Pada kemuncaknya, jenama Bakes by NY cukup dikenali dalam kalangan pelanggan Melayu, khususnya penggemar bomboloni iaitu donat Italy berbentuk bulat, gebu, lembut dan berinti.

Encik Muhammad Khairul Anwar masukkan inti Nutella ke dalam ‘bombolini’ iaitu sejenis donut yang gebu dan berasal dari Italy. Perisa Nutella merupakan antara pilihan yang laris dijual.
Encik Muhammad Khairul Anwar masukkan inti Nutella ke dalam ‘bombolini’ iaitu sejenis donut yang gebu dan berasal dari Italy. Perisa Nutella merupakan antara pilihan yang laris dijual. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Di kedainya di Blok 201E Tampines Street 23, pelanggan sanggup beratur panjang untuk mendapatkan bomboloni dengan inti seperti Nutella dan Chocolate Fudge.

Malah, pada hari pertama kedai itu dibuka pada 2019, pelanggan sudah menunggu sebelum pintunya dibuka.

“Bidainya baru separuh buka, tiba-tiba ada mak cik ketuk dan tanya kenapa tak nak buka. Saya cakap kita buka pukul 10 pagi. Bila buka, orang dah beratur,” kenang pengasasnya, Encik Muhammad Khairul Anwar, 41 tahun.

Pada waktu paling sibuk, hingga 30 adunan disiapkan sehari, dengan setiap adunan menghasilkan sekitar 30 bomboloni, atau kira-kira 900 biji sehari.

Setelah digoreng dan disejukkan, ‘bombolini’ diisi padat dengan Nutella.
Setelah digoreng dan disejukkan, ‘bombolini’ diisi padat dengan Nutella. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Namun, di sebalik barisan panjang dan populariti jenama itu, ada cabaran yang tidak dilihat pelanggan.

Daripada kedai pertamanya di CentraPod yang terletak di Geylang, Bakes by NY berkembang ke East Village di Upper Changi Road dan turut membuka cawangan di kawasan kejiranan Yishun dan Tampines.

Jenama itu turut mempunyai dapur lebih besar di Simpang Bedok serta membuka satu lagi cawangan di Sultan Gate.

Namun, Encik Khairul mengakui perniagaan berkembang terlalu pantas, sedangkan mereka belum mempunyai pengalaman mengurus operasi sebesar itu.

“Kami tidak pernah ada pengalaman mengurus perniagaan yang berkembang dengan cepat seperti itu.

“Banyak perkara kami terlepas pandang termasuk kos dan gaji pekerja,” katanya.

Kos sewa, gaji pekerja, harga bahan mentah dan bil utiliti terus meningkat sehingga, menurutnya, perbelanjaan boleh melebihi keuntungan.

“Apabila saya merenung kembali, mungkin kami berkembang terlalu cepat. Sepatutnya slow and steady (secara perlahan),” katanya semasa ditemui Berita Harian (BH).

Akhirnya, satu demi satu kedainya ditutup pada 2023, dengan penutupan cawangan di Tampines paling memberikan kesan.

“Kedai itu banyak kenangan. Ia bermula dengan diri saya dan isteri sahaja di situ. Kami mahu membuat renovasi ketika itu, duit pun tidak cukup. Di situlah kami dengan perlahan membina nama,” katanya.

Perjalanan jenama mereka itu bermula pada 2016, selepas Encik Khairul dibebaskan dari penjara di bawah Skim Tahanan di Rumah.

Beliau dijatuhi hukuman dua tahun lapan bulan atas kesalahan menyeludup rokok dari Indonesia.

Ketika itu, beliau bekerja sebagai penghantar dengan pendapatan sekitar $1,000 sebulan, sementara isterinya, Cik Nazira Yunos, 36 tahun, yang pernah bekerja sebagai jururawat, mengikuti kelas membuat kek.

Sekitar 2018, pasangan itu melihat populariti bomboloni di Malaysia lalu pergi ke Kuala Lumpur untuk mempelajari cara membuatnya sebelum menyempurnakan resipi mereka di Singapura.

Encik Khairul mula menjual di TikTok live sejak Disember 2025 dan mendapat sambutan baik daripada pelanggan lama.
Encik Khairul mula menjual di TikTok live sejak Disember 2025 dan mendapat sambutan baik daripada pelanggan lama. - Foto TANGKAP LAYAR NINETYNYNE

Kini, selepas lebih dua tahun tanpa kedai fizikal, bomboloni itu kembali menerusi jenama Ninetynyne, dengan TikTok Live menjadi ‘kedai’ baharu pasangan itu sejak Disember 2025.

Pada mulanya kekok bersiaran di hadapan telefon, Encik Khairul terkejut apabila pelanggan lama mula menyapa menerusi siaran langsung itu.

“Ramai kata, ‘Eh, you are back, you are back.’ (awak telah kembali berniaga). Rupanya pelanggan semua dekat sini (TikTok Live).

“Ada pelanggan dulu belum berkahwin, kini telah mempunyai anak sendiri. Mereka masih cari bomboloni kami sampai sekarang,” cerita Encik Khairul.

Malah, menerusi ulasan di TikTok, ada pelanggan yang memberitahu rasa bomboloni mereka masih sama seperti dahulu.

Kini, rutin pasangan itu bermula seawal 5 pagi kerana setiap adunan memerlukan sekitar dua hingga tiga jam untuk disiapkan.

Bomboloni perlu melalui beberapa proses termasuk merehatkan doh dalam peti sejuk, membiarkannya doh naik sebelum digoreng, disejukkan dan diisi.

Antara perisa yang ditawarkan ialah Nutella, Chocolate Fudge, Cream Cheese, Biscoff dan Oreo, dengan Nutella dan Chocolate Fudge kekal paling laris.

TikTok turut menguruskan penghantaran pesanan, berbanding dahulu apabila pasangan itu perlu menguruskannya sendiri.

Tanpa sewa dan kos mengendalikan kedai, Encik Khairul berkata pendapatan daripada TikTok Live boleh dibandingkan dengan salah satu cawangan fizikalnya dahulu.

“Dari segi kewangan, ia lebih masuk akal, tetapi dari segi kepuasan, saya masih rasa nak ada kedai fizikal,” katanya yang masih merindui interaksi bersemuka dengan pelanggan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti