KUALA LUMPUR: Kumpulan pelawak terkemuka negara, Senario, bakal tampil dengan pementasan teater muzikal bangsawan, iaitu Mimpi Tuanku @ Senariounion di Panggung Bangsawan Melaka (PBM), Melaka pada 28 Jun.
Lebih menarik, pementasan teater muzikal jenaka berkonsep warisan budaya itu akan menampilkan Yassin Yahya, yang baru-baru ini terpalit kontroversi ditahan di Jeddah, Arab Saudi, dikatakan atas kesalahan dadah sejak Oktober 2024.
Difahamkan, menjelang pementasan teater muzikal bangsawan itu, Yassin sudah dibebaskan dan kembali ke tanah air dari Jeddah.
Anggota Senario yang lain termasuk Azlee, Wahid, Mazlan Pet Pet dan Saiful Apek masing-masing amat teruja dapat bersama Yassin pada pementasan itu.
Pengarah projek itu, Lokman Ghani, berkata biarpun latihan singkat, iaitu dirancang dua hari sebelum acara dipentaskan, pengalaman luas Senario dijangka melicinkan persiapan.
“Biarpun belum pernah saya hasilkan pementasan dalam tempoh singkat dua hari, prestasi Senario tidak dirisaukan. Sebaik mereka berada di pentas, panggung pasti gegak gempita,” katanya pada sidang media mengenai penganjuran pementasan teater muzikal bangsawan, iaitu Mimpi Tuanku @ Senariounion di Melaka, baru-baru ini.
Majlis pelancaran pementasan itu disempurnakan Timbalan EXCO Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Teknikal dan Vokasional (TVET) negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Yang turut hadir, Pengurus Besar M Corp Corporate Services Sdn Bhd, Datin Sukhirah Ibrahim.
Pementasan teater muzikal bangsawan, iaitu Mimpi Tuanku @ Senariounion dipersembahkan PBM dengan kerjasama rakan strategik Boolan Trending dan Persatuan Teater Negeri Melaka (PERTEM).
Lokman yakin dengan rekod kegemilangan dan kekuatan Senario pasti menggamatkan panggung melalui aksi mereka.
“Muzikal lawak bangsawan menerusi gabungan mantap elemen komedi moden dan keindahan teater bangsawan tradisional yang dihidupkan Senario sudah cukup mengujakan peminat.
“Lebih menarik, ikon bangsawan dan seni persembahan negara, Datuk Jalaluddin Hassan bakal membawa watak penting yang menyuntik keanggunan dan kredibiliti pada naskhah terbabit,” katanya.
Datuk Khaidhirah berkata penganjuran Mimpi Tuanku @ Senariounion bertujuan mengangkat semula seni teater bangsawan ke arus perdana.
“Usaha ini juga merapatkan jurang antara generasi lama dan baharu dalam menghargai nilai budaya.
“Gabungan elemen tradisi dan moden melalui pelawak tersohor serta penyampaian muzik serta lakonan yang memukau diyakini dapat meletakkan projek ini sebagai fenomena baharu dalam arena seni persembahan negara,” katanya.
Datuk Khaidhirah berkata projek Mimpi Tuanku @ Senariounion menghangatkan kegiatan Tahun Melawat Melaka 2025, sekali gus merangsang pertambahan pelancong dalam dan luar negara ke bandar raya bersejarah itu.
“Pementasan ini membawa penonton berhibur secara interaktif dan informatif melalui unsur informatif sejarah, budaya dan nilai Melayu.
“Ini menjadikan teater bukan sahaja menyeronokkan malah, mendidik secara santai dan menyuntik kesedaran budaya dalam kalangan penonton moden melalui medium hiburan kreatif.
“Unsur humor membuatkan penonton terhibur lalu memberi kepuasan yang berkait rapat dengan emosi. Ini mampu membantu audiens melupakan seketika masalah dihadapi,” katanya.
Khaidhirah percaya dengan olahan skrip yang cerdas dan gaya persembahan yang mesra penonton serta humor diketengahkan dapat mencetuskan ketawa spontan, nostalgia dan rasa teruja penonton.
“Mengambil inspirasi daripada hikayat klasik Melayu, pementasan ini mengangkat misi yang bersulam pengembaraan, keindahan bahasa, sindiran sosial dan humor segar dengan pendekatan kontemporari yang mampu menarik minat penonton pelbagai generasi,” katanya.
Azlee amat teruja Senario bakal menjayakan pementasan teater muzikal bangsawan, buat kali pertama.
Baginya, selepas pelbagai filem, drama, sitkom dan genre hiburan lain, projek Mimpi Tuanku @ Senariounion, dianggap memberi penghormatan kepada kumpulan yang sudah bertapak lebih 30 tahun dalam industri seni itu,
“Kemunculan Yassin pada pementasan ini kelak pasti dianggap berita gembira buat peminat selepas lama bersama kami dalam mana-mana persembahan,” katanya.
Tiket pementasan Mimpi Tuanku @ Senariounion sudah mula dijual dan peminat disaran mendapatkannya lebih awal berikutan tempat duduk terhad.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg