Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wings ingati jerih perit di Gaza melalui konvoi motosikal

Nov 1, 2023 | 11:57 AM
MASIH INGATI AMANAH: Wings yang dianggotai oleh (dari kiri) Edrie Hashim, Datuk Ahmad Azhar Othman (Awie), Azmi Hashim (Black), Kamarullizam Kamarudin (Syam) dan Samsaidi Haji Ulong Idris (Eddie) akan mengadakan acara  ‘Solidariti Wings Motogang Society’ bagi penunggang motosikal berkuasa besar menunjukkan sokongan buat penduduk Gaza.
MASIH INGATI AMANAH: Wings yang dianggotai oleh (dari kiri) Edrie Hashim, Datuk Ahmad Azhar Othman (Awie), Azmi Hashim (Black), Kamarullizam Kamarudin (Syam) dan Samsaidi Haji Ulong Idris (Eddie) akan mengadakan acara ‘Solidariti Wings Motogang Society’ bagi penunggang motosikal berkuasa besar menunjukkan sokongan buat penduduk Gaza. - Foto BHM

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wings akan terus mengadakan konsert biarpun dilabel tidak sensitif dengan nasib penduduk di bumi Gaza yang kini sedang bergolak.

Vokalisnya, Datuk Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 54 tahun, berkata mereka perlu meneruskan kerja kerana itu adalah periuk nasi mereka.

Namun, itu tidak bermakna Wings, yang turut dianggotai Samsaidi Haji Ulong Idris (Eddie), Azmi Hashim (Black), Edrie Hashim dan Kamarullizam Kamarudin (Syam), lupa pada penderitaan yang ditanggung penduduk Gaza.

“Ada yang pertikaikan Palestin dan Israel berperang, tapi kami masih sibuk menyanyi dan berhibur. Habis kalau tak menyanyi nak makan apa? Siapa nak beri makan anak bini dan tanggung persekolahan?

“Walaupun masih teruskan kehidupan seperti biasa, tapi jiwa kami tetap bersama rakyat Palestin. Tak perlu tunggu konsert untuk tunjukkan solidariti. Konsert adalah punca kami cari makan. Bagi menunjukkan solidariti, Wings akan menganjurkan satu konvoi ke sebuah negeri antara 13 hingga 15 November depan,” katanya yang ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) selepas sidang media Konsert Wings: The Rock Emperor pada Selasa.

Konsert bakal berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, pada 16 Disember depan, sekali gus menjadi acara penutup Wings pada 2023.

Berkongsi lebih lanjut mengenai acara yang dikenali sebagai Solidariti Wings Motogang Society, Awie berkata ia bakal membabitkan lebih 300 motosikal daripada komuniti Wings, tetapi mengalu-alukan penyertaan lebih ramai pemilik motosikal berkuasa besar.

Acara itu bakal diadakan di satu lokasi yang akan diumumkan kelak.

Menurut Awie, aktiviti itu bukanlah mensasarkan untuk meraih kutipan derma, sebaliknya lebih kepada tanda sokongan dan solidariti kepada Palestin.

“Kami tidak fokus pada sumbangan. Apa yang penting, kami nak tunjukkan solidariti dan ini bukan soal duit semata-mata. Sebaliknya, kami mahu beramai-ramai melaungkan sokongan pada Palestin, itu lebih afdal dari segala-galanya.

“Lebih ramai lagi baik kerana kami juga akan adakan solat hajat di sebuah masjid,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg