Fatimah Mohsin bangkit semula, buka restoran Thai

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fatimah Mohsin bangkit semula, buka restoran Thai

Jan 23, 2026 | 3:30 PM

Fatimah Mohsin bangkit semula, buka restoran Thai

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapura, Fatimah Mohsin, 555 Busking Halal Thai
Fatimah Mohsin kembali dengan restoran Thai, 555 Busking Halal Thai selepas restoran pertamanya, 555 Halal Galore, di Kranji ditutup pada 2023. Restoran terbaru ini dibuka berhampiran The Bus Collective di 5 Teluk Paku Road, berhampiran Changi Village. - Foto BH oleh KHALID BABA

Ternyata perkataan ‘takut’ tidak wujud dalam diri usahawan perkahwinan dan Makanan & Minuman (F&B), Cik Fatimah Mohsin.

Bagi beliau, selagi ada peluang perniagaan yang baik, beliau tidak akan melepaskannya.

“Saya seorang ahli perniagaan. Kalau saya takut, saya tidak akan bergerak,” katanya tegas.

Beliau berkecimpung dalam industri perkahwinan dan fesyen berbekalkan pengalamannya selama 27 tahun.

Selepas melalui pengalaman pahit dalam industri F&B, Cik Fatimah bangkit semula dengan pembukaan 555 Busking Halal Thai di 5 Teluk Paku Road, berhampiran Changi Village.

Kebangkitan semula beliau dalam dunia perniagaan F&B lahir daripada keyakinan dan cinta terhadap masakan Thai.

Ambil risiko buka restoran di kawasan terpencil

Menurutnya restoran ini merupakan sambungan kepada perniagaan F&B, 555 Halal Galore, yang pernah beroperasi di Kranji sejak 2020.

Ketika itu, Cik Fatimah mengambil risiko membuka restoran tersebut yang terletak di kawasan yang dianggap sunyi atau ulu.

“Bila saya ambil lokasi di Kranji, orang kata itu kawasan mati. Tapi saya suka suasana alam semula jadi. Saya memang nak buat lokasi itu meriah dan menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Usaha itu berhasil apabila restoran tersebut menjadi tumpuan, malah penuh dengan pelanggan dan tempahan majlis perkahwinan.

Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama.

Pada 2023, restoran berkenaan terpaksa ditutup akibat kenaikan kadar sewa yang mendadak.

“Ia sangat mengejutkan. Kami sangka selepas pandemik Covid-19, kami boleh menstabilkan perniagaan secara perlahan.

“Tapi sewa dinaikkan lebih dua kali ganda. Walaupun restoran penuh dan ramai pelanggan, kami tidak mampu teruskan,” jelasnya.

Keputusan menamatkan operasi perniagan itu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa, namun tidak dapat dielakkan.

“Sedih sangat sebab sambutan memang baik,” tambahnya.

Kekecewaan itu membuatkan Cik Fatimah menjauhkan diri daripada konsep restoran Thai itu untuk seketika.

“Saya perlu ‘healing’ (sembuh) dulu,” katanya.

Dalam tempoh itu, beliau menceburi satu lagi cabang F&B dengan membuka Loong Dim Sum, sebuah restoran tertumpu pada hidangan dim sum pada Januari 2025.

“Loong Dim Sum banyak ajar saya tentang operasi, pengurusan dan perspektif baru. Ia betul-betul membuka mata saya,” ujarnya.

Pada Jun 2025, beliau kembali merancang untuk memulakan perniagaan masakan Thai.

“Bagi saya, ia bukan sekadar restoran. Saya ingin tempat pelanggan boleh makan, santai, berhibur bersama keluarga dan sekaligus mengadakan majlis perkahwinan,” katanya.

Hasilnya, 555 Busking Halal Thai dibuka dengan kapasiti 120 tempat duduk yang mesra keluarga, menawarkan suasana terbuka, sambil ditiup angin laut.

“Menu kami masih sama kerana bila kami tutup dulu, orang masih ingat, ikan Chu Chi, Tom Yam, kerabu kerang. Itu yang buat saya rasa sedih dan itulah sebabnya kami kembali dengan sajian Thai ini,” katanya.

Antara hidangan paling laris ialah Thai Mango Salad ($12); Thai Basil Chicken ($10); Chu Chi Spicy Thai Curry Seabass with Mantou ($45); Spicy Steam Sea Prawn ($30); dan sup Tom Yam ayam, $30.

Bagi Cik Fatimah, pengajaran paling besar daripada pengalaman lalu ialah pentingnya mempunyai kontrak sewa jangka panjang.

“Hari ini, bina jenama bukan (mengambil) setahun dua. Nak ‘break even’ (untuk mendapatkan kembali modal pelaburan dari perniagaan) pun ambil tiga hingga empat tahun.

“Kalau kontrak jangka singkat dan perniagaan nampak bagus, sewa boleh naik,” katanya.

Namun, beliau kekal berpegang pada prinsip berani mencuba dan tidak rasa takut.

Harga makanan di restoran tersebut juga berpatutan.

“Harga kami hampir sama seperti tempat makan kami di Kranji dulu. Saiz makanan yang dihidangkan besar, sesuai dikongsi anggota keluarga,” jelasnya.

Mengimbangi dua perniagaan F&B dan kerjaya dalam industri perkahwinan, Cik Fatimah melihat semuanya berjalan seiring.

“Saya suka masak untuk keluarga, itu terapi saya. F&B ini peluang besar untuk saya berhubung dengan pelanggan. Saya ingin bawa jenama ini lebih jauh, mungkin ke luar Singapura,” katanya.

Dengan sokongan suami yang juga rakan niaga, Encik Ary Ahmad, serta rakan niaga yang sama sejak awal di Kranji, Encik Farmes Ong, beliau yakin langkah ini permulaan baru yang lebih kukuh.

“Selain restoran ini, saya akan menumpukan masa kepada industri perkahwinan di pasaran Malaysia pula,” ujarnya.

Lungsuri akaun Instagram @555busking_halalthai di https://www.instagram.com/555busking_halalthai/

555 Busking Halal Thai
Alamat: 5 Telok Paku Road, #01-01, Singapura 508883
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 8 pagi hingga 2 petang, dan 5 petang hingga 11 malam

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg