Penggemar makanan kini boleh mendapatkan ulasan dan cadangan tawaran halal yang ditawarkan di Singapura menerusi laman web terkini oleh Kaki Makan Berita Harian (BH).
Pelanggan boleh membaca 300 artikel yang telah dikategorikan mengikut jenis masakan daripada hidangan Asia, sajian lakuran (fusion) hingga makanan di pusat penjaja.
Selain ulasan mengenai tempat makan, pembaca boleh membaca artikel mengenai kisah jatuh bangun usahawan di balik perniagaan tempatan.
Laman mikro baru di beritaharian.sg/kaki-makan itu juga boleh diakses melalui imbasan kod QR pada pelekat yang diedarkan kepada kedai makanan yang telah diulas oleh Kaki Makan.
Pelancaran rasmi pelekat Kaki Makan telah dilancarkan pada 3 November lalu di auditorium SPH yang terletak di Toa Payoh North.
Sesi tersebut turut disertai sekitar 30 peniaga makanan dan minuman (F&B).
Antara yang hadir ialah pengasas Kulon, Encik Haris Ahmad, 30 tahun, yang berkata:
“Inisiatif pelekat Kaki Makan ini berfungsi sebagai tanda ‘permata tempatan’ yang menggalakkan orang ramai untuk meneroka dan menyokong tempat makanan di kejiranan mereka yang mungkin sebelum ini tidak diketahui.
“Saya gembira melihat Berita Harian mengambil langkah proaktif dalam membina hubungan antara media dengan komuniti F&B.”
Para pelanggan boleh mencari pelekat Kaki Makan di premis yang telah diulas bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang kisah kedai tersebut serta menikmati promosi eksklusif yang ditawarkan oleh beberapa kedai makanan.
Antaranya ialah Charrbo Grill yang kini menawarkan potongan harga 10 peratus daripada jumlah bil keseluruhan tanpa perbelanjaan minimum di cawangan tersebut yang terletak di 156 Yishun Street 11.
Tawaran itu terhad sehingga 30 November 2025 dan boleh didapatkan jika pelanggan menunjukkan video Charrbo Grill di laman TikTok Kaki Makan kepada kedai tersebut.
Peneraju Charrbo Grill, Cik Norhaidah Ramlee, 36 tahun, dan Cik Jessica Tan, 35 tahun, berkata inisiatif itu bukan sahaja memberikan pendedahan, malah turut memupuk semangat kerjasama dalam masyarakat yang boleh membawa kepada kelestarian dalam jangka panjang.
“Kami rasakan inisiatif ini akan membantu meningkatkan keterlihatan bagi kedai kecil dan perniagaan tempatan seperti kami”, tambah Cik Norhaidah.
Turut hadir di acara itu ialah Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, yang juga mengetengahkan tentang kepentingan jangkauan digital dalam memperkukuh kerterlihatan jenama dan kandungan media.
“Kami sedia maklum akan keterlihatan yang kian penting. Kini, Kaki Makan merupakan tonggak utama kandungan gaya hidup Berita Harian, yang diiktiraf kerana kehadiran digitalnya yang dinamik.”
Menurut beliau, artikel serta video Kaki Makan turut menjana penglibatan yang tinggi dengan kandungan yang menjadi tular, bukan sahaja di peringkat tempatan, malah juga serantau.
Kaki Makan juga memperluas jangkauan penontonnya melalui kerjasama dengan SPH Radio Kiss92 di mana wartawan Kaki Makan, Cik Dahlia Zulkifli kerap muncul dalam segmen, The Big Show, setiap Jumaat, bermula 8 pagi, bersama penyampai radio, Glenn Ong dan Angelique Nicolette Teo.
Dalam rancangan itu, Cik Dahlia turut berkongsi cadangan makanan halal pilihan serta ulasannya untuk para pendengar.
Turut merasmikan acara pelancaran pelekat Kaki Makan ialah Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, yang turut menyokong inisiatif itu dalam menyerlahkan mutu serta memupuk rasa bangga dalam masyarakat.
Sempena pelancaran pelekat itu, peserta juga menyertai sesi dialog bersama Encik Zaqy; Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Dr Malik Hassan; serta penasihat perniagaan kanan dan penyelaras projek, Cik Nur Nadhirah Nor Azhar; yang berkhidmat dengan Pusat Syarikat Kecil Dan Sederhana di DPPMS (Pusat SME@DPPMS).
Dengan Cik Dahlia selaku moderator, dialog itu membincangkan tentang cabaran yang dihadapi peniaga serta pelbagai sokongan yang boleh dimanfaatkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg