Pandemik Covid-19 telah menjejaskan banyak sektor termasuk sektor makanan dan minuman (F&B) tetapi juga merupakan sektor yang banyak diceburi apabila pekerja diberhentikan atau pendapatan terjejas. Ini menyebabkan ramai peniaga baru yang muncul menjalankan perniagaan mereka di rumah atau pun menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menyewa gerai di pusat penjaja. BERITA HARIAN (BH) menemu ramah dua penjaja baharu yang membuka perniagaan mereka kurang setahun lalu. Sementara itu, satu kajian menunjukkan bahawa trend membeli makanan untuk dibawa pulang akan membawa kebaikan bagi F&B kerana kosnya yang lebih rendah.
DI tengah-tengah pandemik Covid19, orang ramai biasanya lebih berhati-hati apabila membuat keputusan besar dalam kehidupan mereka.
Namun, Encik Abdullah Azzam Jasmani dan ibunya, Cik Zarah Ahmad, pula mengorak langkah berani untuk meneroka peluang baru dalam kehidupan dengan menyelami bidang perniagaan makanan.
Mereka kini mengendalikan gerai Warong Azzam di Pusat Makanan Havelock Road, yang menjual pelbagai masakan Melayu - seperti mi soto, soto ayam, lontong kering, nasi sambal goreng dan sate - pada harga rendah dan berpatutan.
"Saya fikir bila lagi saya nak berniaga. Masa muda inilah kita ada banyak tenaga.
"Memang pada mulanya banyak kerja tetapi sebagai orang muda memang saya nak cari pengalaman dan saya bercita-cita menjadi seorang peniaga," kata Encik Azzam, yang sebelum ini bekerja sebagai pekerja penghantaran makanan untuk wadah dalam talian.
Perniagaan milik Encik Azzam dan ibunya ini adalah antara yang mengambil bahagian dalam satu inisiatif sokongan pemasaran oleh syarikat telekomunikasi StarHub.
Inisiatif itu menawarkan sokongan pemasaran secara percuma selama setahun kepada perniagaan kecil demi membantu peniaga mempertingkat penjualan dan mengiklankan khidmat mereka kepada orang ramai dengan memanfaatkan kepakaran pemasaran di dalam dan luar talian (omnichannel) StarHub.
Memulakan perniagaan baru di tengah-tengah pandemik Covid-19 ini tidak mudah, kata Encik Azzam.
Encik Azzam, 32 tahun, berkongsi ketika mereka baru saja mula melayari dunia perniagaan sekitar lapan bulan lalu, pemerintah mengenakan sekatan yang tidak membenarkan orang ramai menjamu selera di luar demi membendung penularan Covid-19.
Namun, keadaan kini bertambah baik dengan orang ramai boleh makan di luar, dan lebih ramai pelanggan kini semakin mengenali gerai mereka.
Tanpa mengetahui sebarang selok-belok perniagaan, Encik Azzam dan ibunya menimba pengalaman menjalankan perniagaan hari demi hari dan dengan hati terbuka menerima setiap maklum balas yang diberikan pelanggan mereka.
Ini juga termasuk mengubah resepi masakan demi memenuhi selera dan cita rasa pelanggan.
"Untuk nasi lemak kita, ada yang minta agar ayamnya lebih garing, jadi kita ambil maklum balas itu.
"Dulu dalam menu tak ada nasi sambal goreng tetapi sebab ada pelanggan yang minta, sekarang kita tawarkan dalam menu juga.
"Dulu, kita ambil sate daripada pembekal tetapi pelanggan tak berapa suka. Oleh itu, kita belajar resepi sendiri dan sekarang kita buat sendiri sate mengikut resepi kita," kata beliau.
Gerai Warong Azzam, yang dibuka dari 8 pagi hingga 10 malam, menjual masakan Melayu seperti nasi lemak, mi soto, lontong, dan epok-epok pada sebelah pagi.
Namun, mulai 5.30 petang pula, mereka akan mula menjual sate.
Encik Azzam berkata ibunya, Cik Zarah, merupakan tukang masak bagi kebanyakan hidangan tersebut, dengan beliau pula akan membantu menggoreng makanan seperti epok-epok dan juga membakar sate pada sebelah petang.
Harga makanan mereka juga rendah - misalnya, mi rebus dan soto ayam berharga $3 - kerana kebanyakan penduduk di kawasan sekitar pusat makanan itu merupakan warga emas dan mereka mahu memastikan harganya boleh dimampui semua.
Encik Azzam berharap perniagaan di gerai mereka itu akan terus bertambah maju dan beliau juga ada rancangan untuk memperluaskan perniagaan mereka pada masa depan.
"Saya ada terfikir juga nak berniaga makanan lain, seperti yong tau foo halal.
"Buat masa ini, kami nak kumpul modal dahulu. Insya-Allah, pada masa depan, mungkin kita mahu buka lagi satu kedai dan kembangkan perniagaan," kata beliau.
Perniagaan kecil yang berminat menyertai inisiatif oleh StarHub itu boleh melungsuri laman www.starhub.com/smallbusinessday.