Bufet
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

The Buffet Club bawa cita rasa lauk pengantin ke meja bufet

Ubah strategi daripada bidang perkahwinan ke restoran berkonsep bufet buah hasil
Jan 16, 2026 | 9:02 AM
Singapura, The Buffet Club
Pemilik The Ballroom Singapore dan kini The Buffet Club, Shaikh Qamal Adam dengan pengurus besar, The Buffet Club, Encik Zainal Abidin Ismail. The Buffet Club terletak di 86 East Coast Road. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bagi pemilik The Ballroom Singapore dan kini The Buffet Club, Shaikh Qamal Adam, setiap hidangan yang keluar dari dapurnya di 86 East Coast Road bukan sekadar sajian biasa.

Beliau sentiasa menganggapnya hasil daripada kepuasan dan berkat doa.

“Apabila pelanggan makan dan berpuas hati, itulah barakah bagi kami.

“Rasa puas apabila pelanggan tahu bahawa terdapat banyak usaha yang dilakukan bagi memastikan mutu makanan disediakan dengan baik,” katanya semasa diwawancara Kaki Makan baru-baru ini.

Ini dapat dilihat dan dirasa dalam setiap sajian yang dihidangkan di bufetnya.

Sejak mengambil alih ruang tersebut pada 2019 semasa ia dikenali di bawah jenama, The Ballroom Singapore, Shaikh Qamal menekankan bahawa tumpuan utama perniagaan dalam sektor perkahwinan lebih pada makanan.

“Tetamu datang jauh semata-mata untuk menghadiri majlis, maka kami tidak mahu mereka pulang dengan rasa kecewa.

“Justeru itulah elemen yang sangat saya tekankan sejak memulakan perniagaan perkahwinan adalah makanan,” katanya.

Bagi Shaikh Qamal, makanan bukan sekadar untuk tetamu, malah beliau ingin memastikan ia meninggalkan kesan positif kepada keluarga pengantin.

“Ini majlis keramaian, jadi kami mahu pastikan makanan yang mereka nikmati meninggalkan kesan yang baik, bukan sahaja buat kami, malah untuk ibu bapa pengantin.

“Alhamdulillah, walaupun selepas majlis, apabila kami bertemu ibu bapa pengantin, mereka selalu memberitahu bahawa tetamu masih membicarakan makanan itu, bahkan beberapa bulan atau tahun selepas majlis selesai,” katanya.

Kini, pelanggan tidak perlu menunggu majlis perkahwinan atau kad jemputan untuk menikmati hidangan The Ballroom.

“Mereka boleh datang dan menikmati hidangan yang kami masak pada bila-bila masa,” kata Shaikh Qamal.

Pada masa yang sama, permintaan untuk menikmati hidangan tanpa menunggu majlis mendorong mereka menubuhkan Food ETC, sebuah platform penghantaran dan katering ke rumah dan pejabat.

“Sambutannya cukup baik sejak ia ditubuhkan,” jelasnya.

Peralihan daripada format majlis perkahwinan ke konsep bufet mempunyai cabarannya tersendiri.

Ini kerana bagi majlis perkahwinan, pihaknya hanya menyediakan maksimum 20 jenis hidangan, ditambah dengan kuih-muih.

Bagaimanapun, di The Buffet Club, sekurang-kurangnya 80 hingga 90 jenis hidangan perlu disediakan.

Menurutnya, tetamu majlis biasanya akan terus menuju ke sajian beriani, sesuatu yang juga biasa dilihat di The Buffet Club.

“Pada awalnya, ia merupakan satu cabaran mengurus jumlah makanan untuk mengelakkan pembaziran, tetapi pada masa yang sama, pelanggan tidak berasa kekurangan atau menunggu lama bagi hidangan tertentu ditokok,” ujarnya.

Seperti The Ballroom, The Buffet Club kini juga terkenal dengan beriani penuh dengan rempah dan nasi gebu, manakala daging kambingnya lembut hingga cair di mulut.

Baginya, setiap usaha menjaga mutu, rempah, cara penyajian dan kebersihan adalah penting.

Selain nasi beriani, pelanggan juga dapat menikmati masakan Melayu di restoran ini.

Hidangan seperti nasi lemak kukus, sambal goreng pengantin, rawon tetelan, asam pedas, ayam bakar Padang dan pelbagai lauk kampung menjadi antara pilihan kegemaran pelanggan tetap, terutama bagi generasi lebih berusia yang membesar dengan cita rasa sebegitu.

Pada masa yang sama, The Buffet Club turut menawarkan hidangan Barat dan Asia lain yang lebih ‘ringan’ dan memenuhi selera golongan muda.

Ia termasuk beberapa pilihan pasta, daging panggang serta stesen makanan dengan tukang masak atau ‘live station’ yang menyediakan nasi ayam Hainan.

Gabungan itu menjadikan sajian bufet di situ sesuai untuk pelbagai peringkat umur, daripada kanak-kanak dan remaja, hinggalah pelanggan dewasa dan warga emas.

Bagi menjadikannya lebih mesra keluarga, harga bufet makan malam ditetapkan pada $79++ bagi dewasa, dengan tawaran beli satu dan percuma untuk seorang pelanggan lain.

Harga bagi kanak-kanak pula ialah $19++, yang membolehkan pelanggan menikmati hidangan bermutu dengan nilai yang dianggap berpatutan.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan yang terbaik bagi pelanggan kami – dari segi makanan, suasana dan khidmat.

“Pucuk pangkalnya, bila mereka rasa puas hati, mereka akan kembali ke sini. Apabila pelanggan gembira, kami pun turut gembira,” ungkap Pengurus Besar, The Buffet Club, Encik Zainal Abidin Ismail.

The Buffet Club
Alamat: 86 East Coast Road, #02-01, Singapura 428788
Waktu Operasi:
  • Rabu dan Khamis: 1 petang hingga 2.30 petang; 5 petang hingga 7 malam; dan 7.30 malam hingga 9.30 malam

  • Jumaat: 5 petang hingga 7 malam; dan 7.30 malam hingga 9.30 malam

  • Sabtu dan Ahad: 11 pagi hingga 12.30 petang; 1 petang hingga 2.30 petang; 5 petang hingga 7 malam; dan 7.30 malam hingga 9.30 malam

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg