Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Hidayah

Peperiksaan dan kehidupan

Belajar hargai proses dan beranilah gagal,
ambil iktibar daripada sejarah Nabi Muhammad
Oct 20, 2023 | 05:30 AM



Baru-baru ini saya telah didatangi oleh seorang pelajar yang berasa sangat tertekan kerana peperiksaan yang bakal menjelang. Dia takut ditimpa kegagalan. Bahkan ketakutan itu menyebabkan dirinya sukar berfikir secara jelas, apatah lagi menghargai ilmu yang disampaikan di sekolah.

Fenomena ini bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan pelajar. Bahkan, dalam kalangan orang dewasa yang berkerjaya pun terdapat ketakutan dalam menghadapi ‘peperiksaan’ di tempat kerja dalam bentuk laporan audit atau persembahan projek.

Begitulah besarnya kesan kegagalan terhadap pemikiran dan perasaan kita.

Maka dalam rangka membuat persiapan terakhir untuk peperiksaan yang bakal menjelang (atau yang sedang dihadapi), ada beberapa perkara yang ingin saya kongsi agar dapat kita pertimbangkan bersama, sama ada dalam kapasiti kita sebagai seorang pelajar, ibu bapa ataupun pendidik.

Hargai proses

Dalam kecenderungan kita memburu keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, tanpa kita sedari, kita telah menjadikan kayu ukur kejayaan itu semata-mata bersandarkan pada sijil yang dimiliki berserta beberapa abjad yang terpampang di dadanya.

Ini sehingga kita terlepas pandang akan dinamik yang jauh lebih luas daripada keputusan yang diperolehi itu iaitu proses pembelajarannya.

Bahkan tidak jarang nikmat pembelajaran itu digantikan dengan proses latih tubi yang hanya memberi tumpuan pada mendapatkan jawapan yang betul tanpa perlu melalui proses pemikiran yang terlalu rumit; cukup dengan hanya menghafal beberapa formula atau kaedah.

Ini menjadikan proses pembelajaran itu hanya tertumpu pada jawapan, bukan proses mendapatkan jawapan itu sendiri.

Akibatnya nilai seorang pelajar itu hanya terletak pada kemampuannya mendapat jawapan yang betul, lebih daripada keberaniannya berfikir. Jadilah proses pembelajaran itu sesuatu yang traumatik: salah dianggap gagal.

Saya mengetahui akan beberapa ibu bapa yang mula meragui potensi anak mereka hanya kerana anak mereka gagal mendapat jawapan setepat dan secepat orang lain pada usia mereka. Lantas, proses menuntut ilmu menjadi sesuatu yang ditakuti, dan tidak lagi dihargai.

Berani gagal

Perkara ini akan terbawa-bawa ke peringkat dewasa. Kita akan menjadi manusia yang takut membuat silap, gerun untuk gagal. Kita akan kurang bersabar melalui liku-liku untuk mencapai sesuatu natijah yang tepat lagi bermakna. Bahkan kita menjadi amat tidak toleran terhadap mereka yang gagal untuk meraih kejayaan yang baik.

Kesan jangka panjang daripada obsesi terhadap keputusan tanpa menghargai proses ialah wujudnya generasi yang tidak kreatif dalam menyelesaikan masalah.

Mereka tidak mampu berfikir luar daripada nalar pemikiran biasa apabila berdepan dengan masalah rumit, dan lebih teruk lagi, kesanggupan mendapatkan hasil melalui apa jua cara sekalipun walaupun ia salah dari segi pelaksanaan.

Orang yang berani gagal adalah orang yang yakin, berani mengambil risiko dan bertanggungjawab apabila berlaku kegagalan.

Saya pernah menasihati pelajar saya bahawa seseorang yang gagal akan lebih mengenali dirinya sendiri daripada mereka yang terbiasa berjaya sehingga lupa diri.

Saya mengetengahkan dua perkara ini untuk membangkitkan semangat kita untuk melihat proses pembelajaran ilmu sebagai suatu proses yang indah, bukan menggerunkan.

Kita tidak terbelenggu oleh kerisauan terhadap keputusan, tetapi kita berasa bebas untuk mengkaji dan mendalami.

Maka ibu bapa dan pendidik juga perlu meletakkan penghargaan terhadap nilai proses.

Kita menegur atau memarahi anak kita bukan kerana dia gagal mendapatkan keputusan idaman, tetapi kerana dia tidak meletakkan kesungguhan terhadap proses.

Mungkin dia telah membuang masa pada hiburan yang berlebihan, bermalas-malasan dan kurang amanah terhadap tanggungjawabnya sebagai penuntut ilmu.

Maka jika keputusannya cemerlang sekalipun, ia tidak mengaburi mata kita daripada menegur proses mereka yang bermasalah. Biar keputusannya ‘salah’ asalkan prosesnya betul, kerana jika prosesnya salah dan keputusannya betul, anak-anak kita akan membesar tanpa prinsip.

Begitu juga kita harus berani merangkul kegagalan.

Pada keberanian ini terdapat segala sifat yang terpuji dalam agama: yakin, reda, sabar dan tawakal.

Dan keberanian untuk gagal ini akan menjadikan kita insan yang jauh lebih matang dan berwibawa dalam menghadapi realiti hidup selepas alam persekolahan.

Ketika itu ujian bukan lagi yang bertulis, tetapi yang tertulis. Ujian bukan yang datang di setiap pertengahan dan penghujung tahun, tetapi hampir setiap hari. Maka jika seringkali berasa terpukul dengan kegagalan, bilakah masanya kita akan berani berdiri dan melangkah menuju kejayaan?

Belajar daripada sejarah Nabi Muhammad saw

Kebetulan, kita baru sahaja melalui Rabiulawal atau yang lebih dikenali dalam masyarakat kita sebagai bulan Maulid sempena hari kelahiran Nabi kita yang tercinta.

Mungkin cara terbaik mengekalkan momentum daripada hari dan bulan yang penuh bermakna tersebut adalah dengan memaknakan kehidupan kita dengan pengajaran demi pengajaran daripada kehidupan Baginda yang sangat prihatin terhadap proses dan sangat terbuka untuk belajar daripada kegagalan.

Rasulullah mendidik kita supaya memerhatikan sumber rezeki kita kerana ia berkait rapat dengan penerimaan doa kita.

Bahkan, dalam proses pembinaan sebuah rumah sekalipun, Baginda melarang para sahabat daripada meninggikan rumah mereka sehingga menghalang angin daripada sampai ke rumah jirannya.

Maka di sini kita melihat betapa Rasulullah tidak mengajar kita supaya berdoa dengan sekadar berdoa atau membina sesuatu tanpa mempertimbangkan prosesnya.

Begitu juga Baginda seringkali berdepan dengan ujian dan kegagalan sepanjang dakwah Baginda. Dakwah Baginda ditolak mentah-mentah sewaktu di Makkah dan Taif.

Baginda berdepan dengan kekalahan teruk dalam peperangan Uhud. Namun setiap ujian itu menjadikan Baginda lebih beriltizam untuk menghadapi kehidupan, dan bukan terus berputus asa.

Nikmatilah proses dan kegagalan!

Maka buatlah persiapan yang sebaiknya untuk peperiksaan yang bakal menjelang ini wahai pelajar, ibu bapa dan pendidik.

Lakukannya bukan kerana kita ketagihkan keputusan cemerlang, tetapi kerana proses belajar itu sebenarnya indah jika kita tidak membiarkan kerisauan kita mengaburkan hakikatnya.

Percayalah, menghargai proses dalam menongkah arus hidup merupakan hasil yang lebih cemerlang daripada keputusan peperiksaan di hujungnya. Raihlah kejayaan sebelum mendapat kejayaan!




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >