Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Larangan ‘melamar’ hak orang lain

Feb 07, 2021 | 05:30 AM



SECARA umumnya, wanita yang sudah dipinang dianggap sebagai wanita yang hampir sah untuk menjadi pasangan kepada seseorang lelaki.



Namun, bolehkah kita meminang seseorang wanita yang sudah dilamar oleh orang lain?



Persoalan ini dihuraikan oleh Ustazah Dr Sakinah Saptu menerusi Facebook@Masjid Assyafaah dengan tajuk Larangan Melamar Wanita Yang Telah Dilamar Orang Lain, baru-baru ini.



LARANGAN AMBIL 'HAK' ORANG LAIN



Rasulullah saw pernah bersabda dalam hadis yang bermaksud:



"Janganlah seseorang menjual beli barang yang telah ditawar oleh saudaranya dan janganlah seseorang meminang wanita yang telah dipinang oleh saudaranya, kecuali telah mendapatkan izin darinya." (HR Muslim)



Ustazah Dr Sakinah memberi penjelasan:



"Nabi saw pesan supaya jangan menjual atau membeli barang yang sudah ada orang tawar untuk memiliki barang tersebut.



"Contohnya, kita ke kedai baju untuk membeli pakaian. Tetapi, kita berkenan baju yang telah dipegang orang lain dan orang tersebut sudah sedia untuk membelinya.



"Namun, perbuatan kita itu tidak dibenarkan sama sekali sebab barang itu sudah berada dalam tawaran orang lain dan kita dilarang untuk mengambil 'hak' orang lain.



"Situasi ini dikira sebagai adab dalam melaksanakan jual beli. Jika dalam hal sedemikian pun Nabi saw melarang kita untuk tidak beradab, apatah lagi berkaitan sesebuah lamaran."



PINANG TANPA PENGETAHUAN



Tambah Ustazah Dr Sakinah lagi:



"Sekiranya seseorang wanita itu sudah dipinang oleh lelaki A, maka jangan pula lelaki B cuba untuk masuk meminang perempuan yang sama.



"Pengecualian hanya boleh berlaku jika lelaki A (lelaki pertama) memberi kebenaran kepada lelaki B (lelaki kedua) untuk meminang perempuan tersebut.



"Tetapi, kalau peminangan tersebut berlaku di luar pengetahuan lelaki A, maka Nabi saw melarang perbuatan yang dilakukan.



"Kalau sudah berlaku pembatalan lamaran lelaki pertama terhadap perempuan tersebut, barulah lelaki kedua boleh masuk meminang."



JANGAN ROSAKKAN PINANGAN



Menurut Ustazah Dr Sakinah, apa yang Nabi saw pesan itu bukan semata-mata untuk lelaki yang ingin meminang sahaja, bahkan ia juga ditujukan kepada pihak keluarga wanita.



"Sebagai ibu bapa, jangan rosakkan pinangan yang pertama setelah berlaku pinangan kedua. Kita perlu memaklumkan kepada pihak peminang kedua tentang lamaran pertama yang telah berlaku bagi membuktikan bahawa anak mereka sudah 'ditanda'.



"Jangan pula terima pinangan kedua serta-merta setelah berasaskan calon peminang kedua lebih hebat, berbanding calon peminang pertama.



"Mungkin calon kedua lebih stabil, kaya dan sebagainya, namun ia bukan syarat untuk kita membenarkan peminangan pertama terbatal begitu sahaja," ujar beliau.



HORMATI KEPUTUSAN



"Terdapat hadis lain yang melarang untuk kita meminang orang yang sudah dipinang."



Hadis seterusnya diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, di mana Rasullah saw bersabda:



"Dan janganlah pula seseorang meminang (wanita) pinangan saudaranya dan melarang seorang wanita meminta suaminya agar menceraikan isteri lainnya (madu) dengan maksud periuknya sajalah yang dipenuhi (agar belanja dirinya lebih banyak)." (HR Al-Bukhari)



"Berasaskan hadis-hadis yang dinyatakan, masing-masing perlulah menghormati antara satu sama lain dan lihat kepada perkembangan lamaran pertama. Sekiranya peminang pertama sudah memberi izin, maka ia tidak menjadi masalah untuk peminang kedua meneruskan lamaran," jelas Ustazah Dr Sakinah.



HIKMAH LARANGAN



Melalui tegahan yang telah dinyatakan, Islam dilihat sangat menjaga hubungan persaudaraan antara satu sama lain.



"Sebagai penganutnya, Islam menitikberatkan hubungan persaudaraan sesama kita. Sebab itu, kita tidak dibenarkan membeli barang yang sudah dipegang atau ditawar oleh orang lain.



"Jika itu berlaku, maka ia boleh menimbulkan permusuhan antara seseorang dengan seseorang yang lain.



"Sama jugalah dengan urusan melamar itu tadi. Walaupun ada wanita yang kita sukai, tetapi mereka telah dilamar oleh lelaki lain, maka kita tidak boleh ganggu hubungan tersebut. Apa yang terbaik, kita elakkan daripada mengganggu supaya ia tidak menimbulkan kebencian atau sakit hati mana-mana pihak," terangnya.



PERCAYA KEPADA KETETAPAN ALLAH



"Tidak semua yang kita suka akan menjadi milik kita. Kalau kita suka seseorang, kemudian dia sudah dilamar, maka sedarilah bahawa bukan semua kebaikan atau kesukaan akan menjadi hak kita.



"Perihal jodoh sudah pun ditetapkan oleh Allah swt. Maka, kita hendaklah percaya kepada qadak dan qadar yang telah ditentukan. Jika peminangan kita tidak diterima, pasti ada hikmah di sebaliknya.



"Lagipun, 'bunga' bukanlah sekuntum. Ramai lagi wanita-wanita baik dan solehah yang boleh menjadi calon isteri.



"Apa yang pasti, agama Islam sentiasa menekankan tentang keharmonian dan keamanan. Oleh itu, elakkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan dendam atau kedengkian," pesan Ustazah.




USTAZAH DR SAKINAH SAPTU: ISLAM TEKAN KEHARMONIAN DAN KEAMANAN



"Walaupun ada wanita yang kita sukai, tetapi mereka telah dilamar oleh lelaki lain, maka kita tidak boleh ganggu hubungan tersebut. Apa yang terbaik, kita elakkan daripada mengganggu supaya ia tidak menimbulkan kebencian atau sakit hati mana-mana pihak."




BIODATA



Ustazah Dr Sakinah Saptu punya kelayakan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Hadis di Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Kini, beliau bergiat aktif sebagai pendakwah bebas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >