Sebelum gerai Ministry of Spud dibuka, barisan pelanggan sudah mula terbentuk, dengan kebanyakannya terdiri daripada golongan Gen Z dan Gen Alpha yang sanggup datang awal untuk menikmati kentang bakar yang tular di TikTok.

Ada juga yang mengejar satu ganjaran, pelanggan pertama dalam barisan akan menerima makanan secara percuma dan sering ditampilkan dalam video TikTok jenama itu.

“Apabila kami beri pelanggan makanan secara percuma, ia memberi impak.

“Mereka rasa, ‘Eh, aku dapat first (Eh, saya nak jadi yang pertama)’.

“Mereka beratur untuk masuk video dan ada yang tanya, ‘boleh rakam saya?’.

“Mereka suka kerana dapat rasa macam mereka seorang bintang,” kata pengasasnya, Encik Abdul Khalil Abdul Mohsen.

Konsep itu diilhamkan daripada SpudBros, sebuah perniagaan kentang bakar di United Kingdom yang meraih populariti menerusi media sosial.

Spud merupakan istilah bagi kentang, yang dibakar sehingga lembut sebelum dibelah dan disajikan bersama pelbagai inti.

Ministry of Spud memberikan sentuhan tersendiri menerusi pilihan seperti hidangan makaroni keju, Mac & Cheese Spud, $13; daging cencang, Chilli Beef Con Carne Spud, $15; dan Satay Spud, $16.

Namun, antara gabungan yang kini menjadi kegilaan pelanggan ialah Mac & Cheese bersama Bang Bang Sauce, sos buatan sendiri yang mempunyai rasa manis, masam dan sedikit pedas.

Encik Khalil berkata sos tersebut mengandungi kira-kira 10 bahan dan melalui beberapa kali pengubahsuaian sebelum dilancarkan di Bazar Ramadan Geylang Serai pada 2025.

“Sebelum kita mulakan Bang Bang Sauce, memang sudah ada niat untuk hasilkan sos kita sendiri.

“Kita terus sesuaikan rasanya sebelum berniaga di Bazar Geylang.

Bang Bang Sauce memang homemade (dibuat sendiri). Rasanya manis dan masam.

“Bukan semua spud sesuai dengan sos ini. Tapi Chilli Beef dan Mac & Cheese memang kena dengan Bang Bang Sauce,” kata Encik Khalil.

Nama ‘Bang Bang’ pula dicetuskan isterinya, Cik Marinah Umiharty Abdullah, yang mendapat inspirasi daripada latar belakang suaminya dalam tentera.

Populariti gabungan tersebut melonjak selepas sebuah video interaksi Encik Khalil dengan seorang pelanggan muda menjadi tular di TikTok.

Apabila pelanggan itu mahu membuat pesanan, Encik Khalil terlebih dahulu meneka: “Before you say, I tell you... Mac & Cheese Bang Bang Sauce. (Sebelum awak cakap, saya beritahu awak… Mac & Cheese Bang Bang Sauce).”

Tekaannya tepat.

Video itu kemudian tersebar luas dan mencetuskan permintaan tinggi bagi gabungan Mac & Cheese dengan Bang Bang Sauce, khususnya dalam kalangan pelanggan muda.

“Setiap kali budak-budak datang ke gerai kami, mereka akan pesan Mac & Cheese Bang Bang Sauce. Saya sendiri tak sangka video itu akan jadi tular,” katanya.

Kesannya turut dirasakan pada operasi Ministry of Spud apabila permintaan terhadap makaroni meningkat secara mendadak.

“Makaroni yang dipesan dah berkarton.

“Kami menempah makaroni dalam jumlah yang begitu banyak sehingga pembekal di Singapura sendiri berdepan kesukaran menyediakan stok untuk kami,” kata Encik Khalil.

Kini, mereka memperuntukkan jumlah tertentu bagi Mac & Cheese untuk dijual setiap hari dan hidangan tersebut adakalanya habis dijual.

Bagi Encik Khalil, TikTok sememangnya menjadi antara strategi penting untuk memperkenalkan jenama itu sejak mereka menyertai Bazar Ramadan Geylang Serai.

“Dalam perniagaan, kami ada pelbagai strategi untuk ketengahkan jenama.

“Apabila kami di Bazar Geylang, kami cuma mahu orang tahu kami jual spud (kentang) di sana.

“Walaupun 50 orang kecam, kalau video itu sampai kepada 100,000 orang, mereka tetap akan tahu tentang jenama kami,” katanya.

Pasangan itu tidak menyasarkan Gen Z dan Gen Alpha sejak awal, namun menerima sambutan daripada golongan muda itu sebagai satu rezeki.

“Kami tak rancang. Ini rezeki kami.

“Video dan pemasaran kami berjaya menarik mereka dan ia mendapat sambutan positif sejak beberapa bulan lalu,” tambah Encik Khalil.

Namun, perhatian pelanggan muda turut datang seiring tanggungjawab.

Beliau pernah menasihati mereka agar jangan ponteng sekolah semata-mata mahu jadi orang pertama dalam barisan untuk dapat makanan percuma.

“Kami sendiri ada anak. Kalau ada perkara yang kami tak mahu anak kami lakukan, kami juga perlu terapkan nilai yang baik kepada mereka,” katanya.

Menurut Cik Marinah, kemampuan mereka mengekalkan pelanggan selepas menjadi tular pula bergantung pada mutu makanan dan layanan.

“Kami lebih fokus kepada mutu makanan dan cara kami berinteraksi dengan pelanggan.

“Tidak kira apa pun, kami perlukan mereka, bukan mereka perlukan kami,” katanya.

Di sebalik jenama F&B itu, pasangan tersebut mempunyai latar belakang kerjaya yang jauh berbeza.

Encik Khalil merupakan bekas Sarjan Mejar yang berkhidmat sebagai anggota tetap tentera selama 15 tahun sebelum meninggalkan kerjayanya ketika pandemik Covid-19 untuk menceburi bidang keusahawanan.

Beliau pernah mengendalikan Tomaz, yang menjual antaranya kasut kulit Italy, beg dan pakaian, dari Mac 2022 hingga April 2025.

Beliau turut mengusahakan D’Ventures SG, sebuah perniagaan pengalaman realiti maya (VR) Islamik yang bermula pada Jun 2024.

Cik Marinah pula merupakan bekas jurutera yang meninggalkan kerjayanya untuk menjaga dua anaknya yang kini berusia dua dan tiga tahun, sebelum menjalankan perniagaan dalam talian dan kemudian membantu suaminya.

Ministry of Spud bermula sebagai perniagaan dari rumah sekitar Oktober 2024, sebelum membuat penampilan pertamanya di Bazar Ramadan Geylang Serai pada 2025.

Pasangan itu memilih untuk terus bergerak dari satu acara ‘pop-up’ ke acara lain berbanding membuka kedai tetap.

“Bulan ini kami di Jurong dan bulan depan di Tampines. Ia beri kami peluang untuk ‘tour’ seluruh Singapura,” ujar Encik Khalil.

Kini, pasangan tersebut mahu membawa populariti Bang Bang Sauce melangkaui TikTok dan gerai pasar malam.

Mereka sedang berbincang dengan beberapa syarikat pemprosesan makanan untuk menghasilkan sos tersebut dalam botol selepas menerima permintaan daripada pelanggan yang mahu membelinya secara berasingan.

“Ramai yang berminat. Ada yang datang ke gerai hanya untuk bertanya sama ada kami jual sos sahaja,” kata Encik Khalil.