Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Ikhlas mudah disebut tapi...

Ustaz Muhammad Imran perjelas definisi dan kepentingannya dalam Islam, membentuk peribadi Muslim

ISMAIL ALI,Penolong Kepada Editor

Jul 01, 2022 | 05:30 AM



ANDA pernah mendengar orang menyebut ungkapan "saya ikhlas"? Atau pernahkah anda sendiri menyebutnya sambil meletakkan kededua telapak tangan di dada untuk mengukuhkan maksud anda?



Ikhlas adalah satu bahagian penting dalam Islam. Walaupun kita sering mendengar mengenainya dan pernah menyebutnya, ramai di antara kita tidak pasti bagaimana menentukannya, apa lagi cara mencapainya.



Menjelaskan erti sebenar ikhlas kepada Berita Harian, Ustaz Muhammad Imran Othman, ketua di Pejabat Imam Masjid Al-Ansar, berkata:



"Ikhlas bukanlah sesuatu yang hanya boleh disebut di bibir.



"Ia terletak dalam hati, lantas menggerakkan anggota-anggota badan kita melakukan perkara-perkara baik yang diredai Allah swt.



"Semakin kuat tahap keikhlasan kita, semakin banyak amal kebaikan yang ingin kita kejarkan. Dan seandainya amalan kita semakin berkurangan atau hati kita berasa keberatan melakukan perkara yang baik, lihatlah kembali tahap keikhlasan kita.



"Maka, kita perlu sentiasa bermuhasabah diri bagi mengekalkan keikhlasan yang kukuh."



Menurut beliau, ikhlas, dari segi bahasa, mungkin satu topik biasa, tetapi sebenarnya ia memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada amalan soleh kita akan diterima atau tidak oleh Allah swt.



KEPENTINGAN IKHLAS DALAM ISLAM DAN PEMBANGUNAN PERIBADI MUSLIM



Imam al-Ghazali rh, dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin, menjelaskan bahawa keikhlasan berasal dari niat, dan dibangunkan dengan membebaskan niat daripada sebarang kekotoran sambil menanamkan sifat siddiq iaitu kebenaran.



Kekotoran di sini bermaksud perkara yang boleh membatalkan keikhlasan niat.



Menulis dalam platform media dalam talian Muslim.Sg di bawah tajuk How to Achieve Sincerity in Islam (Bagaimana Mencapai Keikhlasan dalam Islam), Ustaz Muhammad Imran, berkata sifat ikhlas banyak ditekankan dalam Al-Quran dan hadis.



Nabi Muhammad saw bersabda: "Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang (hanya dibalas) mengikut yang dia niatkan." (Sahih Al-Bukhari)



Dalam Al-Quran, Allah swt berfirman: "Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya. Ingatlah semua! Milik Allah mutlak agama yang tulus..." (Surah Az-Zumar, 2-3)



"Oleh itu, adalah penting bagi seseorang itu sentiasa menetapkan niatnya dengan betul demi meraih manfaat besar sifat ikhlas," tambah Ustaz Muhammad Imran.



ANTARA IKHLAS DENGAN KHUSYUK



Adakah ikhlas sama pengertiannya dengan khusyuk, terutama dalam solat?



"Ikhlas dan khusyuk yakni fokus dan merendah diri dalam solat berkait rapat dan boleh disalah anggap sebagai sama.



"Kededuanya dikaitkan dengan niat kita. Namun, perbezaan antara kededuanya terletak pada hukum masing-masing.



"Keikhlasan diperlukan agar setiap amal soleh kita diterima Allah swt, manakala khusyuk adalah sifat terpuji dalam usaha mencapai kualiti amalan terbaik.



"Oleh itu, ketiadaan khusyuk tidak membatalkan ibadah kita," terang Ustaz Muhammad Imran.



MANFAAT SIFAT IKHLAS



Sifat ikhlas, kata beliau, mempunyai banyak manfaat. Apa-apa amalan yang disemai dengan keikhlasan boleh membawa kepada beberapa ganjaran. Antaranya adalah:



1. Mencapai ketenangan hati



Allah swt berfirman: "Sesungguhnya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Surah Ar-Ra'd, 13:28)



2. Mendapat hidayah Allah



Allah swt memberi petunjuk kepada Ashabul Kahfi yang masih muda dan ikhlas berpegang teguh kepada akidah sebenar walaupun menghadapi cabaran ketika itu.



"Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka." (Surah Al-Kahfi, 18:13)



3. Dikurniakan kemenangan



Nabi saw bersabda: "Allah hanya memberikan kemenangan kepada umat ini melalui orang-orang yang lemah (di antara mereka), kerana doa, solat dan keikhlasan mereka." (HR An-Nasa'i).



4. Disayangi oleh penghuni langit dan bumi



Nabi saw bersabda: "Sesungguhnya jika Allah swt mencintai seseorang, maka Allah akan memanggil Jibrail seraya berkata (wahai Jibrail) sesungguhnya Allah mencintai fulan, maka cintailah dia, sehingga Jibrail pun mencintainya. Kemudian Jibrail memanggil seluruh penghuni langit seraya berseru, sesungguhnya Allah mencintai si fulan maka cintailah dia, maka penghuni langit pun mencintainya, sehingga orang tersebut diterima oleh penduduk bumi." (Muttafaqun 'Alayh).



5. Doa akan diterima



Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim mengenai kisah tiga lelaki yang terperangkap dalam gua ketika sebongkah batu besar berguling dan menutup mulut gua itu.



Mereka kemudian berdoa kepada Allah swt dengan berkat amalan yang mereka lakukan ikhlas kerana Allah pada masa lalu. Berkat doa mereka, batu besar itu perlahan-lahan bergerak sehingga mereka akhirnya dapat keluar. Doa mereka dikabulkan kerana keikhlasan amalan mereka yang lalu.



6. Dapat mengharungi kesusahan hidup dengan penuh kesabaran



Inilah yang dilalui Nabi saw dan nabi- nabi terdahulu ketika melaksanakan tugas menyampaikan perintah Allah. Mereka melalui kesusahan dan mengalami kehilangan dalam hidup, tetapi kehidupan mereka menjadi bukti kejayaan kerana keikhlasan mereka melaksanakan tanggungjawab mereka. Dengan kata lain, keikhlasan memberikan seseorang kekuatan untuk bertahan.



7. Perlindungan daripada kesesatan



Allah swt menyebut bagaimana Nabi Yusuf as terpelihara daripada melakukan perbuatan keji:



"Dan sungguh, perempuan itu telah berkehendak kepadanya (Yusuf), dan Yusuf pun berkehendak kepadanya, sekiranya dia tidak melihat tanda (daripada) Tuhannya. Demikianlah, Kami palingkan darinya keburukan dan kekejian. Sungguh, dia (Yusuf) termasuk hamba Kami yang terpilih." (Surah Yusuf, 12:24)



8. Mengekalkan dorongan melakukan kebaikan



Sifat ikhlas adalah kualiti dalaman yang mencetuskan motivasi diri melakukan kebaikan. Ia elemen teras yang perlu dibangunkan terlebih dahulu, diikuti dengan tindakan bagi mencapai hasil yang diinginkan. Inilah yang dijelaskan Rasulullah saw berkenaan perbuatan berdasarkan niat.



Cara Mencapai Keikhlasan?



Mencapai dan mengekalkan keikhlasan yang tinggi adalah perkara yang harus sentiasa diperjuangkan oleh setiap Muslim. Berikut beberapa langkah yang boleh kita ambil untuk memupuk kualiti ini:



1. Tanam niat yang murni



Sentiasa fokus pada objektif setiap tindakan kita. Kita juga harus sentiasa sedar akan godaan yang boleh menjejas niat kita itu.



2. Perkukuh azam dan dedikasi



Menurut Imam Al-Ghazali, antara tanda keikhlasan adalah kemampuan menanam azam yang kuat.



Azam yang kuat juga boleh tercetus daripada keikhlasan yang sejati.



Dengan niat yang betul, kita boleh terdorong dan berazam melakukan amal soleh, meraih faedahnya, dan terus berdedikasi melakukan perbuatan terpuji itu dalam jangka masa panjang.



3. Pastikan tindakan selari dengan niat



Ini untuk merealisasikan sifat siddiq sebagai sebahagian daripada sifat ikhlas. Mempunyai niat tanpa tindakan atau melakukan tindakan yang bercanggah tidak akan mencerminkan makna ikhlas yang sebenar.



4. Pelbagai niat dalam satu amalan



Kita boleh mantapkan keikhlasan kita dengan memasang beberapa niat yang baik semasa melakukan amalan yang soleh.



Contohnya, apabila kita memasuki masjid, niat awal kita adalah menjadi tetamu di Rumah Allah swt.



Pada masa yang sama, kita juga boleh menyelitkan beberapa niat lain seperti murabatah (menunggu waktu solat akan datang selepas melakukan satu solat), menjatuhkan niat beriktikaf dalam masjid, menyibukkan diri dengan memikirkan haeri kemudian, berzikir dan menjauhi perbuatan yang mendatangkan dosa.



Dengan menggandakan niat pada sesuatu rutin harian, kita dapat mempertingkatkan kualiti amalan dan kehidupan kita.



Petikan tambahan daripada artikel 'How to Achieve Sincerity in Islam' tulisan Ustaz Muhammad Imran Othman dalam platform media dalam talian Muslim.Sg




SEKILAS BIODATA



Ustaz Muhammad Imran Othman, Ketua Pejabat Imam Masjid Al Ansar. Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda Syariah daripada Universiti Islam Madinah. Beliau turut memiliki ijazah sarjana dalam bidang falsafah daripada Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS CASIS) - Universiti Teknologi Malaysia (UTM).




IKHLAS BUKAN SESUATU YANG HANYA BOLEH DISEBUT DI BIBIR



"Ikhlas bukanlah sesuatu yang hanya boleh disebut di bibir.

Ia terletak dalam hati, lantas menggerakkan anggota-anggota badan kita melakukan perkara-perkara baik yang diredai Allah swt.

Semakin kuat tahap keikhlasan kita, semakin banyak amal kebaikan yang ingin kita kejarkan. Dan seandainya amalan kita semakin berkurangan atau hati kita berasa keberatan melakukan perkara yang baik, lihatlah kembali tahap keikhlasan kita.

Maka, kita perlu sentiasa bermuhasabah diri bagi mengekalkan keikhlasan yang kukuh."

- Ustaz Muhammad Imran Othman, ketua di Pejabat Imam Masjid Al-Ansar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >