Cinta masyarakat Singapura terhadap masakan Korea nampaknya tidak menunjukkan tanda-tanda surut.
Jenama tempatan Yaksok yang kini kembali beroperasi di Bali Lane, menjadi antara destinasi tempat makan untuk memuaskan keinginan menikmati hidangan Korea.
‘Yaksok’, yang bermaksud ‘janji’ dalam bahasa Korea, melambangkan keazaman pengasasnya, Cik Raudhah Osman, bersama suaminya, penyanyi tempatan Ryan Sufiyan, untuk terus menyajikan hidangan Korea.
“Kami mulakan Yaksok di Tanjong Pagar pada 2023.
:Ia sebenarnya berlaku secara kebetulan, memang tidak terlintas untuk buka kedai makan,” kata Cik Raudhah.
Peluang itu hadir apabila mereka ditawarkan tiga bulan sewa percuma.
“Kami fikir, kenapa tidak mencuba? Tetapi kawasan pusat bandar (CBD) tidak sesuai, Sabtu dan Ahad tiada pelanggan.
“Selepas tiga bulan, kami serahkan semula tempat itu,” tambahnya.
Pasangan itu kemudian berpindah ke Amoy Street Food Centre dan berniaga di sana dari Mei 2024 hingga 31 Julai lalu.
Namun, operasi yang terhad pada waktu makan tengah hari sahaja tidak cukup untuk mengembangkan perniagaan.
Selain Yaksok, mereka turut terkenal dengan perniagaan ‘pop-up’ Yodaebak pada acara seperti pesta dagangan apabila hidangan sushi bake atau susyi yang dibakar dalam dulang menjadi kegilaan pelanggan.
Pada awal 2025, seorang rakan dalam industri makanan dan minuman (F&B) mencadangkan agar mereka melihat sebuah unit kosong di Bali Lane, bersebelahan kedai rakannya.
“Kami ambil masa tiga hingga empat hari untuk berfikir.
“Rasa ingin cuba lagi memang kuat walaupun tetap ada rasa takut,” ujar Cik Raudhah.
Ryan menambah: “Sebenarnya kami tidak mahu buka kedai fizikal kerana banyak perkara perlu difikirkan.
“Tapi selepas berbincang dengan tuan tanah (pemilik hartanah), saya rasa kami patut cuba lagi.
“Langkah ini menunaikan impian lama saya untuk buka kedai di Arab Street.
“Dulu saya fikir mustahil kerana sewa mesti tinggi tetapi sekarang apabila sudah berada di sini, rasanya seperti mimpi.”
Bali Lane dan kawasan Arab Street memang terkenal dengan suasana meriah serta deretan makanan halal.
Di sini, Yaksok ingin menawarkan lebih banyak hidangan dan pelbagai, yang sesuai untuk keluarga serta golongan belia.
Antara hidangan utama yang mencuri perhatian ialah Ssam Platter berharga $25.
‘Ssam’ bermaksud ‘balut’ dan platter membawa konsep barbeku Korea dalam satu set lengkap.
Pelanggan boleh mula menjamu selera dengan membuat bungkusan salad yang rangup dengan menambah hirisan daging lembu suki yang cair di dalam mulut atau ayam katsu di atasnya.
Kemudian lapisinya dengan kimchi, oi muchim iaitu salad timun yang masam pedas serta sos manis pedas istimewa Yaksok.
“Tujuannya ialah supaya dalam satu gigitan, pelanggan dapat rasa setiap bahagian isinya.
“Semuanya sudah dimasak, jadi pelanggan hanya perlu membalut dan menikmatinya,” jelas Cik Raudhah.
Berbeza dengan kebiasaan di Korea, pelanggan di sini tidak perlu memasak daging sendiri.
Menu lain termasuk Spicy Gochunagi Pasta, $25, spageti digaul dalam sos gochujang pekat dengan rasa pedas, manis dan sedikit berkrim, serta Yaksok’s Special Pasta, $24, yang disalut sos manis pedas buatan sendiri dan dihidangkan bersama ikan kod goreng.
Untuk pilihan lebih ringkas dan baru, pelanggan boleh cuba Beef Rice Burger with Tater Tots, $15 atau Salmon Rice Bowl, $18.
“Menu kami berubah mengikut selera pelanggan. Ada yang mahu kongsi hidangan, jadi kami tambah pilihan platter supaya semua orang boleh rasa bersama.
“Kami juga hasilkan sos sendiri yang melengkapkan setiap hidangan,” kata Cik Raudhah.
Suasana di cawangan baru ini juga berbeza.
“Di Tanjong Pagar dahulu, pelanggan menjamu selera seperti makan di restoran mewah, walaupun sebenarnya tidak (bukan restoran mewah).
“Di sini (Bali Lane) kami mahukan suasana seperti makan di jalanan yang lebih santai, boleh dinikmati setiap hari.
“Kami mahu restoran kami ini mesra keluarga dan menarik untuk golongan muda,” jelas Ryan.
Yaksok mempunyai ruang yang boleh menampung sekitar 20 tempat duduk di dalam dan empat di luar.
“Saya jenis yang rasa, tidak apalah cuba sahaja.
“Kalau rugi pun, sekurang-kurangnya kita sudah mencuba,” kata Cik Raudhah yang mengambil risiko untuk membuka kafe di Bali Lane.
Isnin hingga Ahad 11.30 pagi hingga 10 malam
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg