Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hidayah
32
0

Sedekah saat tersepit bukti iman, bawa ganjaran berganda

Jun 20, 2021 | 05:30 AM



USAHA mengawal nafsu dan membiasakan diri dengan perkara-perkara baik yang dilatih dalam Ramadan - bulan penuh keberkatan dan 'madrasah', atau sekolah, bagi Mukmin - tidak harus hilang dengan berlalunya bulan suci itu.



Ia, sebaliknya, harus menjadi bekalan kita untuk menempuh bulan--bulan mendatang hingga bertemunya Ramadan akan datang, insya-Allah.



Antara perkara yang boleh kita teruskan ialah amalan sedekah.



Semasa Ramadan, kita dibiasakan dengan amalan zakat, infaq dan lain-lain dengan tujuan mendapat rahmat-Nya.



Amalan ini juga dilaksana bagi memastikan agar saudara se-Islam kita yang dalam kesusahan dapat menikmati kemeriahan Syawal bersama Muslim lain.



Dalam agama Islam tidak ada yang ketinggalan sebab yang membezakan kita bukanlah harta atau kedudukan tetapi iman yang kental.



Ini berdasarkan sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak melihat pada bentuk rupa dan harta kalian, akan tetapi Allah swt hanya melihat pada hati dan amalan kalian".



Oleh itu, setiap amalan yang kita lakukan perlulah ikhlas kerana Allah swt, lebih-lebih lagi amalan sedekah.



Sebagai seorang Mukmin, kita digalak percaya bahawa setiap harta yang kita miliki bukanlah hak kita sahaja atau sepenuhnya, kerana terdapat juga di dalamnya rezeki bagi orang lain yang tidak kita ketahui.



Islam tidak melarang umatnya menjadi kaya. Yang dilarangnya ialah Muslim kaya-raya tetapi sombong dan tidak menjaga hubungannya dengan Tuhan serta dengan hamba-Nya.



Mukmin kaya bukanlah disebabkan banyak simpanan hartanya, sebaliknya yang kaya ialah Mukmin yang banyak sedekahnya, dan rela membantu meringankan beban saudaranya.



Ini dijelaskan dalam satu hadis Rasulullah saw. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesiapa membantu seorang Muslim (dalam) suatu kesusahan di dunia maka Allah akan menolongnya dalam kesusahan pada hari kiamat, dan sesiapa meringankan (beban) seorang Muslim yang sedang kesulitan, maka Allah akan meringankan (bebannya) di dunia dan akhirat".



Ganjaran bersedekah dengan ikhlas



Percayalah, setiap sumbangan kita akan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan ia tidak sedikit pun mengurangkan harta kita, bahkan ia memberikan pelbagai berkah daripada sumber yang tidak kita ketahui.



Allah swt berfirman dalam surah Ar-Rahman: 4, bermaksud: "Tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan (pula)".



Sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah, bermaksud: "Sedekah tidaklah mengurangi harta."



Dengan memahami hadis, Sheikh 'Utsaimin menjelaskan bahawa Nabi saw tidak mengucapkan sesuatu berdasarkan hawa nafsu baginda.



Kalau dilihat dari segi jumlah, harta tersebut mungkin saja berkurang. Namun kalau kita lihat dari segi hakikat dan keberkahannya, ia akan bertambah. Boleh jadi kita bersedekah $10, Allah beri ganti dengan $100 pula.



Sekarang kita dikejutkan dengan pandemik Covid-19 yang mengancam nyawa, dan sedang meningkat di beberapa tempat, serta beberapa peristiwa mengenai saudara seIslam kita menghadapi pelbagai cabaran.



Sudah pastinya keadaan ini merupakan qadak dan qadar Allah.



Adalah perlu bagi kita menghulurkan bantuan melalui wadah tepat untuk meringankan beban saudara kita, terutama sekali masjid, yang turut terjejas oleh keadaan sekarang.



Mungkin ada di antara kita berfikir pendapatan kita akan terjejas dengan memberi sedekah. Hakikatnya tidak begitu.



Sebenarnya, dalam keadaan kita tersepit tetapi tetap bersedekah, ia membuktikan tentang keimanan kita.



Seorang yang dalam keadaan sempit tetapi terus bersedekah akan mendapat ganjaran berlipat ganda daripada Allah swt.



Pernah suatu ketika seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah saw: "Wahai Rasulullah, sedekah bagaimana lebih besar pahalanya?"



Beliau menjawab: "Engkau bersedekah pada saat kau sihat disertai (sulit mengeluarkan harta), saat kau takut menjadi fakir, dan saat kau berangan-angan menjadi kaya. Dan janganlah kau menunda-nunda sedekah itu hingga nyawamu telah sampai di tenggorokan, kamu baru berkata, 'Untuk si fulan sekian dan untuk fulan sekian, dan harta itu sudah menjadi hak si fulan." (Muttafaqun 'Alaih).



Antara hikmah terpuji yang boleh kita ambil adalah amalan sedekah. Amalan ini boleh mendekati diri kita kepada Allah swt dengan keadaan kita yang semakin hari semakin mencabar ini.



Ia antara cara yang harus kita lakukan untuk terus menjaga hubungan dengan Al-Khaliq sebab yang boleh membantu kita mengharungi kehidupan harian hanyalah Allah semata-mata.



Dalam keghairahan ingin mencari ruang dan peluang bersedekah, perlu diperhatikan niat kita agar kita tidak terpengaruh oleh perkara yang akan menjejas keikhlasan kita.



Dan bersedekahlah melalui saluran yang kita yakini.




 • Penulis Ketua Jabatan Pelibatan Masyarakat & Dakwah di Masjid Darul Aman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >