Pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam meluahkan rasa syukur melihat perubahan kehidupan peribadi anaknya, Syamsul Yusof yang disifatkan semakin tenang dan lebih bersemangat selepas melalui fasa perceraian buat kali kedua dengan Ira Kazar pada 2024.
Sebagai bapa, Datuk Yusof berkata, beliau tidak pernah berhenti mendoakan Syamsul dan berharap anaknya itu tidak akan patah semangat untuk meneruskan kehidupan yang penuh dengan ujian.
“Alhamdulillah, sekarang saya nampak Syamsul lebih fokus. Sebelum ini, saya lihat proses penggambaran filem The Original Gangster yang diarahkan ambil masa lama, mungkin disebabkan masalah peribadi yang dialami.
“Saya lihat dia sudah semakin bersemangat dan muka pun nampak ceria. Cuma, Syamsul nampak kurus sikitlah.
“Saya selalu pesan kepada Syamsul, walau apapun ujian yang datang, jangan pernah patah semangat,” katanya ditemui pada majlis tayangan gala filem Blood Brothers Bara Naga, pada 7 April.
Mengakui bimbang melihat anaknya itu terus hidup bersendirian, pengarah filem Sembilu dan Sembilu 2 itu mendedahkan beliau juga ada berpesan kepada Syamsul supaya mencari pasangan bagi membantu memberi ketenangan dalam hidupnya, lapor Berita Harian Malaysia.
“Pesan saya, carilah pasangan kerana hidup ini kalau tiada pasangan, memang tiada makna. Paling penting dalam kehidupan ialah ketenangan dan bukannya kemewahan.
“Tiada makna cari duit dan kaya, tapi hidup seorang diri. Nanti lama-lama akan rasa bosan. Jadi segera bina hidup baru dan jangan terlalu lama hidup seorang diri.
“Bagaimanapun, Syamsul minta saya tunggu sebab nak kekal solo buat sementara. Lagipun, dia ada dua lagi projek filem yang perlu disiapkan dan mahu fokus dengan kerja sebelum fikir soal jodoh,” ujarnya.
“Cuma dalam soal ini, saya tidak boleh banyak sangat mendesak untuk kembali rujuk dengan Puteri Sarah (bekas isteri Syamsul). Mungkin itu harapan kita, tapi rumah tangga mereka, Allah yang tentukan.
“Dulu saya dan isteri ada juga terfikir begitu (rujuk dengan Puteri Sarah), tapi sekarang kami kena reda kerana dia sendiri yang menentukan kehidupannya,” jelas Datuk Yusof.
Sementara itu, Datuk Yusof turut menyifatkan Syawal 2025 cukup bermakna buat mereka sekeluarga apabila dapat meraikannya bersama Syamsul selepas bertahun-tahun tidak beraya bersama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg