Topik diikuti
Pergi ke BHkuBentuk pasta buatan tangan suntik cita rasa Melayu
Tampil dengan tekstur, lekuk dan alur unik bolehkan sos salut pasta dengan lebih baik
Bentuk pasta buatan tangan suntik cita rasa Melayu
Bukan sekadar spageti carbonara atau aglio olio, dunia pasta sebenarnya mempunyai ratusan bentuk unik, dengan setiap satunya dihasilkan menggunakan teknik dan ketelitian tersendiri.
Bagi Cef Muhammad Imran Sani, yang lebih dikenali sebagai Pasta Nerd, keindahan pasta buatan tangan bukan terletak pada bentuknya yang sempurna, sebaliknya pada tekstur, lekuk dan alur yang membolehkan sos menyaluti pasta dengan lebih baik.
“Tidak perlu bimbang tentang saiz atau bentuk pasta.
“Kita nak dapatkan alur dan kedutan supaya sos boleh menyalut dan melekat (pada pasta) dengan lebih baik.
“Kalau nenek-nenek di Italy, mereka tak kisah bentuk pasta cantik atau tidak, asalkan sos dapat disalut dengan baik (pada pasta),” jelasnya.
Cef Imran, yang tidak pernah mengikuti pendidikan kulinari formal, mula mendalami seni pasta menerusi perniagaan dari rumah ketika pandemik Covid-19.
Pada mulanya, beliau menghasilkan pasta segar bersama sos dan panduan memasak supaya pelanggan dapat menyediakan hidangan bermutu restoran di rumah.
Namun, minatnya berkembang apabila beliau mula melihat pasta sebagai karya seni.
“Waktu itu saya terfikir, kenapa tidak jadikan pasta itu sendiri sebagai masterpiece (karya agung)?” katanya.
Beliau kemudian bereksperimen dengan pelbagai teknik dan pewarna semula jadi, termasuk bayam, ubi bit dan buah-buahan, untuk menghasilkan pasta bercorak unik.
Teknik pasta berjalur dua muka yang menjadi identitinya mengambil masa hampir tiga bulan untuk disempurnakan.
Kini, hasil seni Cef Imran diperkenalkan menerusi kerjasama dengan restoran J65 di hotel JEN Singapore Tanglin by Shangri-La, sempena sambutan Hari Pasta Sedunia.
Antara bentuk pasta yang diketengahkan ialah trofie, agnolotti del plin, girasole dan tortelli piacentini, yang jarang ditemui dalam menu restoran tempatan.
Menariknya, beliau turut menggabungkan teknik tradisional Italy dengan cita rasa Melayu menerusi hidangan seperti udang lemak daun kunyit girasole dan lasagna pipi lembu berkuah gulai.
Menurutnya, pemilihan bentuk pasta perlu disesuaikan dengan jenis sos, bukan sekadar menggunakan spageti untuk setiap hidangan.
“Kalau kita nak buat lemak udang, kita kena fikir pasta apa yang paling sesuai dengan hidangan itu.
“Bukan semua pasta boleh dipakai,” jelasnya.
Hidangan udang lemak daun kunyit itu juga mendapat sambutan sehingga habis dalam sejam setengah.
Kehalusan seni pasta buatannya turut mendapat perhatian di luar Singapura, dengan Cef Imran dijemput mengendalikan bengkel dan kelas di Indonesia, Malaysia serta Filipina.
Beliau juga pernah berkongsi kepakarannya dengan pelajar institusi pendidikan, termasuk universiti-universiti di Korea Selatan.
Walaupun ada yang menggelarnya ‘Pasta Master’, beliau lebih selesa dengan nama ‘Pasta Nerd’ kerana percaya masih banyak yang perlu dipelajari.
Buat masa ini, beliau memilih untuk meneruskan kerjasama melalui acara sementara atau pop-up, yang turut dinanti-nantikan pelanggan kerana itulah peluang mereka menikmati pasta hasil tangannya.
Namun, impiannya adalah untuk memiliki ruang sendiri yang menggabungkan bengkel membuat pasta, pengalaman menjamu selera dan peluang memasak untuk pelanggan.
Beliau tidak menolak kemungkinan merealisasikan impian itu di luar Singapura, mengambil kira cabaran industri makanan dan minuman setempat.
Pelanggan masih berpeluang menikmati hidangan pasta istimewa Cef Imran menerusi bufet makan malam Pasta Fiesta di restoran J65, hotel JEN Singapore Tanglin by Shangri-La, yang berlangsung hingga 1 November 2026, dari Jumaat hingga Rabu, 6 petang hingga 9.30 malam.
Harga bufet bermula daripada $88++ bagi dewasa dan $44++ bagi kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun.
J65, JEN Singapore Tanglin by Shangri-La,
Alamat: 1A Cuscaden Road, Singapura 249716Jumaat hingga Rabu, 6 petang hingga 9.30 malam