Terletak di tengah-tengah Kampong Gelam, Rumah Makan Minang telah lama menjadi restoran yang terkenal dengan hidangan Nasi Padang.
Sejak awal penubuhannya, restoran ini menampilkan masakan tradisional Minangkabau yang mengekalkan warisan rasa Indonesia dan telah membuat penyesuaian seiring dengan landskap industri makanan dan minuman (F&B) yang sering berubah.
Kini, pengarah urusan dan pemilik generasi ketiga Rumah Makan Minang, Encik Hazmi Zin, 42 tahun, meneruskan legasi restoran ini bersama tiga adik-beradiknya.
“Kami tidak mengejar trend. Nasi Padang ialah hidangan yang kita makan setiap hari di rumah.
“Fokus kami adalah untuk mengekalkan keasliannya, memastikan rasa yang dihidangkan sejak dahulu lagi tetap tidak berubah,” dedah Encik Hazmi.
Setiap hari, restoran itu menyajikan antara 40 dengan 50 hidangan yang dimasak segar menggunakan resipi turun-temurun.
Antara hidangan istimewanya ialah rendang daging yang dimasak perlahan dalam santan dan rempah-ratus dengan penuh teliti.
“Rendang mengambil masa berjam-jam untuk disiapkan, daripada mengisar rempah secara manual, mengacau perlahan di atas api kecil sehingga daging menyerap semua rasa.”
Hidangan popular lain termasuk sambal lada hijau, sambal pedas yang melengkapkan hidangan panggang atau goreng.
Ayam Bakar Padang, yang diperap dengan kunyit dan rempah sebelum dipanggang hingga sempurna, menjadi kegemaran ramai, manakala ikan bakar yang disapu dengan campuran rempah aromatik menggambarkan keunikan masakan Minangkabau.
Walaupun resipi masakan restoran Rumah Makan Minang dikekalkan keasliannya, operasi perniagaan restoran Rumah Makan Minang terus berkembang.
Encik Hazmi memperkenalkan sistem digital seperti menggunakan sistem jualan point-of-sale (POS) atau mesin daftar tunai dalam talian dan katering dalam talian untuk memperkemas operasi.
“Ketika saya pertama kali mencadangkan penggunaan komputer riba, ibu saya ragu-ragu. Tetapi apabila beliau melihat pesanan katering masuk terus ke dapur dengan lancar, beliau berasa amat kagum,” kongsinya.
Bagi memastikan mutunya kekal tekal, restoran ini turut memanfaatkan inovasi dapur moden.
Proses mengacau rendang selama lima jam yang dahulunya amat meletihkan kini dibantu dengan mesin khas yang mengekalkan proses memasak dengan perlahan tanpa membebankan pekerja dapur.
Namun, Encik Hazmi menegaskan tiada jalan pintas diambil.
“Ia bukan tentang mengubah rasa, tetapi menjadikan kerja lebih cekap.
“Rempah, cara memasak dengan perlahan, semuanya tetap sama,” kata Encik Hazmi.
Selain memastikan perniagaan terus berkembang, Encik Hazmi melihat dirinya sebagai penerus warisan Minangkabau dalam memastikan generasi akan datang tetap menghargai dan menikmati masakan suku bangsa ini.
“Ini bukan sekadar perniagaan makanan, tetapi ia adalah cara untuk mengekalkan identiti kami (Minangkabau),” katanya.
Memandangkan pelanggan muda semakin mengutamakan kemudahan, Rumah Makan Minang juga telah menawarkan pembungkusan vakum sejuk beku bagi hidangan istimewanya.
Dengan menggunakan teknik, blast freezing, makanan seperti rendang dan ayam bakar boleh disimpan tanpa menjejas rasa dan tekstur.
Blast freezing merupakan teknologi penyejukan pantas yang mengekalkan kesegaran, tekstur dan keaslian rasa hidangan tradisional.
“Ia membolehkan generasi muda yang sibuk tetap dapat menikmati rasa hidangan tradisional di rumah,” jelas Encik Hazmi.
Cawangan di Jurong yang bakal dibuka dalam beberapa minggu ini, juga akan mencerminkan gabungan warisan dan kemodenan.
“Kami akan menampilkan elemen reka bentuk dan perhiasan Indonesia dalam restoran baru di Jurong supaya pelanggan bukan sahaja menikmati makanan tradisional, malah turut berada dalam suasana yang asli seperti di sana (Indonesia).
Encik Hazmi menambah:
“Makanan bukan sekadar memberi kita sumber tenaga, tetapi ia juga ada ikatan dengan akar budaya kita.
“Selagi kami kekal setia kepada prinsip ini, kami (Rumah Makan Minang) akan berusaha terus kekal beroperasi untuk generasi seterusnya.”
BUTIRAN NIAGA
“
“Kami tidak mengejar trend. Nasi Padang ialah hidangan yang kita makan setiap hari di rumah. Fokus kami adalah untuk mengekalkan keasliannya, memastikan rasa yang dihidangkan sejak dahulu lagi tetap tidak berubah... Makanan bukan sekadar memberi kita sumber tenaga, tetapi ia juga ada ikatan dengan akar budaya kita. Selagi kami kekal setia kepada prinsip ini, kami (Rumah Makan Minang) akan berusaha terus kekal beroperasi untuk generasi seterusnya.”Isnin hingga Ahad, 8 pagi hingga 9 malam
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg