Antara empat sahabat, tiada seorang pun daripada mereka mempunyai pengalaman sebagai barista.

Namun, bermula daripada perbualan santai sambil menikmati kopi, lahir idea membangunkan Bumi Brew, sebuah kedai kopi milik Muslim yang bukan sahaja menyajikan kopi, malah menjadi ruang masyarakat setempat bertemu dan berhubung.

Dibuka pada September 2025, Bumi Brew diasas oleh Encik Mohamad Ariff Mohamad Zin, 37 tahun; adiknya, Encik Muhamad Nazri Mohamad Zin, 36 tahun; Encik Muhammad Ameer Ali Akbar, 36 tahun; dan Encik Muhammad Faiz Ithnin, 38 tahun.

Bagi Encik Ariff dan Encik Nazri, Bumi Brew membuka peluang untuk mereka membina sesuatu milik sendiri bermula dari bawah.

Kedua-dua beradik itu membesar dalam keluarga yang mengendalikan sebuah jenama nasi padang popular.

Encik Ariff lebih terdedah kepada operasi dapur, manakala Encik Nazri mempunyai pengalaman dalam khidmat pelanggan.

“Setiap kali kami duduk bersantai, kami akan beli kopi dari kedai lain.

“Kemudian kami terfikir, kami ada latar belakang dalam industri makanan dan minuman (F&B) dan tahu sedikit sebanyak bagaimana industri ini beroperasi.

“Jadi, mengapa kami perlu beli kopi dari kedai lain, sedangkan kami boleh hasilkan sendiri?” kata Encik Nazri.

Disebabkan tanggungjawab lain, Encik Ariff dan Encik Nazri memerlukan seseorang yang dapat memberikan tumpuan kepada operasi harian Bumi Brew.

Di sinilah Encik Faiz memainkan peranan sebagai antara orang utama yang menggerakkan operasi Bumi Brew.

Ketika didekati Encik Ariff, Encik Faiz sedang bekerja sebagai pemandu Grab dan tidak mempunyai pengalaman menyediakan kopi.

“Saya sendiri bukan barista. Jadi saya ambil pensijilan dan belajar semuanya dari mula.

“Memang ada sedikit kebimbangan dalam diri kami kerana tiada seorang pun antara kami yang mempunyai pengalaman sebagai barista, tetapi kami tetap mahu membuka kafe,” kata Encik Faiz.

Dalam tempoh sekitar dua bulan, beliau mempelajari asas mengenai kopi dan mendapatkan bimbingan pengusaha serta barista berpengalaman, termasuk Sabak Coffee di Kovan.

“Bilangan peminat kopi dalam kalangan orang Melayu ini kecil, tetapi mereka tak lokek ilmu.

“Ada barista yang sangat berpengalaman datang ke kafe dan memberi nasihat tentang ramuan, aliran kerja, mesin dan cara membuat kopi,” kata Encik Faiz.

Semangat berkongsi ilmu itu turut membentuk Bumi Brew.

Keempat-empat pengasas berhasrat memanfaatkan pengalaman yang masing-masing ada, dengan ilmu yang diperoleh daripada orang lain untuk dikongsi kembali kepada masyarakat.

Menurut Encik Faiz, ‘bumi’ merujuk kepada asal biji kopi iaitu daripada tanah, tetapi turut membawa maksud sifat ‘membumi’ sebagai sederhana, teguh dan tidak melupakan asal-usul.

“Kita nak kafe ini ada sifat yang sangat ‘grounded’, sifat membumi.

“Kita bermula dengan permulaan yang sangat sederhana.

“Pada masa yang sama, kita juga ada visi untuk pergi jauh,” katanya.

Suasana tenang di kedai Bumi Brew yang terletak di Bedok Reservoir.
Suasana tenang di kedai Bumi Brew yang terletak di Bedok Reservoir. - Foto BH oleh KHALID BABA

Makna itu diterjemahkan menerusi ruang berkonsepkan urban jungle (hutan bandar), dengan unsur kehijauan serta tempat duduk di dalam dan luar kafe.

Mereka mahu pelanggan yang datang berasa seolah-olah singgah ke rumah seseorang, disambut dengan senyuman, secawan kopi dan suasana yang menenangkan.

Pemilihan Bedok Reservoir pula mempunyai makna tersendiri bagi mereka.

Encik Ariff dan Encik Nazri membesar di situ, manakala Encik Faiz tinggal berdekatan.

Kekurangan pilihan kafe halal di kawasan tersebut turut mendorong mereka membawa kopi berkualiti lebih dekat kepada penduduk kejiranan.

(Dari kiri) ‘Teh Tarik Aren’  yang berharga $6, ‘Einspanner Latte’ ($7.50) dan ‘Spanish Latte’ ($5 untuk panas; $5.50 untuk berais).
(Dari kiri) ‘Teh Tarik Aren’ yang berharga $6, ‘Einspanner Latte’ ($7.50) dan ‘Spanish Latte’ ($5 untuk panas; $5.50 untuk berais). - Foto BH oleh KHALID BABA

Antara minuman popular di Bumi Brew ialah Spanish Latte, yang berharga $5 bagi versi panas dan $5.50 bagi versi berais; Aren Latte ($5.50 panas; $6 berais), yang menggabungkan gula kabung dengan susu berkrim; Teh Tarik Aren ($6); Einspanner Latte ($7.50), kopi ais gaya Vienna yang mengandungi espreso dan susu pekat serta dihiasi lapisan krim putar; dan Strawberry Matcha ($8).

Biji kopi pula diperoleh dari Indonesia menggunakan campuran Arabica dari Ijen dan Kerinci.

Namun, bagi mereka, Bumi Brew bukan sekadar tempat membeli kopi.

Ruang kafe tersebut turut menjadi wadah bagi sesi perkongsian, pelancaran buku dan kegiatan bersama masjid serta perniagaan Islam lain.

Buku kanak-kanak juga turut disediakan untuk keluarga yang singgah ke kafe itu.

Namun, perjalanan membangunkan Bumi Brew turut disertai pelbagai cabaran.

Modal lima angka diperlukan untuk memulakan perniagaan, manakala Encik Faiz pada awalnya mengendalikan hampir keseluruhan operasi seorang diri selama tiga hingga empat bulan dan turut disokong isterinya.

Pemilik Bumi Brew ingin berkembang jika peluang dan lokasi sesuai ditemui.
Pemilik Bumi Brew ingin berkembang jika peluang dan lokasi sesuai ditemui. - Foto BH oleh KHALID BABA

Walaupun mempunyai rancangan untuk berkembang, mereka tidak mahu tergesa-gesa.

Malah, sekiranya ada peluang membuka cawangan pada masa depan, pemilihan lokasi perlu selari dengan identiti Bumi Brew.

“Kami bukan nak berkembang dengan cepat.

“Kalau ada peluang dan rezeki untuk berkembang, kita akan fikirkan lokasi yang sesuai dengan jenama kita.

“Pada masa ini kami nak stabilkan dahulu Prosedur Operasi Standard (SOP), tenaga kerja, khidmat pelanggan dan mutu,” kata Encik Nazri.

Bumi Brew
Alamat: Blok 631 Bedok Reservoir Road, #01-916, Singapura 470631
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 8.30 pagi hingga 8 malam

Get therelocation-icon
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti