Minuman & Kafe
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pomegranate tawar sajian teh petang dalam suasana santai

Jan 16, 2026 | 9:27 AM
Singapore, Pomegranate, high tea, teh petang, Najihah Salim
Pengasas, The Wonderment Collective (TWC) dan Pomegranate, Cik Najihah Salim, di kafe minum petangnya, Pomegranate di Duo Galleria, berdekatan Beach Road. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Melangkah masuk ke Pomegranate, kafe minum petang halal, pengunjung disambut dengan suasana yang tenang dan bergaya.

Pomegranate menyajikan hidangan ringan, atau high tea, yang boleh dinikmati pada lewat petang bersama teh, snek ringan dan pencuci mulut.

“Saya memang sentiasa sukakan konsep afternoon tea (minum teh petang). Di rumah, itulah cara kami sekeluarga meluangkan masa bersama.

“Apa yang saya nikmati, itulah yang saya mahu kongsikan dengan pelanggan,” kata Pengasas, The Wonderment Collective (TWC) dan Pomegranate, Cik Najihah Salim.

Dibuka pada November 2025, Pomegranate merupakan lanjutan perjalanan The Wonderment Collective (TWC) yang bermula sejak 2004 dalam industri perkahwinan, walaupun kini TWC tidak lagi aktif dalam bidang tersebut.

Ketika itu, syarikat yang dikenali sebagai The Wedding Chateau menumpukan kepada bidang penganjuran majlis, rekaan berkat atau ‘doorgift’, serta makanan seperti makaron dan kek bertingkat, atau ‘tower cake’.

“Waktu dalam industri perkahwinan memang agak mencabar, hujung minggu pun terpaksa bekerja.

“Bila umur semakin meningkat, saya ingin luang lebih masa untuk diri sendiri. Jadi saya memilih untuk bergerak ke arah sesuatu yang membolehkan saya mengurus masa dengan lebih baik,” kata Cik Najihah.

“Saya sangat bersyukur kepada mereka yang telah menyokong saya sejak 2004 dan datang kembali untuk menyokong usaha terbaru saya kini,” tambahnya.

Cik Najihah banyak meluangkan masa menghasilkan pencuci mulut seperti biskut, kek dan skon dengan pembungkusan dan estetik menarik yang dikaitkan dengan jenamanya.

Percubaan pertama ke arah perniagaan kafe bermula di Aljunied.

Pada awalnya, ia dirancang sebagai dapur pusat, tetapi ruang kecil itu secara tidak sengaja dibuka kepada orang ramai.

“Kafe itu sangat kecil, hanya memuatkan 13 tempat duduk,” katanya sambil ketawa.

“Tapi sambutannya di luar jangkaan. Permintaan bagi high tea memang tinggi,” tambahnya.

Namun, selepas tamat tempoh pajakan dan juga pandemik Covid-19, Cik Najihah memilih untuk berehat seketika pada 2022.

“Saya rasa perlu fikirkan apa sebenarnya pelanggan inginkan,” katanya.

Tempoh hampir dua tahun digunakan untuk membuat kajian, menilai maklum balas pelanggan dan mencari lokasi lebih sesuai.

“Walaupun kami tutup, pertanyaan oleh pelanggan mengenai kafe kami tidak pernah berhenti,” ujarnya.

Daripada proses itu, maka lahirlah Pomegranate di Duo Galleria yang terletak di 7 Fraser Street, berdekatan Beach Road, dengan keluasan yang mampu memuatkan sekitar 40 hingga 45 pelanggan.

Menu di Pomegranate mencerminkan pendekatan dan sentuhan Cik Najihah sendiri.

Tumpuan utama adalah set teh petang berharga $70 untuk dua orang, merangkumi sandwic, pilihan kek dan tart, skon buatan sendiri bersama krim dan jem, serta dua jenis teh.

“Skon kami memang antara yang paling laris sejak dulu lagi. Ia resipi yang kami perhalusi dari masa ke masa,” kata beliau.

Selain itu, kafe itu turut menawarkan hidangan sarapan.

Antara menu pilihan ialah sajian sarapan Inggeris, atau full English breakfast, berharga $20, yang terdiri daripada telur hancur, sosej, cendawan, aneka sayuran bermusim, kentang, roti sourdough dan jem.

Di kaunter pastri, pelanggan disambut dengan Yuzu Tart – diperbuat daripada buah sitrus yuzu – berharga $8 dan kek lobak merah berharga $8.50.

Keutamaan Pomegranate tertumpu kepada pilihan sajian halal yang setanding dari segi visual dan pengalaman.

“Kalau orang datang bukan sahaja untuk makan, malah rasa tenang dan dihargai, itu sudah cukup bagi saya,” ujar Cik Najihah.

Pomegranate
Alamat: 7 Fraser Street, #01-34/35 Duo Galleria (berdekatan Beach Road), Singapura 189356
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Khamis, 9.30 pagi hingga 6 petang

  • Jumaat dan Sabtu, 9.30 pagi hingga 8 malam

  • Ahad, 9 pagi hingga 5.30 petang

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg