Jenama pencuci mulut tempatan, Cat & the Fiddle, memperkenalkan rangkaian manisan baru sempena perayaan hujung tahun yang sesuai dijadikan hadiah atau dinikmati bersama-sama.
Tumpuan utama ialah, Dark Chocolate Log Cheesecake, $60.90. Logcake (yang bentuknya seperti kayu balak) seberat 780 gram itu kelihatan seperti hiasan meja perayaan.
Lapisan asasnya adalah kek coklat yang lembut, diikuti feuilletine, iaitu kepingan rangup yang memberi kontras kepada tekstur.
Bahagian dalamnya diisi dark chocolate chantilly iaitu krim coklat gelap serta salted caramel crispy pearls menjadikannya gabungan rasa coklat gelap yang pekat, tidak terlalu manis, dan mempunyai rasa pahit manis yang seimbang.
Tekstur salted caramel crispy pearls ialah bebola kecil rangup dengan rasa karamel seakan-akan wafer beras.
Ia terasa sedikit masin daripada gula hangus atau karamel supaya kek itu tidak memuakkan.
Seluruh logcake disalut dengan mus keju coklat gelap serta sos coklat berkilat, hirisan tipis coklat, dan hiasan mutiara emas kecil.
Cat & The Fiddle juga menawarkan biskut eksklusif seperti, Parmesan Thyme Cookies, $20.90, yang mempunyai rasa gurih keju parmesan dengan sentuhan aroma herba thyme. Rasanya lemak, wangi dan enak.
Biskut terkenal, Dark Chocolate Sea Salt Cookies, $20.90, seimbang antara manis, pahit yang ringan, dengan sentuhan garam yang membangkitkan rasa coklat.
Pencuci mulut dari Cat & The Fiddle boleh didapatkan dalam talian dan juga di kedai mereka.
Jenama Cat & the Fiddle yang ditubuhkan Cef Daniel Tay amat terkenal dengan pelbagai variasi kek keju halal yang boleh ditempah dalam talian.
Alamat: City Square Mall, 180 Kitchener Road, #02-50, Singapura 208539
Waktu Operasi: Isnin hingga Jumaat dan Ahad, 11 pagi hingga 10 malam, Sabtu, 11 pagi hingga 9.30 malam


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg