Rasa masam, pedas dan menyegarkan daripada hidangan Asam Laksa Penang menjadi inspirasi utama di sebalik penubuhan jenama D’Laksa oleh pengasasnya, Encik Jaysern Tan, lebih sedekad lalu.
Ia bermula dengan sebuah gerai kecil di Johor Bahru, Malaysia, pada 2012.
D’Laksa kini berkembang menjadi jenama makanan jalanan Malaysia yang menembusi pasaran Singapura.
“Saya memang gemar Asam Laksa Penang sejak dulu. Namun sukar untuk mencari versi yang benar-benar asli dan konsisten dari segi rasa serta kebersihan.
“Dari situlah tercetus idea menubuhkan D’Laksa, supaya lebih ramai orang dapat menikmati rasa sebenar Penang Asam Laksa dalam bentuk moden dan mudah diakses,” jelas Encik Tan.
Menurut beliau, sambutan masyarakat Singapura terhadap hidangan itu amat menggalakkan sejak D’Laksa membuka cawangan di sini.
“Orang Singapura memang menghargai makanan Malaysia, terutamanya yang mempunyai cita rasa autentik.
“Ramai pelanggan kami teruja apabila dapat menikmati laksa Penang sebenar tanpa perlu menyeberang Tambak,” tambahnya.
Keunikan laksa Penang terletak pada kuahnya yang berasaskan ikan kembung, dipadankan dengan asam jawa, nanas, bunga kantan serta daun pudina yang memberikan keseimbangan antara rasa masam, pedas dan segar.
Di D’Laksa, setiap mangkuk disediakan menggunakan sos rahsia bagi mengekalkan rasa yang konsisten.
“Bagi saya, laksa Penang yang baik mesti seimbang. Ia tidak boleh terlalu masam atau terlalu berbau ikan.
“Kami cipta sos rahsia ini supaya pelanggan dapat menikmati rasa yang sama setiap kali datang,” ujar Encik Tan.
Selain Asam Laksa, D’Laksa turut memperkenalkan menu baru seperti Asam Pedas Ikan Pari, menggunakan pari segar dimasak dalam kuah pedas masam buatan sendiri.
Asam Laksa dijual pada harga $5 setiap mangkuk, manakala Asam Pedas Ikan Pari bersama nasi berharga $7.90.
Isnin hingga Ahad, 10 pagi hingga 10 malam
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg