Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

HIDAYAH Jaga tiang agama melalui solat

Jan 29, 2021 | 05:30 AM



AGAMA Islam merupakan agama ilmu, iman dan amal. Trilogi yang tidak dapat dipisahkan ini sangat berkait antara satu sama lain.



Ustaz Ahmad Dahri menjelaskan: "Jika kita mengaku diri kita sebagai seorang Muslim, maka pastikan kita berilmu, beriman dan beramal. Tiga perkara ini perlu ditanam dan dihayati dalam setiap diri insan yang lahir sebagai hamba Allah swt.



"Sebagai Muslim dan Muslimah sejati, kita perlulah memenuhi rukun dan syarat-syarat dalam agama Islam. Kalau tak cukup syarat, maka sia-sialah kehidupan kita."



RUKUN SEBAGAI 'TIANG'



Ustaz Ahmad Dahri menjelaskan bahawa Rukun Islam dan Rukun Iman merupakan asas penting kepada seseorang yang mengaku dirinya Islam.



"Perkataan rukun merupakan perkataan yang datang daripada bahasa Arab yang membawa maksud 'tiang'."



"Kata Imam Ghazali, jika kita berbicara tentang tiang, maka kita berbicara tentang 'bangunan'. Sesebuah bangunan itu tidak mungkin dapat berdiri tanpa tiang.



"Kekuatan sesebuah bangunan itu juga bergantung kepada tiangnya.



"Konsep yang sama juga berlaku kepada seseorang Muslim. Jika tiang tidak ada, bagaimana mahu menjadi Muslim. Kalau ada tiang tapi tak kuat, pada bila-bila masa sahaja boleh roboh. Justeru, pentingnya 'tiang' dalam agama kepada seseorang Muslim."



SOLAT ITU PENTING



Menurut Ustaz Ahmad Dahri, tiang yang dimaksudkan dalam Islam adalah solat.



Seperti yang dinyatakan daripada Mu'az bin Jabal ra bahawa Nabi saw bersabda:



Maksudnya: "Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah berjihad." (Riwayat al-Tirmizi)



"Perhatikanlah solat sesorang untuk melihat sama ada kuat atau tidak 'tiang' kita sebagai seorang Muslim. Hadis Rasulullah saw juga ada menyebut bahawa perkara pertama ditanya pada Hari Kiamat mengenai ibadahnya ialah solat.



"Di situ membuktikan bahawa solat itu satu kepentingan yang perlu diutamakan.



"Tetapi, ketahuilah bahawa sejahat-jahat manusia ialah manusia yang tidak bersolat. Hal ini kerana dia menentang Allah, kufur kepada Allah, dan tidak berterima kasih kepada Allah. Oleh itu, janganlah menjadi manusia yang kufur nikmat," ujar Ustaz.



ANCAMAN MENINGGALKAN SOLAT



Melalui ayat ke-40 hingga ke-43 dalam surah Al-Muddassir, Allah swt menyebut:



"(Mereka ditempatkan) di dalam Syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya tentang (tempat tinggal) orang-orang yang bersalah, (setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; (74:40-43)



Sesungguhnya, apabila berada di dalam syurga nanti, penghuni syurga akan saling bertanya mengenai keadaan orang-orang yang berdosa. Apabila ditanya kepada pendosa tentang kesalahan mereka, maka mereka menjawab bahawa mereka meninggalkan solat.



"Maka, jelas sesungguhnya sudah terang dinyatakan oleh Allah bahawa mereka yang tidak bersolat akan ditempatkan hukuman untuk tinggal di dalam neraka Saqar," kata ustaz.



JAGA SOLAT, JAGA LISAN



Ustaz Dahri memberitahu bahawa ramai yang melaksanakan solat tetapi terhalang untuk memasuki syurga.



Hal ini kerana mereka termasuk dalam golongan yang suka bercerita tentang hal orang lain, tidak menjaga mulutnya dan suka menabur fitnah.



Rasulullah saw bersabda: "Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah (apabila) seseorang Muslimin (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya, manakala seorang muhajir (yang berhijrah) adalah seseorang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah swt." (Riwayat al-Bukhari).



"Mengapakah Rasulullah saw menyebut perkataan tangan selepas lidah? Sebab, pergerakan tangan lebih terbatas. Malah, kejahatan yang dilakukan oleh tangan tidak akan seteruk kejahatan yang dilakukan dengan lidah. Mulut itu sangat berbahaya, jadi berhati- hatilah dalam berkata," pesan Ustaz Ahmad Dahri.



ISLAM BUKAN AGAMA KETURUNAN



Ustaz Ahmad Dahri menegaskan bahawa Islam bukanlah agama keturunan. Sebaliknya, setiap penganut perlu memahami Islam dengan sepenuhnya agar dapat melaksanakan kewajipan dengan penuh rasa tanggungjawab, bukan sekadar memenuhi kebiasaaan yang dilakukan oleh ibu bapa, keluarga atau masyarakat.



"Oleh sebab itu, tanyalah kembali kepada diri kita sendiri, adakah agama kita ini satu agama warisan atau agama yang perlu kita fahami?



"Sekiranya Islam itu agama keturunan, maka tiada beza di antara Nabi Allah Ibrahim as dengan bapanya Azar yang bukan beragama Islam. Di sini, jelas menunjukkan bahawa agama itu bukanlah berdasarkan keturunan.



"Islam bukanlah untuk diwarisi, tetapi ia perlu difahami. Oleh itu, kita hendaklah mengetahui tanggungjawab sebagai seorang Muslim, terutama dalam menyempurnakan solat," jelas Ustaz.




BIODATA



Drs Ahmad Dahri, 62 tahun, seorang penceramah bebas yang berkelulusan dalam bidang Syariah dari Universiti Islam Sumatera Utara, Indonesia dan melanjutkan pengajian di Darul Ulum Makkah di Arab Saudi dalam bidang bahasa Arab.



Beliau juga memiliki ijazah dari Universiti Al-Qarawiyyin di Fez, Maghribi dalam bidang Syariah.



Beliau mendalami ilmunya dengan mengikuti kursus ijazah Sarjana Universitas Al-Washliyah (Univda) Sumatera Utara, Indonesia.




KEUTAMAAN SOLAT



TERDAPAT TIDAK KURANG 100 AYAT DALAM AL-QURAN MEMBICARAKAN TENTANG SOLAT.



Allah swt berfirman dalam Surah al-Mukminun, ayat 1-2 yang bermaksud:



"Benar-benar sangat beruntung orang-orang beriman. Yakni mereka yang khusyuk dalam mengerjakan sembahyang."



Dalam satu lagi ayat, Allah swt menegaskan yang bermaksud:



"Benar-benar sangat beruntung orang-orang yang membersihkan diri dengan beriman dan sentiasa berzikir menyebut nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang." (Surah Al-A'la, ayat 14-15)



Pentingnya ibadah sembahyang ini kerana ia merupakan amalan yang pertama sekali dihisab oleh Allah Sebagaimana sabda Nabi saw:



Maksudnya:



Daripada Abu Hurairah Radiallahu Anhu, bahawa Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya perkara yang pertama sekali akan dihisab terhadap seorang hamba daripada amalannya pada hari kiamat ialah sembahyang fardunya. Jika baik cara mengerjakan sembahyangnya, maka dia telah berjaya dan mendapat pahala, dan jika rosak sembahyangnya, maka dia mendapat kerugian dan kebinasaan".



TIDAK LENGAH



Cukup masa, setiap Muslim wajib menunaikan perintah Allah itu tanpa melengahkannya. Allah swt berfirman dalam Surah An-Nisa', ayat 103 yang bermaksud:



"Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang yang beriman dan ditentukan waktunya."



Rasulullah saw mengingatkan , 'Solat pada awal waktu akan memperoleh keredaan Allah dan di akhirnya mendapat keampunan-Nya.' (Hadis riwayat Imam At-Tirmizi)



Malah, Rasulullah saw pernah ditanya sahabatnya berkenaan masa mendirikan solat. Lantas Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Solat pada awal waktu." (Hadis riwayat Imam At-Tirmizi dan Abu Daud)



KESAN POSITIF



Solat juga sepatutnya meninggalkan impak positif dalam mendidik kita sentiasa fokus terhadap tugasan harian.



Allah swt berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya." (Surah Al-Mukminun, ayat 1-2)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >