamha Saloma dalam perbincangan mengenai penggunaan nama Biduanita Negara itu untuk restoran di Jalan Ampang berkenaan.

Malah, katanya, urusan lancar dan waris mudah memberi kerjasama.

“Apabila kami memutuskan mengekalkan nama Saloma untuk restoran ini, kami meminta bantuan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menjejak waris Saloma untuk perbincangan.

“Dapatlah kami bertemu dengan Arzanee, Rozaidie dan ibu tiri mereka. Maknanya, ada tiga waris Allahyarham Saloma yang masih hidup.

“Mereka tidak letak sebarang syarat dan tiada paksaan dari segi jumlah ganjaran. Kami beri seikhlas hati, insya-Allah sumbangan ini akan diberi secara berterusan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg