Menjelang Ramadan dan Hari Raya, kilang Asyura Paste di Jurong Food Hub, yang menghasilkan sos dan pes sedia dimasak, tidak pernah sunyi.
Seawal 7 pagi, pekerja sibuk menyiapkan rempah bagi lauk kegemaran ramai seperti rendang, ayam masak merah, sambal goreng, lodeh dan sambal tumis bagi memenuhi tempahan yang semakin meningkat.
Namun, di sebalik kejayaan Asyura Paste hari ini, perjalanan Cik Norhuda Rabani, pemilik jenama ini, penuh dengan cabaran.
Cik Norhuda memulakan perniagaannya pada 2004 sebagai perniagaan dari rumah (HBB).
Pada awalnya, beliau membuat pes masakan untuk memudahkan kerja memasak kerana suaminya tidak gemar makan di luar.
Tetapi, apabila saudara-mara mula meminta beliau menjual pes itu, Cik Norhuda sedar bahawa ia mempunyai potensi untuk berkembang.
Namun, perjalanannya tidak mudah.
Pernah suatu ketika, beliau membuka sebuah kedai nasi padang, tetapi perniagaan itu gagal dalam tempoh sembilan bulan, menyebabkan beliau kehilangan semua simpanannya, termasuk wang simpanan anak-anak.
“Saya rasa sangat terjejas sebab anak-anak masih kecil. Saya terpaksa melakukan pelbagai kerja – menjual nasi lemak, mengajar tuisyen – demi menampung keluarga,” katanya.
Ketika keadaan semakin mencabar, satu keajaiban berlaku.
“Satu hari, saya pergi ke (pasar raya) Sheng Siong dan isi borang cabutan bertuah. Kemudian saya dapat panggilan telefon yang berkata, ‘Tahniah, anda menang $100,000!’.
“Masa itu saya sangat terkejut sebab memang saya dan keluarga sedang memantau setiap sen yang dibelanjakan.”
Dengan wang itu, Cik Norhuda mengambil keputusan untuk mengembangkan perniagaan rempahnya secara serius.
“Saya tahu ini peluang yang Allah beri, jadi saya mesti gunakan wang dengan bijak,” tambahnya.
Pada 2011, Asyura Paste membuka kilang mereka.
Namun, Cik Norhuda masih perlu meyakinkan peniaga untuk menerima produknya.
“Saya bawa bagasi penuh dengan rempah ke pasar dan cuba tawarkan kepada peniaga. Ada yang mentertawakan saya. Saya buka beg, dan ada seorang peniaga yang buat lawak, seolah-olah saya buat sesuatu yang lucu,” ceritanya.
Bagaimanapun, beliau tidak berputus asa demi mencari rezeki yang halal.
Bermula dengan hanya beberapa kedai, kini rempah Asyura boleh didapati di lebih banyak kedai dan pasar raya di Singapura seperti di NTUC, Toko Warisan, Suzy Ameer dan pelbagai lagi.
Permintaan untuk pes Asyura Paste meningkat, tetapi kos bahan mentah juga semakin mahal.
“Sekarang, hendak menjaga mutu pes sangat mencabar kerana bahan seperti bawang dan serai perlu digunakan segar, bukan yang disimpan lama dalam peti sejuk. Ini semua menjejaskan rasa,” kata Cik Norhuda.
Untuk memastikan mutu pes yang dijual, beliau sendiri atau suaminya akan mencuba setiap pes sebelum ia dibungkus.
“Ini adalah salah satu cara kami memastikan rasa rempah tetap sama seperti dahulu, walaupun kami sekarang menghasilkan ribuan paket setiap hari,” tambah Pengurus Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Asyura Paste, Cik Amira Ramlan.
Beliau merupakan anak sulung Cik Norhuda, yang mempunyai empat anak, kesemuanya perempuan.
Antara rempah yang paling dicari ialah rempah lodeh dan rendang, dua sajian klasik yang tidak boleh dipisahkan daripada sambutan Aidilfitri.
Lodeh, lauk berkuah santan yang kaya dengan sayur-sayuran, sering dihidangkan bersama lontong pada pagi Hari Raya.
Namun, tidak ramai yang menyedari betapa rempah lodeh kurang mendapat perhatian pada hari biasa.
“Kalau bukan bulan puasa atau Raya, satu daripada 10 kedai saja yang akan tempah rempah lodeh. Tapi bila tiba Hari Raya, ia jadi rempah paling dicari,” kata Cik Amira.
Disebabkan permintaan yang mendadak itu, pasukan di Asyura Paste perlu menyiapkan rempah lodeh lebih awal, memastikan stok mencukupi untuk pelanggan yang ingin menyediakan hidangan itu dengan mudah dan pantas.
Rendang pula adalah antara rempah pertama yang dihasilkan oleh Asyura Paste sejak penubuhannya.
Hidangan daging yang dimasak perlahan dengan santan dan rempah-ratus itu mengambil masa yang lama untuk disediakan, tetapi dengan Rendang Paste Asyura, proses memasak menjadi lebih ringkas tanpa mengorbankan rasa asli.
“Kami cuba kekalkan rasa homemade (buatan sendiri), walaupun kini kami menghasilkan beribu-ribu paket.
“Setiap hari, ibu bapa saya sendiri akan mencuba rempah sebelum ia dibungkus untuk memastikan mutu tetap terjaga,” kata Cik Amira.
Bagi mereka yang mahukan sesuatu yang sedia dimakan, Ready-to-Eat Rendang juga menjadi pilihan, terutama bagi golongan muda atau mereka yang sibuk bekerja.
Untuk memudahkan pelanggan, Asyura Paste menawarkan ‘Raya Bundle’ pada harga $52.90, satu set khas yang mengandungi Sambal Tumis, Sambal Goreng, Ayam Masak Merah, Lodeh, dan Rendang Paste.
Ia bakal dijual pada minggu kedua Mac di laman web Asyura Paste dan di TikTok Shop.
“Kami akan lancarkan ‘Raya Bundle’ dengan rempah-rempah yang paling digemari semasa Hari Raya. Ini semua untuk memudahkan pelanggan menyediakan juadah tradisional tanpa perlu menyediakan rempah dari awal,” jelas Cik Amira.
Pelanggan boleh mendapatkan ‘Raya Bundle’ di TikTok dan laman web rasmi Asyura Paste, tetapi bekalan terhad kerana permintaan tinggi sepanjang musim perayaan.
Namun di luar tempoh perayaan, pes Asyura lebih daripada sekadar memudahkan kerja memasak ia juga membawa nostalgia dan mencetus emosi.
“Ada pelanggan yang menangis ketika memasak kerana rasa lauk mereka mengingatkan mereka tentang masakan arwah ibu mereka,” kongsi Cik Norhuda.
Selain itu, Asyura Paste mencetuskan kreativiti dalam masakan.
“Kalau masak rendang, tak semestinya makan dengan nasi atau ketupat sahaja.
“Kami galakkan pelanggan guna rendang sebagai inti kroisan atau topping piza. Di TikTok Live, kami tunjuk cara baru untuk guna rempah,” jelas Cik Amira.
Kini, Cik Norhuda ingin membawa jenama itu ke luar negara.
“Dulu, nak masukkan rempah ke kedai pun saya rasa malu dan takut. Tapi saya harap suatu hari nanti, produk kita akan berada di lebih banyak pasaran luar,” katanya.
Bagi Cik Amira pula, matlamatnya adalah menarik generasi muda untuk menggunakan pes rempah dalam masakan mereka.
“Kami mahu mereka tahu bahawa rempah ini bukan hanya untuk lauk tradisional, bahkan boleh digunakan dalam pelbagai cara,” jelasnya.
Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 3 petang; dan Sabtu 9 pagi hingga 12 petang
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg