Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

BICARA MUFTI

Jaga amalan di luar, di dalam masjid

Apr 28, 2019 | 05:30 AM



NIKMAT hadirin yang berada di masjid pada malam Nisfu Syaaban dengan iringan bacaan Al-Quran dan zikrullah merupakan satu nikmat yang besar daripada Allah.



Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram berkata: "Masjid, kalau musim panas pada zaman Nabi, Tuhan sahaja yang tahu betapa panasnya keadaannya.



"Dahulu, masjid hanya beralaskan pasir dan beratapkan pelepah tamar. Namun, kita pada hari ini diberi nikmat yang lebih baik dengan berada dalam masjid dengan penuh keselesaan daripada semua aspek."



"Ditambah dengan menghadiri majlis ilmu, menyambung hubungan sesama manusiawi, maka kesemua itu adalah perbuatan bagi menzahirkan roh tersebut di sesebuah masjid."



Mufti berkata demikian dalam forum yang diadakan di Masjid Darul Ghufran pada 20 April lalu, membincangkan hal bertajuk 'Menyemai Roh Masjid Dalam Kehidupan Bermasyarakat'.



Forum tersebut turut disertai oleh mufti Wilayah Persekutuan, Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri, dengan moderator, Ustaz Jamaluddin Abdul Wahab.



KEHEBATAN ROH MASJID



Menurut Mufti lagi, roh masjid sangat hebat. Biar di mana pun kita berkelana, di dalam negara ataupun di luar negara, kita akan tetap merasakan bahawa sesebuah masjid itu seperti tempat kita sendiri.



Roh masjid akan hidup sekiranya sesebuah masjid itu berjaya diimarahkan dengan baik oleh masyarakat.



Oleh itu, masjid seharusnya berfungsi mengikut ketetapan yang diperlukan oleh masyarakat. Antara fungsi masjid adalah menjadi tempat beribadah, tempat berbincang, tempat kebajikan dan sebagainya.



Menurut Dr Fatris lagi: "Jika kita sebut mengenai masjid atau nama tempat (Ismul-Makan), pasti orang tahu bahawa itu ialah tempat orang melakukan sujud.



"Daripada segi bahasa dan Islam, sujud dianggap sah apabila anggota tubuh yang terlibat seperti wajah, dahi, kedua-dua belah tapak tangan, lutut dan hujung jari kaki berada di atas bumi. Itulah sujud."



SEISI ALAM BERSUJUD KEPADA ALLAH



Namun, menurut Mufti, perkataan sujud dalam Al-Quran juga membawa pengertian yang lebih luas dan berbeza daripada pengertian sujud yang dinyatakan sebelum ini.



Allah berfirman dalam Surah Al-Rahman, ayat ke-6 yang bermaksud:



"Dan tumbuh-tumbuhan dan pepohonan, kedua-duanya tunduk (sujud) kepadaNya."



Menurut Mufti, jika dilihat pada tafsir ini dari segi fizikal, mustahil pokok dan tumbuh-tumbuhan meletakkan anggotanya seperti manusia untuk sujud kepada Allah.



Mengikut pandangan ulama pula, sujud tersebut bermaksud patuh, tunduk dan taat pada perintah Allah swt."



Beliau juga menterjemahkan firman Allah dalam sepotong ayat Al-Quran daripadaSurah Ar-Ra'd, ayat ke-15 yang berbunyi:



"Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang."



Jelas Mufti: "Makhluk ini juga tidak boleh lari daripada sistem atau fitrah yang telah diaturkan oleh Allah. Walaupun ada insan yang memilih kufur kepada Allah, namun hakikatnya dia tidak boleh lari daripada aturan yang ditetapkan oleh Allah swt."



FAHAMI ERTI SUJUD SEBENAR



Mufti mengajak umat Islam menganjakkan kefahaman kita mengenai pengertian sujud selari dengan pembaharuan di masjid secara fizikal.



"Sujud bukan setakat solat dan sujud menggunakan tubuh badan kita sahaja. Namun, ia menjadi tempat bagi kita menyerahkan diri kita dan mentaati Allah demi mencari keredaan-Nya.



"Perintah Allah bukan sahaja tentang solat, jadi kita perlu meluaskan maksud sujud itu dengan lebih jauh."



Menurut Mufti, umat Islam disuruh menjaga hubungan persaudaraan, menghulurkan kasih sayang, prihatin tentang keadaan sekeliling, menjaga akhlak dan adab, itulah antara perkara yang melengkapkan sujud kepada Allah.



Perkara yang wajib kita belajar dalam solat itu disebut sebagai 'rukun'. Perbuatan yang dilakukan sebelum solat pula dinamakan syarat sah sebelum solat.



Perkara ini perlu dipastikan sempurna sebelum kita memulakan solat.



"Namun, jika pengertian kita mengenai solat dan sujud hanya terbatas kepada pengertian bahasa atau fiqah sahaja, akan timbul masalah.



"Hal ini demikian kerana bidang fiqah hanya membincangkan tentang apa yang diperlukan sebelum dan semasa solat sahaja. Apa yang diperlukan selepas solat tidak dibincangkan," jelas Mufti.



JAGA AMALAN DI LUAR DAN DI DALAM MASJID



Oleh itu, Mufti mengajak umat Islam membaiki diri kita.



"Sering kali kita datang ke masjid, kita patuhi syarat, rukun solat, serta menunaikan solat berjemaah dengan elok dan cantik.



"Tetapi, selepas selesai solat, kita keluar seolah-olah kita tidak bawa keimanan kita yang mencorakkan kehidupan.



"Selepas selesai solat dan keluar masjid, kita masih lagi mengumpat, mengata, melakukan maksiat dan sebagainya.



"Kita perlu meluaskan pengertian tadi. Masuk ke masjid dengan benar, berada dalam masjid dengan benar, keluar masjid juga dengan benar. Jadi, roh masjid akan sentiasa berpanjangan dalam kehidupan kita. Peliharalah hubungan dengan Allah dan hubungan sesama umat, tidak kira di dalam ataupun di luar masjid," jelas Ustaz Dr Fatris Bakaram.



Oleh itu, menurutnya, umat Islam tidak boleh melihat maksud sujud hanya pada takrif bahasanya sahaja. Kita perlu memahami maksudnya dengan lebih mendalam.



"Begitu juga dengan perkataan solat. Jangan hanya memahami perkataan solat daripada sudut pengertian fiqah sahaja.



"Tidak semestinya orang yang solat itu orang yang soleh hanya kerana dia mengikuti perkataan solat itu secara luaran sahaja," katanya.



SEDARI KEDUDUKAN DAN TANGGUNGJAWAB SEORANG HAMBA



Sekiranya orang yang solat tidak menginsafi kedudukannya yang rendah sebagai hamba di hadapan Allah yang Maha Agung, maka solat itu tidak akan mendatangkan kesan, kata Mufti.



"Cuba tanya diri kita, berapa kali kita berdepan dengan keadaan seperi itu? Kita solat dengan menyebut 'Allahuakbar', sujud lebih rendah, namun tidak terasa dalam hati kita seperti seorang hamba yang sedang tunduk kepada Allah Yang Maha Tinggi.



"Kita masih membawa kesombongan dalam diri kita. Kadang-kadang kita tengah solat, kita masih memandang rendah terhadap sahabat di sebelah kita.



"Selepas solat, kita berasa seakan-akan syurga sudah berada dalam gengaman kita dan sahabat yang berbuat jahat akan masuk neraka. Itu bukanlah jiwa orang yang solat dengan sebenar-benarnya."



"Sebab itu, kita perlu sentiasa berjuang dengan melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah, melakukan kewajipan, berjuang melawan hawa nafsu dan cabaran dunia serta lain-lain.



"Sentiasa minta kepada Allah agar kita diberi pertolongan dalam mendidik jiwa untuk menghadapi pelbagai dugaan yang kebanyakannya berlaku di luar masjid. Mudah-mudahan, Allah akan sentiasa pimpin kita agar berbuat baik," hujah Mufti lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >