Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Doa senjata orang Mukmin

Jun 06, 2021 | 05:30 AM



TIADA daya dan usaha melainkan Allah swt yang maha berkuasa di atas segala sesuatu.



Siapa di antara kita yang tidak pernah berhadapan dengan masalah atau cabaran dalam kehidupan?



Mungkin ada sahaja yang di antara kita sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti cabaran kewangan, kesedihan, kesihatan dan bermacam-macam lagi.



Ada juga di antara kita akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian untuk masalah, atau ada juga yang memilih untuk berpeluk tubuh dengan berserah, kononnya bertawakal kepada Allah swt sudah mencukupi.



Adakah ini jalan terbaik?



Sebenarnya penyelesaiannya adalah dengan banyak berdoa dan memohon kepada Allah swt disertai dengan usaha yang tidak kenal lelah.



Doa merupakan salah satu bentuk permohonan dan kerendahan hati seorang hamba di hadapan Sang Pencipta.



Ia bagaikan senjata bagi orang Mukmin, perlindungan bagi orang yang lemah, ubat yang paling hebat bagi mereka yang dalam kesusahan.



Tidak ada seorang pun yang harus lepas daripada doa.



Bahkan para Nabi pun, sebagai kekasih-Nya, berdoa dan menjadikan doa sebagai senjata mereka dalam keadaan senang dan susah.



Ada beberapa contoh yang telah dirakamkan dalam Al-Quran, dalam kisah-kisah Nabi yang berdoa, antaranya doa Nabi Ayyub as dalam surah Al-Anbiya' ayat 83 yang berbunyi:



"Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub as, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhan-Nya dengan berkata: Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani."



Allah swt menjawab doanya di dalam ayat selepasnya dalam surah yang sama:



"Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: Keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat daripada Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik)" Al-Anbiya' ayat 84.



Di atas merupakan salah satu contoh doa seorang Nabi yang diuji dengan kesihatannya yang membuatnya bermohon kepada Allah swt supaya diringankan ujiannya dan Allah swt mengabulkannya.



Begitu juga dengan kisah Nabi Zakariya as, ketika berdoa kepada Allah swt agar dikurniakannya pewaris walaupun dia mengetahui keadaan isterinya yang mandul namun beliau tidak berputus harapan kepada Allah swt.



Kisah ini juga dirakamkan dalam Al-Quran surah Al-Anbiya' ayat 89-90.



Perlu diketahui bahawa berdoa bukanlah jalan terakhir setelah berusaha bermati-matian, tetapi berdoa merupakan jalan pertama sebelum disusuli dengan usaha-usaha yang lain, kerana kehebatan berdoa menjangkaui segala-galanya.



Apabila kita berdoa kepada Allah swt, bermakna kita yakin dengan kekuasaan Allah swt, sebab Allah swt itu Maha Mengetahui dan berkuasa di atas segala sesuatu.



Apabila kita berdoa kepada Allah swt dengan penuh ketulusan hati yang dalam, menjaga adab-adab dalam berdoa, dengan penuh harapan dan yakin bahawa Allah akan mengabulkan segala permintaan hambanya, pastinya doa kita akan didengar oleh Allah swt.



Yakinlah apabila kita berdoa kepada Allah swt pasti akan berlaku keajaiban yang tidak kita sangkakan.



Nabi Muhammad saw pernah bersabda dalam sebuah hadis:



"Berdoalah kalian kepada Allah, dengan yakin bahawa Allah akan mengabulkan doa kalian dan ketahuilah bahawa hanya Allah saw tidak mengabulkan doa dari hati yang lalai".



Adakalanya kita berasakan doa kita tidak dijawab atau didengar kerana apa yang kita doakan belum terjadi, hakikatnya Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam isi hati kita atau mungkin Allah tahu apa sebenarnya kita perlukan, dan yang terbaik untuk diri kita.



Ternyata Allah yang menciptakan kita maka Dia lebih tahu apa keperluan makhluk-Nya. Carilah waktu-waktu yang mustajab mungkin boleh membuat doa kita didengari.



ANTARA WAKTU-WAKTU MUSTAJAB UNTUK BERDOA



Di sepertiga malam di saat kita sedang bangun untuk solat malam, antara azan dan iqamat, ketika bersujud dalam solat, ketika hujan turun adalah di antara waktu yang mustajab untuk kita berdoa.



Banyak lagi dan carilah masa-masa sesuai untuk bermohon kepada Allah swt.



Imam Syafie pernah mengatakan "janganlah engkau pernah meremehkan doa di waktu tahajud, engkau tidak tahu apa boleh berlaku dengan berdoa, kerana doa itu diibaratkan seperti panah-panah yang dilepaskan pada waktu malam - ia tidak tersasar bahkan memerlukan waktu untuk mengena pada sasarannya".



Allah swt tidak pernah menghampakan hamba-Nya kecuali hamba-Nya yang tidak yakin kepada-Nya, sebab itu kita perlu sentiasa bersangka baik kepada Allah swt lebih-lebih lagi dengan keadaan yang tidak menentu di waktu ini.



Malah ketika di waktu mencabar inilah, pastinya kita akan mengundang pelbagai keresahan dan kita harus sentiasa ingat bahawa jalan keluar bagi setiap permasalahan adalah dengan menjaga hubungan yang baik dengan Allah swt dan percaya dengan ketentuan-Nya.



Kita perlu terus berusaha dan bersabar, bukannya pasrah.



Apabila kita menjaga hubungan yang diredai dengan Allah swt, pastinya setiap permasalahan yang melanda mampu kita hadapi, walaupun sukar pada pandangan zahir, sebab tiada yang mustahil bagi Allah swt, percayalah!



Semoga setiap doa-doa kita pada saat yang mencabar ini didengari dan kabulkan oleh Allah swt.



Jangan pernah kita jemu berdoa kerana doa dan tawakal adalah jalan keluar bagi semua permasalahan kita, dan doa juga merupakan senjata terbaik bagi Mukmin sekalian.




 • Penulis merupakan Ketua Jabatan Penglibatan Masyarakat dan Dakwah di Masjid Darul Aman.




"Sebenarnya penyelesaiannya (masalah) adalah dengan banyak berdoa dan memohon kepada Allah swt disertai dengan usaha yang tidak kenal lelah. Doa merupakan salah satu bentuk permohonan dan kerendahan hati seorang hamba di hadapan Sang Pencipta. Ia bagaikan senjata bagi orang Mukmin, perlindungan bagi orang yang lemah, ubat yang paling hebat bagi mereka yang dalam kesusahan. Tidak ada seorang pun yang harus lepas daripada doa."
- Penulis




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >