Pemilik perniagaan makanan dan minuman (F&B) boleh memanfaatkan rangkaian dan sokongan daripada pertubuhan seperti Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), selain daripada geran dan skim pemerintah sedia ada bagi meningkatkan dan mengukuhkan perniagaan mereka, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad.
Encik Zaqy, yang juga penaung DPPMS, berkata penggunaan sumber ini dapat membantu pemilik perniagaan sedemikian menyesuaikan diri dengan trend pasaran, mencipta idea baru, mendigitalisasikan operasi dan menarik lebih ramai pelanggan.
Beliau berkata demikian semasa pelancaran pelekat Kaki Makan Berita Harian (BH) dan sesi dialog bersama peniaga F&B yang diadakan di auditorium SPH yang terletak di Toa Payoh North pada 3 November.
“Ramai pemilik F&B telah menunjukkan keupayaan menyesuaikan diri sama ada dalam waktu sukar mahupun senang. Ada yang bukan sahaja mampu bertahan, malah terus berkembang dan memperluas perniagaan.
“Pemerintah juga komited untuk menyokong usaha anda melebihi bantuan geran dan skim sedia ada. Yang penting ialah bagaimana anda dapat memanfaatkan rangkaian sokongan yang tersedia, bukan sekadar mengurangkan kos, tetapi turut menambah hasil dan membina kerjasama yang kukuh.”
Di acara tersebut, pelekat Kaki Makan yang merupakan inisiatif terbaru BH bagi mengiktiraf premis makanan yang pernah diketengahkan dalam ruangan Kaki Makan, turut dilancarkan.
Pelekat itu, yang menampilkan kod QR, membolehkan pelanggan mengimbasnya lalu disalur terus ke laman penambat Kaki Makan di mana pengunjung boleh membaca reviu makanan, menonton video, serta mengenali kisah di sebalik perniagaan makanan yang ditampilkan.
Menyentuh tentang inisiatif tersebut, Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata:
“Pelekat ini bukan sekadar pelekat biasa. Kami berharap ia menjadi simbol kerjasama dan komitmen terhadap penyediaan makanan bermutu.
“Ia juga mengiktiraf bahawa hidangan anda merupakan antara yang mesti dicuba oleh masyarakat kami,” ujarnya
Di acara tersebut, satu sesi dialog melibatkan para panelis termasuk Encik Zaqy, Presiden DPPMS, Encik Abdul Malik Hassan; serta penasihat perniagaan kanan dan penyelaras projek, Cik Nur Nadhirah Nor Azhar, yang berkhidmat dengan Pusat Syarikat Kecil Dan Sederhana di DPPMS (Pusat SME@DPPMS) telah berlangsung.
Sesi tersebut turut disertai sekitar 30 karyawan industri F&B, dengan penulis ruangan Kaki Makan, Cik Dahlia Zulkifli selaku moderator.
Ia memberi ruang kepada peserta untuk berbincang mengenai cabaran utama yang dihadapi sektor tersebut.
Isu yang dibincangkan termasuk yang berkaitan dengan tenaga kerja, kos operasi yang tinggi, persaingan sengit, serta strategi pemasaran dan inovasi.
Dalam pada itu, beberapa pemilik perniagaan F&B yang ditemui BH akur akan manfaat pelekat Kaki Makan, serta sesi dialog yang diadakan.
Pemilik restoran The Udang Clan, Encik Tariq Teo, 43 tahun, menganggap pelekat tersebut akan dapat memberi peluang kepada pembaca mengenali lebih lanjut mengenai restoran beliau.
Atas sebab itu beliau telah menawarkan diskaun istimewa terhad kepada pembaca Kaki Makan dari 27 Oktober hingga 7 November.
“Mereka yang mengikuti Instagram Kaki Makan dan The Udang Clan lalu menunjukkan pada kami kededua akaun tersebut, kami akan berikan diskaun istimewa itu,” kata beliau.
Restoran beliau pernah dipaparkan dalam ruangan Kaki Makan di Berita Harian pada 19 Julai.
Sementara itu, pemilik Irna’s Food Taste & Cakes, Cik Irna Permata Sari, 39 tahun, mendapati sesi dialog itu memberi peluang kepada para usahawan untuk bertukar pandangan dan berkongsi strategi pemasaran bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.
“Pertemuan seperti ini amat membantu kerana kami dapat bertukar fikiran antara satu sama lain. Idea-idea baru yang tidak pernah kami terfikirkan boleh muncul, dan ini bukan satu bentuk persaingan. Sebaliknya kita belajar dan berkembang bersama,” jelas beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg