Minuman & Kafe
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jamu selera dengan tenang berlatar alam di Taman Tasik Jurong

Eden Cafe tawar hidangan tempatan, Barat sesuai bagi semua peringkat usia
May 10, 2025 | 5:30 AM
Eden Cafe, Jurong Lake Gardens
Terletak di Taman Tasik Jurong, Eden Cafe menawarkan suasana tenang yang sukar didapati di kafe bandar yang sibuk. - Foto BH oleh KHALID BABA

Terletak di tengah-tengah kehijauan Taman Tasik Jurong dan berlatarbelakangkan pagoda ikonik, Eden Cafe, menawarkan suasana tenang yang sukar didapati di kafe bandar yang sibuk.

Dengan tempat duduk tertutup dan terbuka yang mampu menampung sehingga 120 orang, kafe ini menjadi tempat persinggahan sesuai untuk seisi keluarga, pelari taman mahupun pelancong yang ingin berehat.

Pengarah Eden Cafe, Encik Jason Tan, berkata ilham untuk membuka cawangan itu timbul apabila pihaknya melihat peluang untuk mengembangkan operasi ke bahagian barat Singapura.

View post on Instagram
 

“Kebanyakan cawangan kami sebelum ini tertumpu di kawasan timur.

“Apabila Lembaga Taman Negara (NParks) membuka tender di sini, kami terus rebut peluang itu,” katanya.

Eden Cafe berkonsep taman dengan reka bentuk yang dikelilingi alam semula jadi.

Ia menawarkan pengalaman makan dalam suasana tenang sambil menikmati udara segar dan keindahan alam sekeliling.

“Kami harap pelanggan berasa tenang dan segar semula selepas kunjungan mereka,” tambah Encik Tan.

Pengurusan cafe itu diterajui oleh De-Prospero Pte Ltd, yang turut mengurus beberapa restoran halal di Lapangan Terbang Changi termasuk Central Thai dan 4Fingers.

Apa yang menjadikan Eden Cafe lebih istimewa ialah kepelbagaian hidangannya yang memenuhi cita rasa pelbagai generasi.

Selain hidangan Barat moden seperti pasta dan burger, kafe itu juga menawarkan sajian tempatan seperti nasi lemak dan kari ayam dengan mantou atau roti kukus, hidangan yang menambat selera warga emas yang mungkin lebih gemarkan rasa tradisional.

Terdapat juga pilihan mesra kanak-kanak, menjadikannya lokasi yang sesuai untuk kunjungan keluarga.

Menu di cafe itu merangkumi hidangan tempatan dan Barat dengan sentuhan kreatif oleh Cef Kwek Wee Ying yang berpengalaman lebih 15 tahun.

Antara menu istimewa di Eden Cafe termasuk, Creamy Avocado dan Buttermilk Fried Cod Fish Pasta, Har Cheong Gai Burger dan Coconut Ice Cream yang disajikan dalam buah kelapa.

Walaupun lokasi kafe agak jauh dari stesen MRT dan tempat letak kereta, maklum balas daripada pelanggan amat positif.

Berikut merupakan reviu peribadi saya setelah mencuba sendiri beberapa hidangan di Eden Cafe:

‘Creamy Avocado dan Buttermilk Fried Cod Fish Pasta’ ($24)

Pasta ini merupakan variasi unik kepada pasta pesto, iaitu sos hijau yang biasanya diperbuat daripada daun selasih dan kacang pain.

Sos avokado berkrim yang tidak rasa terlalu berat, sesuai dipadankan dengan ikan kod goreng yang rangup di luar dan lembut di dalam.

Sentuhan salsa menambah rasa masam yang seimbang dan menyegarkan.

‘Har Cheong Gai Burger’ ($20)

Burger ini menyerlah daripada segi tekstur roti dengan mentega dan ayam yang rangup.

Walau bagaimanapun, rasa udang geragau (har cheong) agak ringan, yang mungkin kurang menyerlah bagi mereka yang menggemari perapan yang lebih terasa. 

Walau begitu, saiz dan hidangan sampingan yang disediakan menjadikannya amat berbaloi.

‘Eden Curry Chicken dengan Mantou’ ($8.90)

Kari ayam ini kaya dengan rasa rempah dan santan, dengan ayam serta kentang yang dimasak empuk. 

Mantou atau roti kukus yang digoreng rangup di luar dan gebu di dalam memperkayakan lagi rasa hidangan ini.

‘Eden Nasi Lemak dengan Kepak Ayam’ ($8.90)

Nasi lemak ini harum, namun boleh dipertingkatkan dari segi rasa santan dan garam.

Ayam goreng rangup dan lembut di dalam, sambalnya manis dan pedas, serta ikan bilis yang besar dan rangup memberi tekstur yang seimbang.

‘Coconut Ice Cream’ ($12.90)

Pencuci mulut ini sangat menyegarkan, terutama selepas berjalan di taman.

Aiskrim kelapa disajikan dalam buah kelapa dengan air kelapa dan kacang tumbuk.

‘Iced Matcha Strawberry Latte’ ($8.90)

Gabungan matcha atau teh hijau bermutu tanpa rasa pahit dan puri strawberi manis yang seimbang, menghasilkan minuman yang menyegarkan dan memuaskan.

• Sekitar 10 minit berjalan kaki dari MRT Chinese Garden.

• Antara 18 dengan 25 minit berjalan kaki dari tempat letak kereta.

Eden Cafe
Alamat: Jurong Lake Gardens, 104 Yuan Ching Road, Singapura 618665
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 9 pagi hingga 9 malam

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg