Sebelum ini, pelanggan sejauh Woodlands dan Jurong dikatakan sanggup ke Changi Village untuk menikmati nasi beriani dam yang wangi dan penuh rempah di kedai makan Cahaya Timur, meskipun ruang makannya agak terhad.
Kini, peminat beriani tidak lagi perlu bersesak.
Mereka boleh menikmati sajian tersebut dalam suasana lebih selesa selepas pemiliknya, Encik Jamaludin Latiff, 70 tahun, mengambil langkah berani melabur sekitar $300,000 untuk membuka ruang makan yang lebih luas – hanya beberapa unit dari gerai asalnya.
Ruang baru itu kini mampu menampung sekitar 250 pelanggan pada satu-satu masa, peningkatan ketara berbanding hanya 20 pelanggan di kedai lamanya.
“Dulu saya masak untuk sekitar 300 pelanggan sahaja di kedai kecil.
“Sekarang, pada hujung minggu, kami boleh menyediakan antara 600 dengan 1,000 pinggan nasi beriani. Hari biasa pun sekitar 600 pinggan.
“Apakan tidak, ada pelanggan sejauh utara dan barat Singapura, seperti Woodlands dan Jurong, yang sanggup datang ke sini untuk menikmati beriani kami,” jelasnya sejak berpindah ke ruang baru itu.
Nasi beriani dam merupakan nasi jenis basmati setengah masak dan disusun di atas ketulan daging yang diperap rempah.
Nasi kemudian ditutup rapat dan dimasak perlahan menggunakan bara arang yang diletakkan di atas periuk.
“Kami masih menggunakan arang seperti datuk nenek kami dulu.
“Arang menjadikan nasi kering, tidak cepat basi dan boleh tahan sehingga dua atau tiga hari,” kata Encik Jamaludin.
Rempah pula menjadi rahsia utama keunikan Cahaya Timur.
Beliau membawa masuk rempah terus dari India untuk memastikan rasa yang asli.
“Kalau beli rempah yang sudah siap dicampur, rasanya tidak seenak yang dijangkakan.
“Setiap pagi, saya sendiri sediakan rempah itu, dan saya tidak akan beli rempah yang sudah siap dicampur. Yang penting, rempah mesti tulen,” tegasnya.
Encik Jamaludin memulakan perniagaan pada 1985 dengan hanya menyewakan khemah, periuk dan pinggan mangkuk untuk pelbagai majlis.
“Peluang menjual nasi beriani timbul apabila orang ramai mula buat tempahan dengan saya.
“Abang sulung saya mengajar saya menyediakan beriani. Dari situ, saya mula berniaga nasi beriani,” tambahnya.
Adik-beradiknya juga mahir dalam menyediakan beriani hasil tunjuk ajar bapa mereka, Allahyarham Abdul Latiff.
“Saya merupakan yang terakhir dalam kalangan adik-beradik yang pandai masak beriani,” jelasnya, yang baru mula berniaga di dapur sendiri pada usia 50-an tahun.
Pada 2015, beliau menubuhkan dapur pusat khusus untuk katering majlis perkahwinan dan acara besar-besaran, menampung pesanan sehingga 6,000 hidangan sekali masak.
“Biasanya saya buat 30 hingga 40 tempahan, tetapi paling banyak, saya pernah menyediakan beriani untuk 6,000 tetamu bagi sebuah acara maulud,” kongsinya.
Apabila pandemik Covid-19 melanda pada 2020, Encik Jamaludin memberanikan diri membuka kedai pertama di Changi Village, yang hanya mampu menampung 20 tempat duduk.
“Selepas pandemik Covid-19, sambutan semakin baik.
“Ramai bakal pengantin menempah katering daripada kami kerana mendapat pengesyoran daripada ibu bapa mereka,” kata Encik Jamaludin.
“Orang muda lebih pentingkan hiasan dan ruang majlis, manakala ibu bapa pula lebih menekankan mutu makanan.”
Baru-baru ini, Encik Jamaludin diberi peluang berpindah ke restoran lebih luas.
Beliau akur pada mulanya agak bimbang dengan peluasan tersebut.
“Ramai peniaga pernah buka kedai di sini tapi gagal.
“Alhamdullilah, saya ada ramai pengikut dan pelanggan setia, insya-Allah mereka akan sokong saya,” jelasnya.
Kini, pelanggan boleh menikmati pelbagai pilihan beriani seperti kambing ($10); beriani ayam ($9); beriani ikan ($12); beriani udang ($15) dan beriani dengan betis kambing atau lamb shank ($20).
Terdapat juga set beriani makanan laut kombo khas untuk empat orang, yang memerlukan tempahan awal.
“Ramai yang suka beriani kambing sebab saya letak rempah lebih.
“Kalau beriani ayam pun saya buat cara dam – ayam di bawah, nasi di atas. Lamb shank pula dimasak sehingga lembut,” katanya.
Dengan ruang yang lebih besar, beliau turut menambah hidangan ke dalam menu seperti asam pedas kepala ikan, hidangan laut Thailand dan pilihan barat.
“Idea ini datang daripada kawan saya. Beliau berpendapat, kalau kedai besar, jual beriani sahaja tidak mencukupi,” tambahnya.
Walaupun pelbagai menu diperkenalkan, beriani dam kekal sebagai sajian utama.
“Saya sendiri jarang makan beriani di luar.
“Susah nak cari yang betul-betul seperti ini. Bagi saya, kelembutan nasi dan aroma rempah yang harum itu sangat penting,” kongsinya.
Kini, dengan lebih ramai pekerja, rutin hariannya juga berubah.
“Dulu, kedai kecil kekurangan pekerja, jadi saya terpaksa datang seawal 3 pagi.
“Sekarang, dengan bantuan pasukan yang ada, saya hanya perlu tiba sekitar 6 pagi.
“Lagipun, kedai dekat dengan rumah saya, jadi mudah untuk saya ke dapur,” jelasnya.
Ditanya mengenai harapannya, Encik Jamaludin berkata beliau ingin anak-anaknya meneruskan legasi perniagaan Cahaya Timur.
“Harapan di kedai baru ini memang cerah.
“Buat masa ini, kami masih baru di lokasi besar, jadi saya perlukan sokongan orang ramai untuk terus menikmati sajian kami,” ujarnya.
Waktu Operasi: Isnin hingga Ahad, 7 pagi hingga 12 tengah malam
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg