Bermula dengan modal hanya $100 dan idea memudahkan anak-anak menikmati dadih tanpa bersepah, personaliti TikTok, Cik Nurul Athirah Mohamed Khairwan, menjual pencuci mulut nostalgia tersebut dalam bungkusan unik.

(Dari kiri) Dadih perisa Grape, Chocolate, PuDrinks Cookies & Scream dan My Caramel Romance, serta dadih Blue Vanilla dan Strawberry yang ditawarkan Dadih Chill. Dadih yang dibungkus dalam pek bertutup direka supaya mudah dinikmati dengan hanya menyedutnya terus daripada pek tanpa perlu menggunakan sudu. PuDrinks pula mempunyai tiga lapisan, iaitu dadih sebagai lapisan bawah, minuman berasaskan susu di tengah dan buih krim vanila masin di bahagian atas.
(Dari kiri) Dadih perisa Grape, Chocolate, PuDrinks Cookies & Scream dan My Caramel Romance, serta dadih Blue Vanilla dan Strawberry yang ditawarkan Dadih Chill. Dadih yang dibungkus dalam pek bertutup direka supaya mudah dinikmati dengan hanya menyedutnya terus daripada pek tanpa perlu menggunakan sudu. PuDrinks pula mempunyai tiga lapisan, iaitu dadih sebagai lapisan bawah, minuman berasaskan susu di tengah dan buih krim vanila masin di bahagian atas. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Cik Athirah, 29 tahun, yang mempunyai sekitar 47,100 pengikut di TikTok, mengasaskan Dadih Chill bersama suaminya, Encik Muhammad Taufiq Muhamad Raffi, juga 29 tahun.

Dadih merupakan sejenis puding susu sejuk yang popular di Singapura dan Malaysia, dikenali dengan teksturnya yang lembut, licin dan kenyal serta rasa susu yang ringan dan tidak terlalu manis.

Bagi Cik Athirah yang pernah membesar di Malaysia, dadih bukan pencuci mulut yang asing.

“Saya dah terbiasa dengan makanan Malaysia. Bila saya buat dadih untuk suami, dia asyik cakap, ‘Kau tak nak cuba jual dadih?’ Saya fikir, siapa nak beli? Ia cuma dadih dan mudah didapati,” katanya kepada Berita Harian.

Namun, idea meletakkan dadih dalam bungkusan minuman pula tercetus daripada keperluannya sebagai ibu kepada dua anak.

“Saya mahu anak-anak makan dadih juga. Mereka suka makan sendiri, tapi kalau makan pencuci mulut, lantai semua bersepah.

“Jadi kami masukkan dadih dalam pek. Kami tak ajar pun macam mana nak makan. Mereka sendiri buka dan sedut. Kami tengok dan rasa senang, tak bersepah dan tak melekit,” tambahnya.

Dadih yang dibungkus dalam pek bertutup direka supaya mudah dinikmati dengan hanya menyedutnya terus daripada pek tanpa perlu menggunakan sudu.

Dengan modal awal sekitar $100, Cik Athirah membeli bahan-bahan dan mula menghasilkan dadih meskipun Encik Taufiq, yang mengakui dirinya bukan seorang yang gemar mengambil risiko, pada awalnya mahu mereka menunggu.

“Kalau saya tak mula, memang tak akan mula,” kata Cik Athirah.

Namun, menghasilkan dadih yang mempunyai rasa dan tekstur konsisten bukan semudah yang disangka.

Pasangan itu mengambil masa sekitar satu hingga dua bulan untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk mendapatkan tekstur dan suhu yang sesuai serta memperhalusi kaedah penyediaannya.

Menurut Encik Taufiq, beberapa percubaan awal mereka gagal meskipun mereka sudah mengetahui kaedah asas membuat dadih.

“Kami buat R&D banyak kali sebab pada awalnya peralatan yang kami gunakan pun sembarangan. Banyak kali dadih kami rosak. Jadi saya buat kajian sendiri. Kami tukar kuali, senduk dan pastikan peralatan itu digunakan khusus untuk membuat dadih sahaja,” katanya.

Mereka juga meneliti suhu serta masa yang sesuai untuk memasukkan setiap bahan bagi memastikan hasilnya konsisten.

Namun, proses percubaan itu bukan tanpa kerugian.

“Kami pernah terpaksa membuang hampir 1,000 pek dan memulangkan wang pelanggan apabila dadih yang dihasilkan tidak mencapai mutu yang ditetapkan,” kata Encik Taufiq.

“Hati sakit apabila kena buang. Itulah duit yang hilang dan kami bukan kaya mana pun untuk membazir,” tambah Cik Athirah.

Dadih Chill mula dijual menjelang Ramadan menerusi TikTok Live. Pada sesi pertama, ramai penonton masih bertanya apakah dadih.

Namun, pada hari kedua jualan, kesemua 81 pek habis dijual dalam masa kurang sejam. Kini, menurut Cik Athirah, sekitar 250 pek boleh terjual dalam masa 20 minit ketika sesi jualan langsung.

Setiap pek dijual pada harga $1.50.

Selain perisa awal Blue Vanilla, Strawberry dan Chocolate, Dadih Chill kini menawarkan King Corn, Paddlepop dan That’s Grape, selain Ondeh-Ondeh yang diperkenalkan sempena Hari Raya Haji.

Menurut Cik Athirah, pembungkusan itu juga sebahagian usahanya memperkenalkan semula pencuci mulut tersebut kepada generasi muda.

“Kami bukan sekadar jual produk, tapi kami jual konsep. Saya cuba mendidik Gen Z dan Gen Alpha supaya jangan tinggalkan tradisi. Kita perlu menghargai tradisi kita, tapi dalam cara yang lebih moden,” katanya.

Selepas Ramadan, permintaan berkembang kepada rumah terbuka dan perhimpunan Hari Raya, dengan kebanyakan tempahan melibatkan lebih 50 pek.

Peluang membawa Dadih Chill ke majlis perkahwinan pula muncul secara tidak dirancang.

Menurut Encik Taufiq, mereka pada awalnya memang mempunyai hasrat untuk meneroka pasaran tersebut tetapi belum mempunyai peluang berbuat demikian.

“Kebetulan ada pelanggan yang membuat tempahan dan apabila kami hantar, rupanya untuk sebuah majlis perkahwinan.

“Di situ, perancang perkahwinan, Ijab Qabul, mendekati kami dan bertanya mengapa kami tidak bekerjasama dengan mereka sebagai vendor,” katanya.

Pertemuan itu membawa kepada kerjasama Dadih Chill dan kini menawarkan pakej troli dadih untuk pasangan yang mahu menghidangkannya kepada tetamu.

Kata Cik Athirah pula, mereka sudah menerima tempahan bagi satu majlis pada Disember 2028.

“Kami dah ada tempahan untuk Disember 2028. Kami pun cakap dengan mereka, tunggu dulu sebab lama lagi,” katanya berseloroh.

Jenama itu kemudian mengambil satu lagi langkah dengan memperkenalkan PuDrinks ketika acara Grandmarket Mak Besar dari 31 Julai hingga 2 Ogos.

Diilhamkan konsep minuman seperti bubble tea, PuDrinks menggunakan dadih sebagai lapisan asas atau ‘topping’ bersama minuman berasaskan susu.

Antara perisanya ialah Berry in Green, Mango’s a Peach, Grape Escape, My Caramel Romance dan Cookies & Scream.

Sambutannya menyaksikan pasangan tersebut terpaksa menghentikan operasi gerai buat sementara waktu sebanyak dua kali untuk mendapatkan bekalan tambahan.

“Kami terpaksa tutup gerai dua kali untuk tambah stok sebab semuanya habis dijual,” kata Encik Taufiq.

Sekitar tujuh bulan selepas bermula, permintaan Dadih Chill kini turut datang daripada sekolah, hospital dan syarikat, selain tempahan pukal bagi acara seperti Hari Guru.

Perniagaan itu juga telah mendapatkan ruang khusus bagi penyimpanan produknya dan melabur dalam peti pendingin lebih besar untuk meningkatkan kapasiti.

Walaupun mempunyai puluhan ribu pengikut di TikTok sebelum memulakan Dadih Chill, Cik Athirah menegaskan statusnya sebagai pencipta kandungan bukan jalan pintas kepada kejayaan perniagaan tersebut.

“Menjadi pencipta kandungan bukan bermakna ia satu ‘shortcut’. Ia tetap memerlukan kerja keras dan idea yang boleh menarik orang. Tak semestinya kalau ada pengikut, kami boleh jual apa sahaja dan orang akan sokong. Kami fikir daripada ‘A’ sampai Z, apa yang kami mahu pasarkan dan bagaimana kami mahu menjualnya,” katanya.

Malah, kandungan yang biasa dihasilkannya tidak berkaitan dengan produk Dadih Chill.

Menurutnya, seseorang juga tidak memerlukan jumlah pengikut yang besar untuk memulakan perniagaan sekiranya mempunyai idea yang kukuh.

“Mana-mana orang yang tak ada pengikut pun boleh mula. Yang penting kena ada idea yang kukuh, tahu bagaimana nak tarik orang dan kena komited. Itu yang paling penting,” katanya.

Daripada modal $100 dan pek dadih bernilai $1.50, pasangan itu kini melihat kemungkinan membawa Dadih Chill lebih jauh.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki, mungkin kami boleh ada kedai sendiri. Orang boleh datang dan kami boleh ada cawangan Dadih Chill sendiri,” kata Encik Taufiq.