Subuh
5:41
Syuruk
7:04
Zuhur
1:11
Asar
4:36
Maghrib
7:16
Isyak
8:30
GE2020

CALON MELAYU PEMBANGKANG

Ingin beri suara alternatif

Parti pembangkang tampilkan senarai calon lebih pelbagai seperti peguam dan karyawan wanita
Jul 01, 2020 | 05:30 AM

SERAMAI 17 calon Melayu/Islam dari parti pembangkang telah disahkan bertanding dalam pilihan raya umum kali ini.

Pemeriksaan Berita Harian mendapati tiga daripadanya adalah wanita sementara yang lain adalah lelaki - kesemuanya berusia antara 26 hingga 67 tahun.

Mereka mewakili lapan parti dan sebuah perikatan parti politik.

Parti Pekerja (WP) muncul sebagai parti pembangkang yang menampilkan paling ramai calon Melayu/Islam, seramai lima orang manakala Parti Kemajuan Singapura (PSP) pula, tiga calon.

Cik Raeesah Begum Farid Khan, 26 tahun, yang bertanding di kawasan undi perwakilan kumpulan (GRC Sengkang) atas tiket WP adalah calon termuda.

Telah berumahtangga dan mempunyai seorang bayi lelaki, ini merupakan penampilan sulung pengasas dan pengarah program, Reyna Movement - sebuah pertubuhan yang beroperasi di Singapura dan Johor yang bermatlamat memperkasa wanita dan kanak-kanak terpinggir menerusi program peningkatan kemahiran dan penglibatan masyarakat.

Mengenai penglibatannya dalam pilihan raya umum ini, Cik Raeesah berkata, "sekarang adalah masanya untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat yang terpinggir dan tersisih, sebuah Singapura yang adil dan saksama".

Seorang lagi calon yang bertanding buat kali pertama ialah Encik Encik Muhammad Taufik Supan, 40 tahun, seorang pengurus projek Teknologi Maklumat (IT).

"Ini adalah penampilan saya buat pertama kali dan saya berasa ghairah dengan perasaan bercampur-baur. Pada masa yang sama, saya rasa bahagia kerana dipilih untuk mewakili suara altenatif di Singapura, sebab saya rasa di Singapura ini kita masyarakat Melayu perlu ada lebih ramai untuk ke hadapan dan mengetengahkan masalah-masalah Melayu.

"Insya Allah, jika dilantik, saya harap dapat ketengah masalah-masalah orang Melayu di Parlimen. Itu adalah amat penting, kerana kita masih kebelakang jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain.

"Isu-isu seperti pendidikan misalnya, kita masih ke belakang, dalam hal kemiskinan juga, jumlah kita masih tinggi," ujarnya.

Calon bagi kali kedua ialah Encik Damanhuri Abas, 49 tahun, yang bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee atas tiket Parti Demokratik Singapura (SDP).

Bertanding di kawasan undi yang sama, Encik Damanhuri dalam catatan di Facebook pada 27 Jun lalu berkata, beliau dan SDP tidak pernah berputus asa dalam usaha mendekati dan mendampingi penduduk kawasan itu.

"Perlahan-lahan kami pasti meraih sambutan lebih baik dari penduduk dan kami dapat menyatakan bahawa sambutan yang diterima hari ini sangat menggalakkan.

"Merubah pemikiran dan sikap orang terhadap semua cabaran sukar yang dihadapi selama berdekad-dekad adalah getir dan mencabar...

"Tetapi kami terus percaya dalam menawarkan perubahan nyata dan terus melawan bagi kepentingan rakyat, tidak kurang daripada itu."

Encik Khan Osman Sulaiman, 45 tahun, merupakan ahli politik mapan yang tampil buat kali ketiga.

Pengarah urusan syarikat ubah elok, Inspiria Design and Build, sebelum ini bertanding di GRC Ang Mo Kio atas tiket Parti Reformasi, pada pilihan raya umum 2011 dan 2015.

Sepanjang tempoh berkempen, Encik Khan Osman yang bertanding di GRC Bishan-Toa Payoh, mengetengahkan isu-isu tentang kebertanggungjawaban, ketelusan dan kos kehidupan di Singapura, yang turut melibatkan soal perumahan, perubatan dan pekerjaan.

Menyentuh tentang perbezaan dalam pendekatannya kali ini, beliau tidak menafikan adanya perbezaan disebabkan keadaan politik yang berubah.

"Memandangkan pilihan raya kali ini berlangsung di tengah-tengah penularan Covid-19, terdapat beberapa sekatan yang calon perlu patuhi.

"Kaedah biasa tidak lagi boleh diguna pakai. Pada masa lalu, kehadiran anda di dunia maya tidaklah sehebat anda di lapangan.

"Dengan keadaan sekarang di mana rapat umum tidak dibenarkan, saya memanfaatkan sepenuhnya media sosial berbanding sebelumnya," ujarnya.

Sementara itu, AP pembangkang mapan, Encik Faisal Manap kekal bertanding di GRC Aljunied. Beliau bersama pasukannya yang diterajui ketua WP Encik Pritam Singh perlu mempertahankan kubu kuat parti pembangkang itu daripada saingan pasukan Parti Tindakan Rakyat.


MEMPERTAHANKAN KERUSI

Satu-satunya Anggota Parlimen Melayu dari parti pembangkang, Encik Muhamad Faisal Abdul Manap, 45 tahun, kembali bertanding buat kali ketiga.

Semalam, ayah tiga anak itu hadir di pusat penamaan calon bersama-sama empat anggota parti itu, diterajui Pengerusi Parti Pekerja (WP), Cik Sylvia Lim, 55 tahun; Setiausaha Agung, Encik Pritam Singh, 43 tahun; dan dua anggota lainnya, Encik Leon Perera, 49 tahun; dan Encik Gerald Giam, 42 tahun.

Kali ini mereka berdepan dengan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) terdiri dari Encik Chua Eng Leong, Cik Chan Hui Yuh, Encik Victor Lye, Encik Shamsul Kamar dan Encik Alex Yeo.

CUBA LAGI DI GRC MARSILING-YEW TEE

Encik Damanhuri Abas dan pasukannya tewas dalam Pilihan Raya 2015. Beliau bertanding sekali lagi di Marsiling-Yew Tee bersama pasukan Parti Demokratik Singapura (SDP)