Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

'Amal manasik haji dan undang rahmat Tuhan dalam kehidupan'

Ustaz Muhammad Nuzhan, Ustazah Kalthom tenteramkan golongan yang belum sempat ke Tanah Suci supaya amalkan ibadah di tanah air yang berpotensi raih pahala serupa haji mabrur
Jul 08, 2022 | 05:30 AM



HARI ini hari wuquf di Arafah, menurut ketetapan kerajaan Arab Saudi - rukun yang menjadi kemuncak ibadat haji.



Anda berasa sedih belum berkesempatan melaksanakan rukun Islam kelima ini, apatah lagi di tengah-tengah isu visa yang terhad bagi umat Islam di Singapura?



Jangan berputus harap atas rahmat Allah swt. Tanamkan azam, niat dan daftarkan nama dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk menunaikan ibadat haji anda, tanpa mengira bila anda akan dipanggil untuk berbuat demikian.



Demikian nasihat dua panel penceramah 'Forum Perdana Zulhijah: Seruan-Mu Kunantikan' anjuran Masjid Darussalam Jumaat lalu - Ustaz Muhamad Nuzhan Abdul Halim, ketua Jabatan Dakwah Masjid Jamiyah Ar-Rabitah yang juga seorang naib kadi ROMM dan anggota Majlis Tertinggi Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas); dan Ustazah Kalthom Muhammad Isa, Naib Presiden Pergas, yang juga seorang kaunselor Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), pakar motivasi dan pensyarah bebas.



Memulakan bicaranya untuk mententeramkan jiwa golongan yang belum berpeluang menunaikan haji agar mereka tidak berputus asa menantikan giliran yang lama dek isu kuota haji Singapura yang sedikit, Ustaz Nuzhan berkata:



"Konsep ibadat haji kita adalah terus berharap, terus berusaha dan yakin amalan kita di sini - menjaga isteri, ibu bapa, berkorban segalanya - berpotensi mendapat pahala di sisi Allah swt menandingi haji yang mabrur, insya-Allah.



"Umrah ada pahala umrah (yang dapat kita lakukan di sini)... lepas subuh kita duduk iktikaf sampai waktu israk, solat dhuha, dapat pahala umrah. Haji ada amalan yang dapat menandingi pahala haji.



"Pokoknya macam ini konsep kita. Jangan berkecil hati, sedih biasalah kerana kita dah pasang niat dan bercita-cita serta rindu nak pergi haji tapi belum berpeluang pergi haji.



"Jangan putus asa dan jangan pernah mengehadkan rahmat Allah yang bukan hanya diberikan kepada orang yang melaksanakan ibadat haji tetapi kita juga."



Ustaz Nuzhan menambah, orang yang tidak atau belum dapat menunaikan haji juga boleh mengamalkan dan menyesuaikan manasik atau tatacara pelaksanaan ibadah haji dengan kehidupan di tanah air sendiri.



"Manasik haji banyak diambil daripada kisah-kisah Nabi Ibrahim as. Sai siapa yang mulakan, korban, wukuf, (melontar) jamrah... sunat- sunat dan manasik haji ini banyak daripada kisah Nabi Ibrahim. Ambil pengajaran daripada Nabi Ibrahim as ini.



"Nabi Ibrahim as nabi yang pertama, yang apabila mentauhidkan Allah swt, menyatakan inilah Tuhan Semesta Alam, bukan hanya tuhan kaum-kaum terdahulu atau kaum-kaum tertentu seperti para nabi lain.



"Oleh itu, kukuhkan iktikad kita kepada Allah. Ini boleh dilakukan oleh yang pergi haji atau tidak.



"Ambil semangat haji tersebut yang ada dalam kisah Nabi Ibrahim as dan pengajarannya untuk kita adaptasikan dalam kehidupan kita, contohnya iktikad yang betul," terang Ustaz Nuzhan.



Iktikad yang betul seperti yang diamalkan Nabi Ibrahim as, menurut beliau, antaranya, adalah melayan tetamu dan memberi makan kepada tetamu.



Ustaz Nuzhan turut menyenaraikan beberapa contoh manasik haji lain yang boleh diamalkan dalam kehidupan harian, antaranya:



  • Wuquf: Selain banyak berdoa dan berzikir kepada Allah swt, Arafah membawa jemaah duduk berhenti sejenak dalam kehidupan yang bergerak pantas di dunia ini bersama seluruh kaum Muslimin yang melaksanakan ibadat haji dan merenung membayangkan kehidupan esok di Padang Mahsyar.

    "Jadi kita ambil semangat takwa seperti ini dan selalu bermuhasabah diri. Kita di sini tak dapat pergi Arafah tapi kita dapat muhasabah, mengenang dosa dan mengharapkan pengampunan Allah kerana rahmat Allah meliputi tiap-tiap sesuatu.

    "Allah juga meyakinkan hamba-Nya supaya jangan pernah berputus asa dengan rahmat Allah. Inilah muhasabah kita walaupun kita tidak berada di Arafah. Ini takwa yang kuat yang ada pada diri orang yang beriman," tekan Ustaz Nuzhan lagi.

  • Ihram: Jemaah haji dimestikan memakai ihram sewaktu melaksanakan manasik haji untuk memperlihatkan kesamaan dalam kalangan semua umat.

    "Kita juga perlu mengamalkan perkara yang sama di tanah air dengan tidak menganggap diri kita lebih besar daripada orang lain walaupun kita tidak berihram," katanya.

  • Sai: Rukun haji yang memerlukan jemaah berjalan dan berlari-lari anak di antara Safa dengan Marwah bagi memperingati usaha isteri Nabi Ibrahim as, Siti Hajar, yang berulang-alik antara Bukit Safa dengan Bukit Marwah mencari air untuk dirinya sendiri dan anaknya Nabi Ismail as. Mereka kemudian diberi kelebihan (dalam bentuk air zam zam) melebihi usahanya, yang sehingga kini air zamzam mengalir.

    "Sai itu makna usaha. Kita mungkin tidak dapat sai tetapi kita perlu beritahu diri kita supaya berusaha sedangkan nabi-nabi Allah perlu berusaha," tambah Ustaz Nuzhan.

  • Berziarah: Menziarahi Makam Nabi saw, Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar al-Khattab ra serta Perkuburan Makla di Makkah dan Baqi di Madinah adalah antara amalan yang dilakukan jemaah haji dan umrah.

    "Dekat sini kita tanya - aku sudah ziarah ke belum kubur ayah ibuku sendiri di Pusara Aman dan Pusara Abadi. Aku sudah ziarah yang masih hidup lagi ke belum pak cikku di Johor, sekurang-kurangnya untuk menelefon bagi merapatkan silaturahim?" tanya Ustaz Nuzhan.

  • Ibadah korban dan bersedekah: "Kalau Nabi saw sebut orang yang mendapat haji mabrur adalah orang yang berkata-kata baik dan bersedekah, kita di sini perlu bertanya - aku sudah sedekah kepada semua orang?

  • Menghadiri kelas manasik: "Kalau kita perlu hadir kursus manasik haji itu sebulan atau dua bulan, menghadapi Allah dan hari akhirat pun kita kena menghadiri majlis-majlis ilmu.

"Jadi pendekatan ini adalah takwa ha huna (dalam hati)... bukan takwa itu mesti berada di Baitullah Al-Haram, tanpa mengurangkan rasa takzim kita kepada tempat yang paling mulia itu," terang Ustaz Nuzhan.



Selain itu, beliau menjelaskan, orang yang tidak atau belum dapat pergi haji boleh mengundang rahmat Allah dalam rumah dan kehidupannya.



Menjelaskan, Ustaz Nuzhan berkata: "Kalau orang yang pergi haji ibarat mendapat undangan daripada Allah, kalau kita tak dapat pergi ke rumah Allah, Baitullah Al-Haram, undang rahmat dan kasih sayang Allah dalam rumah kita melalui keimanan kita.



"(Ada hadis menyatakan) Tidak ada hari yang lebih mulia daripada 10 hari pertama Zulhijah yang disukai amalannya oleh Allah swt melainkan 10 hari pertama ini."



Para sahabat bertanya kepada Rasulullah saw apabila Baginda berkata demikian dalam hadis yang diriwayatkan Ibnu Abbas ra itu, "walau jihad di jalan Allah ya Rasulullah?"



Baginda bersabda: "Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandingi atau menyaingi amalan pada 10 hari pertama dalam bulan Zulhijah." (HR Bukhari).



"Takbir kita, sedekah kita, puasa kita... kalau kita tidak dapat undangan Allah ke Baitullah Al-Haram, undang Allah dan rahmat-Nya ke dalam rumah kita dengan menghidupkan amalan-amalan dalam 10 hari pertama Zulhijah. Ini sikap orang yang beriman.



"Kalau ditakdirkan kita mati dan tak sempat pergi haji, insya-Allah kita yakin rahmat dan kasih sayang Allah tidak akan mengetepikan kita daripada orang yang pergi haji.



"Kalau kita tak dapat pergi tetapi yakin dengan sikap seperti itu, insya-Allah, Allah mudahkan kita untuk pergi haji," tambah Ustaz Nuzhan.



Beliau kemudian mendoakan agar Allah swt merezekikan kita semua supaya dapat mencium Hajar Aswad, bersai, bertawaf, berwukuf, menziarahi Nabi Muhammad saw, para sahabat, dan keluarga Baginda.



"Kita rindu tetapi kerinduan ini, bagi orang yang beriman, kita bawa dalam kita melaksanakan ketakwaan di mana sahaja kita berada.



"Inilah perihal orang yang moga-moga mendapat haji mabrur dan perihal orang yang insya-Allah diberikan peluang melaksanakan haji ataupun, sekurang-kurangnya kalau tidak dapat atau tidak berkesempatan, reda Allah yang mana matlamat haji itu diperolehi," ujar Ustaz Nuzhan mengakhiri penjelasannya.




WUQUF DI ARAFAH KEMUNCAK IBADAT HAJI

"Haji adalah Arafah."

(HR AT-Tirmidzi).



AMBIL SEMANGAT TAKWA (KETIKA JEMAAH HAJI BERWUQUF) DALAM KEHIDUPAN

"Selain banyak berdoa dan berzikir kepada Allah swt, Arafah membawa jemaah duduk berhenti sejenak dalam kehidupan yang bergerak pantas di dunia ini bersama seluruh kaum Muslimin yang melaksanakan ibadat haji dan merenung membayangkan kehidupan esok di Padang Mahsyar.

Jadi kita ambil semangat takwa seperti ini dan selalu bermuhasabah diri. Kita di sini tak dapat pergi Arafah tapi kita dapat muhasabah, mengenang dosa dan mengharapkan pengampunan Allah kerana rahmat Allah meliputi tiap-tiap sesuatu."

- Ustaz Muhammad Nuzhan Abdul Halim ketika menjelaskan antara manasik haji yang boleh diamalkan dalam kehidupan di tanah air, terutama dalam 10 hari pertama Zulhijah.



BAWA KERINDUAN (UNTUK TUNAI HAJI) DALAM KETAKWAAN DI MANA SAHAJA KITA BERADA

"Kita rindu tetapi kerinduan ini, bagi orang yang beriman, kita bawa dalam kita melaksanakan ketakwaan di mana sahaja kita berada.

Inilah perihal orang yang moga-moga mendapat haji mabrur dan perihal orang yang insya-Allah diberikan peluang melaksanakan haji ataupun, sekurang-kurangnya kalau tidak dapat atau tidak berkesempatan, reda Allah yang mana matlamat haji itu diperolehi."

- Ustaz Muhammad Nuzhan Abdul Halim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >