Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

HIDAYAH

Bolehkah makan ubat ketika BERPUASA?

Perintah puasa ambil kira kemampuan fizikal, kesihatan
dan ada pengecualian
bagi yang uzur
Mar 15, 2024 | 05:30 AM



Kewajipan berpuasa dalam Ramadan adalah salah satu tiang agama.

Namun, bagaimanakah jika seorang Muslim itu perlu mengambil ubat di siang hari atas sebab kesihatan? Atau mungkin atas keuzuran tertentu, seseorang itu tidak mampu melaksanakan puasa?

Islam adalah agama Allah yang Maha Mengetahui keadaan hamba-hamba-Nya dan tuntutan atau taklif serta tanggungjawab melaksanakannya bergantung pada kemampuan manusia.

Pelaksanaan hukum dalam Islam boleh berubah mengikut keadaan, namun asas ibadah dan perintah tersebut tidak boleh diubah.

Demikian juga, kasih sayang Allah swt bagi hamba-Nya, dan menjadikan Islam satu agama yang praktikal dan boleh dilaksanakan dalam apa keadaan sekalipun dan di mana kita berada.


Begitu juga, bagi ibadah puasa.

Perintah puasa mengambil kira dan mempertimbangkan ia sebagai satu amal yang agak berat. Ia memerlukan kekuatan fizikal serta kesihatan yang baik untuk melaksanakannya.

Sebagai contoh, seorang sakit dan menghidap penyakit yang apabila dia berpuasa, akan memudaratkan diri atau menyebabkan penyakitnya bertambah, maka ada kelonggaran atau rukhsah baginya.

Bahkan, tidak boleh seseorang dalam keadaan tersebut memaksa diri berpuasa kerana menjaga kesihatan juga adalah satu tuntutan agama.

Demikian juga, jika berpuasa itu melambatkan kesembuhannya.

Sebagaimana Allah swt berfirman berkenaan berpuasa dalam Surah Al-Baqarah ayat 184, yang bermaksud:


“Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”


Ayat ini menggariskan beberapa pengecualian daripada tuntutan berpuasa jika kita berada dalam keadaan yang sukar untuk melaksanakannya.

Dari sudut pandang lebih am, tindakan memaksa diri berpuasa sehingga menyebabkan kemudaratan ke atas diri sendiri melanggar prinsip syariah, iaitu pada dasarnya sesuatu hukum itu bukanlah perintah yang bertujuan membebankan seseorang.

Perlu juga kita fahami bahawa Allah swt tidak mentaklif atau mewajibkan sesuatu yang di luar kemampuan manusia, seperti yang disebut dalam Surah Al-Baqarah, ayat 286: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”


Bahkan, hal ini diberi penekanan lagi ketika Allah swt mensyariatkan berpuasa dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”


Inilah keindahan Islam, yang memahami keadaan dan keterbatasan manusia dan memastikan dia terus mampu mengamalkan ibadah.

Maka, usah memberatkan diri dan mendedahkan diri kepada mudarat sedangkan ia bukan tujuan syariat tersebut.

Pastinya ada kebaikan dalam perintah berpuasa, namun jika kebaikan tersebut tidak dapat diraih atas sebab tertentu, hatta ia mendatangkan keburukan yang tidak diingini, maka haruslah ia ditinggalkan dan ditangguhkan ke masa yang lebih sesuai mengikut situasi.

Di sini, walaupun Allah swt telah meletakkan beberapa pengecualian.


Sangat penting kita ingat bahawa tidak sepatutnya seorang Muslim mengambil mudah, remeh dan membiarkan sifat malas bermaharajalela dalam diri sehingga menganggapnya satu alasan untuk tidak menurut perintah Allah swt.


Tidak wajar juga seorang Muslim bertindak mengubah-ubah hukum Allah mengikut kehendak dan menyesuaikan ikut keadaan peribadi atas alasan-alasan yang tidak diterima mahupun dianggap munasabah oleh syariat.

Justeru, beberapa pelajaran yang boleh kita raih ialah:

Pertama, untuk melaksanakan setiap ibadah dengan sebaik mungkin, ia memerlukan ilmu dan pemahaman yang baik supaya orang yang melakukannya dapat berbuat demikian dengan sempurna.


Setiap ibadah yang ingin dilaksanakan mestilah dipelajari dan difahami bagi memastikan ibadah tersebut terlaksana dengan sebaiknya dan kesan yang maksimum sesuai dengan tujuan ia disyariatkan, terutama dalam pembentukan watak dan peribadi seorang Muslim.

Kedua, seorang Muslim perlu bijak mengimbangi kemampuan dan kesungguhan melaksanakan perintah Allah swt dan tidak seharusnya terlalu tegar sehingga membahayakan diri, apatah lagi memberikan persepsi bahawa Islam adalah agama yang tegar dan zalim.


Walhal, Allah swt berfirman dalam Al-Baqarah ayat 195 bahawa “dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.


Oleh itu, berdasarkan ayat ini, setiap Muslim tidak seharusnya membahayakan diri atau mengundang keburukan ke atas dirinya dalam segi apa pun, termasuklah dalam melakukan amalan-amalan soleh dan ketaatan.

Ketiga, syariat memberikan alternatif dan jalan penyelesaian bagi berpuasa.

Yakni, jika puasa tidak dapat dilakukan atas sebab keadaan yang jangka masa pendek, maka dibolehkan menggantikannya pada lain masa.

Dan jika berpuasa itu sendiri merupakan sesuatu yang tidak mampu dilakukan kerana faktor kesihatan yang berpanjangan atau umur yang kian uzur, maka bayarlah fidyah sebagai gantinya.

Usaha melakukan alternatif ini haruslah dilakukan atas dasar akur dan sedar akan kemampuan diri juga merupakan satu bentuk ketaatan yang pastinya diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah swt.


Kesimpulannya, sebagaimana kita meyakini bahawa Allah swt tidak memerintahkan manusia melakukan sesuatu perkara atau tindakan melainkan ia mempunyai kebaikan dan semata-mata untuk menyelamatkan manusia daripada sebarang kebinasaan dan kehancuran, Islam melarang sebarang perkara atau tindakan yang boleh menyebabkan bahaya atau mempunyai potensi mendatangkan bahaya.


Artikel ini disumbangkan oleh Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >