Bazar Geylang Serai bukan sahaja tempat menjamu selera, bahkan juga peluang bagi usahawan tempatan untuk menonjolkan jenama mereka kepada khalayak yang lebih luas.
Dalam kehangatan bazar pada 2025, Brostern, jenama makanan fusion Barat-Asia, turut serta buat kali pertama.
Brostern dibuka pada 2020 di Pusat Penjaja Ci Yuan di Hougang dengan tujuan menawarkan makanan barat bermutu tinggi dengan harga mampu milik.
Memahami ramai yang mungkin menghadapi cabaran kewangan semasa pandemik, Encik Raimy Tan, menggunakan strategi penjualan makanan dengan harga lebih rendah.
Encik Raimy, salah seorang daripada pemilik Brostern, berkata penyertaan di bazar kali ini pula adalah peluang berharga untuk memperkenalkan Brostern kepada pelanggan baru.
“Ramai pelanggan kami di kawasan kejiranan meminta kami sertai bazar kerana konsep seperti ini jarang ditemui.
“Ini juga peluang untuk jenama kami dilihat oleh orang ramai, termasuk mereka yang bukan beragama Islam tetapi datang untuk rasai kemeriahan bazar,” katanya.
Dengan bazar yang turut disertai peniaga antarabangsa, Encik Raimy berharap pengunjung akan tetap menyokong usahawan tempatan.
“Lebih ramai peniaga muda kini berani mencuba, tetapi mereka juga berdepan cabaran untuk bersaing dengan pemain besar.
“Apabila kita menyokong jenama tempatan, kita membantu mereka untuk berjaya.
“Mereka akan dikenali sebagai jenama Singapura, yang melambangkan budaya Singapura yang pelbagai,” kata Encik Raimy.
Sebagai pendatang baru di bazar, Brostern menghadapi cabaran dalam minggu pertama memperkenalkan menu fusion mereka kepada pelanggan.
Namun, Encik Raimy yakin pendekatan komunikasi yang baik dapat menarik perhatian mereka.
“Saya perlu berada di depan dan bercakap dengan mak cik-mak cik, jelaskan tentang hidangan seperti pasta lemak cili padi yang kami sesuaikan kepada konteks setempat daripada gaya masakan Barat,” katanya.
Sejak itu, ramai pelanggan mula beratur untuk memesan Brostern buat juadah berbuka atau sahur.
Antara hidangan paling laris Brostern di bazar Geylang Serai ialah pasta lemak cili padi, pasta carbonara (sosnya sering diperbuat daripada telur dan keju) serta pasta telur asin, yang juga menjadi kegemaran pelanggan di cawangan mereka di Hougang.
Selain itu, Roti John versi Brostern turut mendapat sambutan hangat kerana kelainan yang ditawarkan tanpa sayur dan bawang, tetapi penuh dengan daging, telur dan keju.
Mereka juga memperkenalkan variasi Roti John dengan ayam atau daging lembu, disertakan pilihan sos seperti telur masin, cendawan, atau lada hitam.
Gabungan rasa moden dan tradisional itu menarik perhatian pelanggan, khususnya golongan dewasa yang teruja mencuba sesuatu yang berbeza di bazar.
Namun, selepas lima tahun beroperasi, Brostern bakal menutup cawangannya di Hougang pada Jun 2025.
Encik Raimy berkongsi bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira cabaran ekonomi dan komitmen peribadi.
“Setiap perniagaan ada jangka hayatnya. Kami sudah berjanji untuk berusaha selama lima tahun ini.
“Selepas ini, kami akan ambil masa untuk menilai dan kembali lebih kuat apabila tiba masanya,” katanya dengan penuh harapan.
Walaupun Brostern bakal berehat seketika, Encik Raimy tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke bazar Ramadan pada masa hadapan.
“Bazar bukan sekadar jualan, ia juga tentang membina jenama dan sifat kemasyarakatan. Saya pasti akan kembali apabila waktunya sesuai,” tambahnya.
Bazar Brostern
Alamat: 1 Engku Aman Road, Singapura 409923 (Gerai nombor 121)
Waktu Operasi: 4.30 petang hingga 12 malam
Cawangan Brostern
Alamat: Blok 932, Hougang Avenue 9, Singapura 530932
Waktu Operasi: Isnin hingga Sabtu, 11 pagi hingga 8 malam
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg