Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:31
Maghrib
7:15
Isyak
8:27

Katerer majlis kahwin ke arah menu sihat

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Katerer majlis kahwin ke arah menu sihat

Berusaha sedia hidangan bagi bantu kurangkan kadar kencing manis dalam kalangan masyarakat
Apr 08, 2018 | 05:30 AM

PENYEDIA khidmat katering bagi majlis perkahwinan semakin ligat memikirkan pelbagai cara mengubah suai hidangan dan minuman ke arah tabiat pemakanan lebih sihat demi membantu mengurangkan kadar kencing manis dalam kalangan masyarakat Melayu.

Tinjauan ke atas 10 syarikat katering menunjukkan bahawa secara sebulat suara, mereka percaya usaha itu akan membantu mereka dalam mengetengahkan perubahan menyihatkan pada menu, sesuatu yang sebahagiannya mendakwa telah diperkenal namun kurang mendapat sambutan sebelum ini.

Semasa berucap di perbahasan jawatankuasa perbekalan (COS) Kementerian Kesihatan (MOH) bulan lalu, Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Amrin Amin, berkata Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) akan menawarkan lagi $15 juta bagi menyokong inovasi dalam kategori makanan lebih sihat di bawah Skim Pembangunan Ramuan Sihat (HIDS).

Buat masa ini sebanyak $20 juta geran sedemikian telah diperuntukkan di bawah HIDS.

Geran HIDS itu akan meliputi minuman manis, manisan dan sos.

"Ia berpotensi membuat perubahan, memanfaatkan keluarga warga Singapura dan boleh menyumbang kepada usaha mengurangkan gula dalam diet warga Singapura sehingga 25 peratus menjelang 2020," katanya.

Produk makanan sedemikian menyumbang sekitar 90 peratus daripada keseluruhan pengambilan gula dalam diet, katanya.

Semasa berucap dalam bahasa Melayu, Encik Amrin turut mendedahkan bahawa pihaknya telah bekerjasama dengan penyedia makanan dalam usaha mengubah cara pemakanan masyarakat setempat,

Menurut Pengurus RH Bridal & Studio, Cik Roswati Kassim, 55 tahun, sejauh ini belum ada pelanggan yang meminta menyediakan menu sihat sepanjang sedekad beliau menjalankan khidmat katering.

Pemilik D'Pelangi Weddings, Cik Rokiah Bustami, 62 tahun, yang sudah lapan tahun berkecimpung dalam industri ini pula berkata biasanya mereka yang meminta menu sihat secara khusus memang tidak banyak cuma sekadar tiga sahaja sejauh ini kerana "yang penting mereka nak makan sedap".

Bagaimanapun, sebahagian syarikat katering tetap berusaha membuat peralihan.

Sebagai contoh, pemilik yang juga Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Aroma Kampung, Cik Khadijah Mukhit, 45 tahun, berkata beliau telah memperkenal Menu Bijian Sempurna yang termasuk Nasi Dagang, Mi Hoon Kerabu dan Nasi Kerabu Kelantan.

Di bawah menu yang diperkenal sejak tahun lalu itu, Cik Siti Khadijah, yang berniaga di Joo Chiat Complex, telah mengolah hidangan tradisional dengan memperkenal nasi daripada beras perang bagi memperoleh serat dan khasiat tambahan.

Di samping itu, beliau yang menjalankan perniagaan katering sejak enam tahun lalu dan khidmat perkahwinan secara khusus sejak dua tahun lalu menyediakan Nasi Dagang berserta gulainya dengan penggunaan santan yang dikurangkan.

"Sebenarnya, saya sendiri mahukan makanan sihat tetapi cita rasa orang tua kita lain.

"Mereka nak yang tradisional Melayu juga sebab takut tetamu tak suka. Saya ikutkan sahaja sebab kita nak buat majlis bahagia jadi tak naklah nanti sampai bertengkar," akui Cik Anisah Mohd, 28 tahun, pegawai pentadbiran.

Bagi Haji Suhami Mohd, 55 tahun, pemandu yang baru melangsungkan perkahwinan anak lelakinya lewat tahun lalu, beliau mengalu-alukan pendekatan pemerintah yang menyeru agar masyarakat Melayu beralih kepada makanan sihat.

Dalam majlis di Woodlands Circle itu, beliau menyediakan nasi beras perang dan juga sudut buah-buahan.

Menurut pemilik Misyaz Bridal & Weddings, Cik Misnah Zainol, 53 tahun, beliau mula memperkenal menu sihat khususnya semasa majlis akad nikah dengan hidangan Lemak Cili Padi menggunakan susu segar selain air mentimun biji selasih.

"Bonusnya bagi saya ialah saya yang memasaknya sendiri. Maka itu, saya boleh mengawalnya. Saya memang tidak gunakan santan dan tidak menggunakan perisa makanan. Kalau kita tahu cara memasaknya, orang tidak akan perasan dan ia tetap sedap," kata Cik Misnah.

Bagi Pengarah Restoran Desa Kartika, Hajah Rosnani Gani, 57 tahun, dalam menu hidangan majlis perkahwinan, beliau menawarkan Mi Hoon Vegetarian yang lebih menyihatkan, salad segar selain rojak buah yang mengandungi madu sebagai ganti gula biasa.

"Saya rasa hidangan tradisi harus kita kekalkan, tapi kita sesuaikan dan memperkenal juadah lebih menyihatkan secara seiringan. Dengan itu, kita tetap boleh mendidik masyarakat kita ke arah pilihan lebih menyihatkan," ujar Hajah Rosnani yang menggunakan susu segar bagi juadah Ayam Lemak selain menggunakan beras basmati.

Bagi memudahkan peralihan, Pengurus Makmur Restaurant Pte Ltd, Cik Harfa Abdul Karim, 49 tahun, menawarkan 50 peratus nasi beriani dan 50 peratus nasi biasa. Bagi nasi biasa itu, beliau menggunakan nisbah 20:80 iaitu 20 peratus nasi beras perang dan 80 peratus nasi beras putih yang dimasak bersama.

"Untuk nasi ini, makan sikit terasa kenyang sebab nasinya mantap," katanya yang menyediakan nasi minyak dengan menggunakan sedikit sahaja minyak sapi dan digabung pula dengan minyak zaitun.

Di samping itu, Cik Harfa juga mengakui bahawa beliau keberatan menghidang makanan diproses seperti sosej memandangkan beliau sendiri tidak makan makanan sedemikian yang dipercayai sarat dengan bahan kimia.

Pengarah Amani Weddings Pte Ltd, Encik Mohamed Nor Ismail, atau lebih dikenali sebagai 'Kino', pula menambah:

"Masyarakat kita sendiri harus mengubah minda. Kalau mereka sendiri enggan mengubah minda mereka, apa pun yang kita buat saya rasa tidak akan menjadi."

Sebagai peniaga, Encik Kino menambah bahawa penyedia khidmat katering kadangkala berasa serba salah kerana jika mereka keberatan memenuhi permintaan tuan rumah, mereka berhadapan jdengan kehilangan perniagaan apabila pelanggan memilih syarikat lain.

"Mungkin kita kena letak gambar kaki yang dipotong di kaunter air sebagai peringatan tentang kesan kencing manis. Mungkin sahaja baru makin ramai orang yang akan beratur untuk ambil air kosong," selorohnya.

"Ia berpotensi membuat perubahan, memanfaatkan keluarga warga Singapura dan boleh menyumbang kepada usaha mengurangkan gula dalam diet warga Singapura sehingga 25 peratus menjelang 2020."
- Encik Amrin Amin, Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri) mengenai usaha HPB menawarkan lagi $15 juta bagi menyokong inovasi dalam kategori makanan lebih sihat di bawah Skim Pembangunan Ramuan Sihat (HIDS).

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3