Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Bang Bang Sauce’ jadi kegilaan, cetus barisan panjang di Ministry of Spud
Sebelum gerai Ministry of Spud dibuka, barisan pelanggan sudah mula terbentuk, dengan kebanyakannya golongan Gen Z dan Gen Alpha yang sanggup datang awal untuk menikmati kentang bakar yang tular di TikTok.
Ada juga yang mengejar satu ganjaran, pelanggan pertama dalam barisan akan menerima makanan secara percuma dan sering ditampilkan dalam video TikTok jenama itu.
“Bila kami beri pelanggan makan percuma, ia memberi impak. Mereka rasa, ‘Eh, aku dapat first’. Mereka beratur untuk masuk video dan ada yang tanya, ‘Boleh rakam saya?’ Mereka suka rasa macam mereka seorang bintang,” kata pengasasnya, Encik Abdul Khalil Abdul Mohsen.
Konsep itu diilhamkan daripada SpudBros, sebuah perniagaan kentang bakar di United Kingdom yang meraih populariti menerusi media sosial.
Spud merupakan istilah bagi kentang, yang dibakar sehingga lembut sebelum dibelah dan disajikan bersama pelbagai inti.
Ministry of Spud memberikan sentuhan tersendiri menerusi pilihan seperti Mac & Cheese Spud, $13, Chilli Beef Con Carne Spud, $15 dan Satay Spud, $16.
Namun, antara kombinasi yang kini menjadi kegilaan pelanggan ialah Mac & Cheese bersama Bang Bang Sauce, sos buatan sendiri yang mempunyai rasa manis, masam dan sedikit pedas.
Encik Khalil berkata sos tersebut mengandungi kira-kira 10 bahan dan melalui beberapa kali pengubahsuaian sebelum dilancarkan di Bazar Ramadan Geylang Serai pada 2025.
“Sebelum kita mulakan Bang Bang Sauce, memang sudah ada niat untuk hasilkan sos kita sendiri. Kita terus sesuaikan rasanya sebelum Bazar Geylang.
“Bang Bang Sauce memang homemade. Rasanya sweet and tangy. Bukan semua spud sesuai dengan sos ini. Tapi Chilli Beef dan Mac & Cheese memang kena dengan Bang Bang Sauce,” kata Encik Khalil.
Nama “Bang Bang” pula dicetuskan isterinya, Cik Marinah Umiharty Abdullah, yang mendapat inspirasi daripada latar belakang suaminya dalam tentera.
Populariti kombinasi tersebut melonjak selepas sebuah video interaksi Encik Khalil dengan seorang pelanggan muda menjadi tular di TikTok.
Apabila pelanggan itu mahu membuat pesanan, Encik Khalil terlebih dahulu meneka: “Before you say, I tell you...Mac & Cheese Bang Bang Sauce. (Sebelum awak cakap, saya beritahu awak… Mac & Cheese Bang Bang Sauce).”
Tekaannya tepat.
Video itu kemudian tersebar luas dan mencetuskan permintaan tinggi terhadap kombinasi tersebut, khususnya dalam kalangan pelanggan muda.
“Setiap kali budak-budak sebaya dia datang, mereka akan pesan Mac & Cheese Bang Bang Sauce. Saya sendiri tak sangka video itu akan jadi viral,” katanya.
Kesannya turut dirasakan pada operasi Ministry of Spud apabila permintaan terhadap makaroni meningkat mendadak.
“Makaroni yang dipesan dah berkarton. Kita pesan makaroni terlalu banyak di Singapura sampai pembekal pun ada masalah dengan stok kami,” kata Encik Khalil.
Kini, mereka memperuntukkan jumlah tertentu bagi Mac & Cheese untuk dijual setiap hari dan hidangan tersebut adakalanya habis dijual.
Bagi Encik Khalil, TikTok sememangnya menjadi antara strategi penting untuk memperkenalkan jenama itu sejak mereka menyertai Bazar Ramadan Geylang Serai.
“Dalam perniagaan, kami ada pelbagai strategi untuk ketengahkan jenama. Apabila kami di Bazar Geylang, kami cuma mahu orang tahu kami jual spud (kentang) di sana.
“Walaupun 50 orang kecam, kalau video itu sampai kepada 100,000 orang, mereka tetap akan tahu tentang jenama kami,” katanya.
Pasangan itu tidak menyasarkan Gen Z dan Gen Alpha sejak awal, namun menerima sambutan golongan muda itu sebagai satu rezeki.
“Kami tak rancang. Ini rezeki kami. Video dan pemasaran kami berjaya menarik mereka dan ia positif sejak beberapa bulan lalu,” tambah Encik Khalil.
Namun, perhatian pelanggan muda turut membawa tanggungjawab.
Beliau pernah menasihati mereka: “Pergi sekolah, jangan ponteng sekolah semata-mata mahu jadi orang pertama dalam barisan untuk dapat makanan percuma.”
“Kami sendiri ada anak. Kalau ada perkara yang kami tak mahu anak kami lakukan, kami juga perlu terapkan nilai yang baik kepada mereka,” katanya.
Menurut Cik Marinah, kemampuan mereka mengekalkan pelanggan selepas menjadi tular pula bergantung pada mutu makanan dan layanan.
“Kami lebih fokus kepada mutu makanan dan cara kami berinteraksi dengan pelanggan. Tidak kira apa pun, kami perlukan mereka, bukan mereka perlukan kami,” katanya.
Di sebalik jenama F&B itu, pasangan tersebut mempunyai latar belakang kerjaya yang jauh berbeza.
Encik Khalil merupakan bekas Sarjan Mejar yang berkhidmat sebagai anggota tetap tentera selama 15 tahun sebelum meninggalkan kerjayanya ketika pandemik Covid-19 untuk menceburi bidang keusahawanan.
Beliau pernah mengendalikan Tomaz, yang menjual antaranya kasut kulit Italy, beg dan pakaian, dari Mac 2022 hingga April 2025. Beliau juga mengusahakan D’Ventures SG, sebuah perniagaan pengalaman realiti maya (VR) Islamik yang bermula pada Jun 2024.
Cik Marinah pula merupakan bekas jurutera yang meninggalkan kerjayanya untuk menjaga anak-anak sebelum menjalankan perniagaan dalam talian dan kemudian membantu suaminya.
Ministry of Spud bermula sebagai perniagaan dari rumah sekitar Oktober 2024 sebelum membuat penampilan acara pertamanya di Bazar Ramadan Geylang Serai pada 2025.
Pasangan itu memilih untuk terus bergerak dari satu acara pop-up ke acara lain berbanding membuka kedai tetap.
“Bulan ini kami di Jurong dan bulan depan di Tampines. Ia beri kami peluang untuk ‘tour’ seluruh Singapura,” kata Encik Khalil.
Kini, pasangan tersebut mahu membawa populariti Bang Bang Sauce melangkaui TikTok dan gerai pasar malam.
Mereka sedang berbincang dengan beberapa syarikat pemprosesan makanan untuk menghasilkan sos tersebut dalam botol selepas menerima permintaan daripada pelanggan yang mahu membelinya secara berasingan.
“Ramai yang berminat. Ada yang datang ke gerai hanya untuk bertanya sama ada kami jual sos sahaja,” kata Encik Khalil.

