Jika kafe lain menampilkan hiasan ringkas dan bersifat minimalis atau menekankan kesederhanaan, berbeza pula dengan kafe halal, Binge, di kawasan Tiong Bahru.
Ia dihias warna-warni, kelihatan ceria dan meriah dengan warna kuning dan biru serta suasana santai yang mengundang kebahagiaan untuk anda duduk makan bersama keluarga atau sahabat handai.
Terletak di Seng Poh Lane, ia menjadi daya tarikan pelanggan Melayu/Islam kerana di kawasan tersebut tidak banyak tempat makan halal yang boleh anda temui.
Nama kafe ini, ‘Binge’, juga menarik kerana ia menggambarkan keadaan seseorang yang makan lewah atau memanjakan diri dengan makan banyak.
Ditanya mengenai konsep kafe tersebut yang menjual aneka sandwic dan burger, pemilik Binge, Encik Arfian Ishak, 38 tahun, berkata:
“Dari kecil, saya memang suka sandwic dan burger. Kalau keluarga saya makan nasi, saya tetap akan cari roti. Memang saya anak yang agak pelik sedikit dalam soal pemakanan.”
Binge banyak dipengaruhi oleh gaya sandwic dari Amerika Syarikat.
Namun, Encik Arfian tidak sekadar meniru, sebaliknya menyesuaikan dengan cita rasa tempatan.
Antara hidangan paling laris ialah roti sandwic panjang berisi hirisan tipis stik daging lembu dan keju cair, Benny’s Cheesesteak ($18), yang diinspirasikan daripada Philly Cheesesteak.
Encik Arfian menukar hirisan daging tebal kepada daging shabu-shabu yang lebih tipis, cair di mulut dan mudah dimakan, dilengkapi sos keju buatan sendiri, bawang karamel dan taburan daun kucai.
Hidangan lain ialah, Grand Poobah ($18), resipi yang diinspirasikan daripada masakan ibu mentuanya dari Filipina.
Daging bahagian dada direbus perlahan selama lapan jam sebelum dihidangkan bersama roti sourdough (roti menggunakan ragi khas).
“Saya cuba bawa rasa yang saya alami sendiri dari masakan Filipina kepada masyarakat Muslim kita.
“Ramai belum terdedah dengan budaya makanan seperti ini. Jadi, saya buat versi halal supaya mereka juga boleh rasa pengalaman berbeza,” jelasnya.
Trend yang tular dalam sektor makanan dan minuman (F&B) kini ialah minuman matcha.
“Matcha strawberi ($9) saya ialah minuman paling laris. Oleh kerana matcha sangat digemari, kami juga bereksperimen dengan matcha taro (keladi) ($9) dan matcha tiramisu (perisa kopi) ($9). Kami banyak lakukan kajian supaya kekal relevan,” katanya.
Selain sandwic dan burger, kafe Binge menawarkan pilihan pastri daripada One18 Bakery, termasuk Kunafa Pistachio ($7.90) dan Pistachio Supreme ($6.90) yang mempunyai rasa manis seimbang dan penuh rasa kacang pistasio.
Apa yang membezakan Binge ialah keberanian bermain dengan warna.
Ia disengajakan dengan ruang makan dipenuhi dengan hiasan warna ceria.
“Saya tidak mahu konsep minimalis sebab itu terlalu biasa.
“Saya suka benda yang kelihatan ‘garang’ seperti warna ‘garang’ dan penuh keceriaan sebab orang yang datang makan akan mengamati dengan mata mereka dulu.
“Apabila mereka nampak warna, mereka rasa lebih tenang dan seronok,” ujarnya.
Selain itu, Binge turut memperkenalkan ikon maskot sandwic yang dinamakan Benny, melambangkan identiti santai dan mesra pelanggan.
Encik Arfian akur perjalanannya dalam membuka Binge bukannya mudah.
Beliau pernah menubuhkan kedai makan lain hampir sedekad lalu, tetapi gagal kerana sikap terlalu yakin dan kos sewa yang tinggi.
“Dulu saya keras kepala, tidak mahu dengar nasihat. Kedai itu gagal beroperasi sebab saya masih muda.
“Tapi daripada kegagalan itu, saya belajar. Kali ini, saya tahu apa nak buat dan apa yang perlu dielakkan,” tambahnya.
Binge ingin menjadi lebih daripada tempat makan dan mahu menjadi ruang untuk masyarakat berbilang kaum dan peringkat usia bersatu di bawah satu bumbung.
Ketika majlis pembukaan rasmi baru-baru ini, Encik Arfian menyewa ruang meletak kereta, mendirikan khemah dan menjemput deejay.
Lebih 80 pelanggan hadir, jauh melebihi jangkaan awalnya.
“Mula-mula saya takut sebab hanya 10 orang daftar di Instagram. Tapi akhirnya, hampir 90 orang datang. Sambutan itu buat saya terharu.
“Saya sedar, sokongan pelanggan dan masyarakat sangat penting,” kata beliau yang terharu dan cukup emosi semasa diwawancara Berita Harian (BH).
Walaupun berada di kawasan yang jarang menampilkan kafe halal, Encik Arfian, yakin Binge mampu menarik pelanggan daripada pelbagai latar belakang.
“Pagi-pagi ramai pelanggan ekspatriat datang. Tengah hari pula ramai pelanggan Cina.
“Malam minggu, masyarakat Melayu pula memenuhi ruang dan lebih selesa untuk lepak. Itu yang saya suka, makanan kami boleh dinikmati semua,” tambahnya.
Dengan sambutan yang menggalakkan itu, Encik Arfian, ingin mengembangkan Binge kepada empat hingga lima cawangan di Singapura dalam tempoh tujuh tahun, sebelum membawa jenama itu ke Bali, Malaysia dan Filipina.
Isnin hingga Jumaat, 10 pagi hingga 9 malam, Sabtu dan Ahad, 9 pagi hingga 9 malam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg