Pondok Abang lihat permintaan produk beku naik 30% jelang Ramadan, Raya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pondok Abang lihat permintaan produk beku naik 30% jelang Ramadan, Raya

Tingkat kapasiti hasilkan makanan beku, buka kilang kedua di Tuas South
Feb 6, 2026 | 2:00 PM

Pondok Abang lihat permintaan produk beku naik 30% jelang Ramadan, Raya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
pondok abang, ramadan, syawal
Pemilik syarikat pengeluar makanan beku halal Pondok Abang, Encik Hasan Abdul Rahman, melihat permintaan produk beku meningkat 30 peratus setiap tahun menjelang Ramadan dan Syawal. - Foto BH oleh KHALID BABA

Merebus paru selama sejam dua, memotongnya satu per satu dan memastikan teksturnya sempurna merupakan antara tugasan paling memakan masa bagi peniaga makanan Melayu.

Cabaran itu bukan asing bagi pengasas dan pemilik generasi kedua Pondok Abang, Encik Hasan Abdul Rahman, yang suatu ketika dahulu bermula sebagai peniaga di pusat penjaja yang dimulakan ayahnya.

Encik Hasan, mengambil alih syarikat daripada bapanya, Encik Abdul Rahman Yad Ali, pada akhir 2015.

Berbekalkan pengalaman itu, Pondok Abang memperkenalkan paru berempah sedia guna pada 2010.

“Idea itu terhasil selepas ayah saya membeli kilang pertama di Jurong pada 2008.

“Ia asalnya bertujuan sebagai dapur pusat bagi membekalkan lauk ke gerai sendiri,” jelas Encik Hasan.

“Apabila kami melihat kilang itu mempunyai kapasiti lebih, kami mula dengan produk berempah dan tawarkan kemudahan ini kepada kedai-kedai lain.”

Kini ia menjadi satu langkah yang mengurangkan beban penyediaan makanan bagi peniaga dan pengguna di rumah.

Hari ini, Pondok Abang menghasilkan hingga satu tan paru setiap hari.

Sebagai pelan jangka panjang, Pondok Abang telah melabur dalam automasi sejak 2019, meningkatkan kapasiti pengeluaran daripada kurang satu tan kepada dua tan bagi setiap syif.

Pada 2024, syarikat itu membeli kilang kedua di Tuas South, menghadap Forest City, Johor Bahru, sebagai hab automasi dan pengembangan perniagaan demi mengambil peluang Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Kami mahu sentiasa memperbaiki diri dan menyokong masyarakat dengan produk yang cepat, mudah, lazat dan bermutu, terutamanya dari aspek halal.

“Makanan Melayu boleh lebih progresif dan tersedia luas, bukan sahaja di pasaran tempatan bahkan juga di luar negara,” ungkap Encik Hasan.

Permintaan terhadap produk siap dimakan meningkat sekitar 30 peratus berbanding tahun sebelumnya sempena Ramadan dan Hari Raya.

Menurut Encik Hasan, tarikan utama produk itu adalah kemudahan.

“Bukan sahaja pelanggan muda, malah pelanggan berusia pun menyukainya.

“Mereka tidak perlu pergi ke pasar, angkat barang berat atau berdiri lama di dapur kerana makanan Melayu ini memang rumit untuk hasilkan,” katanya.

Beliau menambah, perubahan gaya hidup dan kekurangan tenaga kerja mendorong penerimaan produk sebegitu.

“Apabila kita pergi ke gerai makan, kita nampak ramai peniaga menghadapi cabaran dengan isu tenaga kerja.

“Produk yang sudah siap seperti ini (paru) jadi satu penyelamat bagi operasi mereka,” katanya.

Selain peniaga, pengguna rumah juga semakin kreatif mengolah produk tersebut.

Ada yang menumis bawang terlebih dahulu sebelum menambah ayam masak merah yang sudah disiap masak oleh Pondok Abang atau mencampurkan sayur mengikut cita rasa sendiri.

“Kami gembira apabila pengguna boleh menyesuaikan resipi mengikut selera mereka,” ujar Encik Hasan.

Beliau berkongsi pengalaman pelanggannya yang kadang-kadang mendapat tetamu datang ke rumah secara mengejut semasa Hari Raya.

“Tuan rumah hanya perlu keluarkan daging rendang yang dibeku atau ayam masak merah, panaskan dan hidangkan.

“Tetamu pula menganggap masakan itu dimasak segar di rumah, padahal ia produk sejuk beku,” katanya.

Sejak 2015, Pondok Abang menawarkan pakej Hari Raya dalam bentuk sejuk beku, memastikan penghantaran lebih teratur dan makanan tahan lama.

Antara kandungan pakej Syawal mereka termasuk rendang daging, ayam masak merah, sambal goreng pengantin, ketupat, serunding, pes lodeh serta minuman, dengan harga $59 dan $99.

“Dengan produk sejuk beku, pelanggan boleh simpan dan guna apabila perlu.

“Makanan juga tidak akan senang basi,” katanya.

Ada pelanggan yang menghantar Encik Hasan gambar produk Pondok Abang yang dibawa sejauh Switzerland dan Iceland untuk dinikmati dengan kemudahan yang sedia ada.

“Makanan beku itu disimpan dalam beg pendingin sebelum dimasukkan ke dalam tempat bagasi,” katanya.

Menariknya, dengan kemudahan lauk beku, hidangan istimewa seperti sambal goreng pengantin boleh dinikmati pada bila-bila masa.

“Pelanggan tidak perlu tunggu untuk majlis kahwin atau perayaan Hari Raya untuk menikmatinya.

“Setiap hari, mereka boleh menjamu selera lauk Hari Raya seperti daging rendang dan sambal goreng pengantin yang biasanya mengambil masa berjam-jam untuk masak,” jelasnya.

Bagi memastikan mutu halal terpelihara, Pondok Abang mengawal rantaian bekalan sendiri melalui syarikat pemprosesan daging, Straits Butchering Co.

Semua bahan diproses segar tanpa pengawet, dimasak dengan kaedah tradisional, dimasak, sebelum dibekukan menggunakan teknologi ‘blast-freeze’, yang menurunkan suhu daripada suhu bilik kepada -18°C ke bawah dalam masa beberapa jam.

Produk itu boleh bertahan hingga setahun.

Cabaran kos bahan mentah tidak boleh dielakkan.

“Niat kami adalah untuk kekalkan harga mampu milik. Jadi kami beli terus dari sumber dan hasilkan dalam kuantiti besar untuk stabilkan kos,” ujar Encik Hasan.

Pondok Abang Frozen Mart
Alamat: 74 Bukit Batok Street 31, #01-214, Singapura 650374
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 8 pagi hingga 6 petang

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg