Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Tafsir Al-Quran

Kelebihan dan pengajaran dari Surah Al-Fatihah

Jan 26, 2024 | 05:30 AM



Surah Al-Fatihah (Ayat 1-7):

Surah Al-Fatihah adalah satu surah yang sangat istimewa. Selain menjadi surah pertama dalam susunan surah dalam Al-Quran, Surah Al-Fatihah diturunkan khusus untuk umat Nabi Muhammad saw.


Ia juga boleh dijadikan penawar bagi penyakit dan merupakan surah yang menjadi rukun dalam solat.

Walaupun surah ini hanya terdiri daripada tujuh ayat, banyak pelajaran yang boleh kita raih dan gunakan dalam kehidupan harian kita sebagai seorang Muslim.

Kelima-lima pelajaran penting yang boleh diketengahkan adalah:

Kepentingan Basmalah


Basmalah merujuk kepada ucapan bismillah. Bismillah bererti dengan nama Allah.


Dengan memulakan setiap tindakan dengan basmalah, ia seolah-olah mengucapkan “saya mulai perbuatan ini dengan nama Allah”, sekali gus menjadi satu bentuk niat.


Ia juga menjadi benteng daripada membuat perkara yang tidak elok. Mana mungkin seseorang melakukan larangan Allah dengan mengucapkan basmalah?


Basmalah adalah satu cara berkesan untuk menzahirkan niat bahawa setiap perkara dilakukan untuk Allah swt semata-mata, memupuk kesedaran dan keesaan Allah bahawa setiap kelakuan mampu dilakukan dengan izin dan bantuan Allah.


Lantas, memahami konsep basmalah mampu mengubah setiap perbuatan harian kepada satu ibadah dan amalan mulia.


Kepentingan Hamdalah


Hamdalah pula merujuk kepada ucapan alhamdulillah, yang bererti segala puji selayaknya untuk Allah.


Ucapan ini lazimnya menjadi ungkapan saat mensyukuri dan memuji Allah swt. Namun, hamdalah bukan sekadar satu pernyataan kesyukuran. Ia juga satu bentuk pengiktirafan seorang hamba akan kekuasaan Allah swt – Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam dan pengakuan akan keterbatasan dan kelemahan manusia.


Allah juga Tuhan yang Rahmat dan Pemurah yang memberi nikmat-nikmat tanda kasih-Nya terhadap ciptaan-Nya. Maka, apakah peranan kita sebagai hamba Allah yang bersyukur?

Hamba yang bersyukur memahami bahawa segala pujian hanya layak diberikan kepada Allah. Hamba yang sedar nikmat-nikmat yang diterimanya tidak terkira pasti akan mengakui hanya Allah Tuhan yang berhak disembah dan menafikan segala bentuk kesyirikan.

Mengenali tiga ciri penting Allah

Allah swt memperkenalkan diri-Nya pada empat ayat pertama dalam Surah Al-Fatihah.


Ini bermakna, jika kita amati, susunan Al-Quran dimulakan dengan mengenali Allah swt sebagai Tuhan Seluruh Alam dan sifat-Nya yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani.


Begitu Rahmatnya Allah yang memastikan ciptaan-Nya terus dikasihi, diberikan rezeki dan dibimbing pada waktu senang dan susah.

Dalam Tafsir Fathul Qadr, As-Shaukani mengupas berkenaan sifat Rahmat Allah: “Oleh kerana penggambaran Allah sebagai ‘Tuhan seluruh alam’ dapat menimbulkan rasa takut, maka Allah melanjutkan dengan sifat ‘Maha Pengasih dan Maha Penyayang’ agar ia memberikan rasa ketenangan dan kekaguman serta keinginan untuk mendekat diri kepada-Nya.”


Lalu ciri yang ketiga adalah Allah sebagai Tuhan yang Menguasai hari akhirat.

Penekanan kekuasaan Allah swt di akhirat kelak memberi kesedaran bahawa hanya kuasa Allah yang Mutlak dan kekal di dunia dan akhirat manakala jawatan, pangkat dan darjat manusia amat terhad dan sementara.


Justeru, kesedaran inilah yang memastikan manusia mengharap dengan penuh keyakinan pada sumber yang betul iaitu Allah serta menanam harapan bahawa bukan sahaja Allah Maha Adil dalam hukuman-Nya pada yang menzalimi kita, bahkan yang akan mengadili kita adalah Allah yang bersifat Rahmat, Pemurah dan Pengasih.

Kebergantungan pada Allah

Sudah menjadi lumrah manusia untuk memerlukan sokongan dan dorongan dalam menghadapi kehidupan. Tetapi, yang penting adalah menyedari untuk memilih manusia atau makhluk lain sebagai sandaran adalah pendekatan yang salah.

Malah, sumber harapan yang betul adalah kepada Allah yang mencipta, mengurus, mentadbir alam dan menentukan sebaik-baik penentuan.

Kebergantungan pada Allah swt yang sebenar-benarnya adalah dengan melakukan dua perkara, yang terangkum dalam kekata ‘na’budu’ dan ‘nasta’in’.


Seperti yang dijelaskan Ibn Kathir, “bahagian pertama adalah pengisytiharan kebebasan daripada kesyirikan dan penyekutuan, sementara yang kedua menolak segala kekuasaan”.

Dengan mengakui hanya kepada Allah kita sembah dan memohon pertolongan, kita memahami bahawa Allah menguasai segala urusan. Sekali gus, kita memupuk rasa kebergantungan pada Allah secara menyeluruh.

Kepentingan hidayah daripada Allah

Dua ayat terakhir Surah Al-Fatihah menyebut tentang kepentingan hidayah dan tiga golongan manusia di dunia.

Ketahuilah bahawa hidayah Allah adalah satu bentuk nikmat dan anugerah istimewa daripada Allah swt. Seperti mendapat sepotong khabar baik daripada orang yang dikasihi, ia mampu menghasilkan rasa bahagia dalam hati dan ketenangan dalam menjalani liku-liku kehidupan.


Hidayah adalah bimbingan daripada Allah swt yang menjadi panduan untuk kita melalui kehidupan dengan selamat, bukan sahaja dalam aspek keagamaan, bahkan setiap aspek kehidupan.


Ini kerana syariat Islam mencakupi setiap keperluan insani dan mencegah setiap unsur yang berbahaya bagi kita.

Malah, hidayah sepatutnya diminta secara berterusan. Seperti yang disebutkan dalam Fathul Bayan Fi Maqasidil Quran, “walaupun telah mendapat petunjuk, ungkapan ‘ihdina al-sirat al-mustaqim’ daripada golongan beriman adalah satu bentuk pengesahan dan permintaan untuk mendapat lebih banyak petunjuk serta kestabilan dalam mengikuti jalan yang benar”.


Tiga golongan dalam Surah Al-Fatihah

Persoalannya, bagaimana mengetahui apakah kita berada di jalan yang benar?

Maka di sini, wajar kita perhatikan tiga golongan yang disebut di akhir Surah Al-Fatihah.

Golongan pertama: Orang-orang yang Allah telah dikurniakan nikmat


Golongan yang beriman, berpegang pada kebenaran, taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan tekun beribadah kepada Tuhan-Nya.

Golongan kedua: Orang-orang yang Allah telah dimurkai


Golongan yang memiliki pengetahuan tetapi tidak bertindak mengikutinya. Malah, mereka sengaja menolak kebenaran dan mengolah kebatilan sendiri.

Golongan ketiga: Orang-orang yang sesat


Golongan yang tersesat daripada kebenaran, mengutamakan kepercayaan mereka yang batil dan berterusan mengelak daripada mengetahui kebenaran apatah lagi menerimanya.

Natijahnya, tugas kita sekarang untuk menjadi Muslim yang hebat adalah mengenali tiga golongan ini yang Allah gambarkan pada permulaan Al-Quran agar kita peka dengan ciri-ciri setiap golongan yang tersirat sepanjang Al-Quran. Kemudian, pilihan milik kita untuk bertindak mengikut golongan yang mana.

Pelajaran

Terdapat beberapa pelajaran yang boleh kita terapkan dalam kehidupan harian kita berdasarkan perbincangan Surah Al-Fatihah:

- Amalkan membaca Basmalah sebelum setiap perbuatan.

- Amati sekeliling anda dan lihatlah segala nikmat yang telah Allah anugerahkan lalu ucapkan alhamdulillah sebagai tanda kesyukuran.

- Mintalah petunjuk daripada Allah swt dan minta juga ia ditambah agar kita dapat meraih ketetapan iman. Jangan pernah berasakan hidayah sudah cukup kerana nikmat dan petunjuk daripada Allah tidak ada hadnya.


- Periksa diri dan hapuskan unsur-unsur takbur dalam diri dengan menyedari luasnya kekuasaan Allah swt dan besarnya sifat Rahmat-Nya.


- Pelajari isi Al-Quran dan carilah ciri-ciri golongan yang Allah beri nikmat dan santunilah cara tersebut agar diredai-Nya.

Kesimpulan

Surah Al-Fatihah mengandungi pelajaran yang mendalam yang membimbing orang beriman ke jalan pengabdian, syukur dan kebergantungan pada Allah.

Menerapkan pengajarannya dalam kehidupan harian dapat membina hubungan mendalam dengan Ilahi dan membawa kepada pertumbuhan dan bimbingan rohani.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >