Selepas 23 tahun menyarung seragam polis, Encik Shahrizan Mohamed Sapri, membuat keputusan yang mengejutkan ramai.

Beliau meninggalkan kerjaya stabil untuk berdiri di belakang alat penggoreng pula.

Lebih-lebih lagi apabila bapa tunggal tiga anak yang berusia 42 tahun itu merupakan pencari nafkah tunggal keluarganya.

Namun, minat memasak yang sekian lama dipendam akhirnya mendorong bekas pegawai polis itu mengeluarkan sekitar $50,000 daripada simpanannya, untuk membuka Foxy’s Chikn, di Joo Chiat pada April lalu.

Encik Shahrizan bermula sebagai pegawai polis semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS). Beliau kemudian menyertai pasukan Polis Pengawal Pantai sebagai anggota tetap hingga 2024, apabila beliau dipindahkan ke Pusat Kawalan Operasi Polis sebagai inspektor stesen.
Encik Shahrizan bermula sebagai pegawai polis semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS). Beliau kemudian menyertai pasukan Polis Pengawal Pantai sebagai anggota tetap hingga 2024, apabila beliau dipindahkan ke Pusat Kawalan Operasi Polis sebagai inspektor stesen. - Foto ihsan SHAHRIZAN MOHAMED SAPRI

“Ramai sebenarnya menyuruh saya jangan berhenti (pekerjaan sebagai pegawai polis) sebab kerja memang dah stabil.

“Kalau berhenti, nanti gaji macam mana? Apalagi zaman sekarang, banyak F&B (perniagaan makanan dan minuman) tutup,” kongsinya.

Bagi Encik Shahrizan, menunggu sehingga bersara mungkin sudah terlambat untuk merealisasikan impiannya.

“Kalau saya tunggu sampai saya pencen, umur saya mungkin 55 atau 60 tahun.

“Saya mungkin sudah tidak ada idea atau tenaga untuk jalankan konsep ini.

“Jadi, saya fikir kalau mahu beralih ke F&B, saya perlu lakukannya sekarang dan lakukannya dengan betul,” ujarnya kepada Berita Harian.

Namun, langkah Encik Shahrizan ke dunia F&B sebenarnya bermula sebelum beliau menggantung seragam polis.

Pada lewat 2019, keluarganya memulakan perniagaan dari rumah (HBB), Foxy Snaxy, yang menjual antaranya, pencuci mulut, kek dan nasi sambal goreng.

Ketika masih berkhidmat sebagai pegawai polis, Encik Shahrizan banyak membantu di belakang tabir, termasuk menghasilkan dan menguji resipi.

HBB yang beroperasi sekitar dua tahun itu menjadi ruang baginya mencuba idea dan melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebelum ia ditutup pada 2021.

Nama ‘Foxy’ bagaimanapun tidak dibiarkan terkubur.

Apabila Encik Shahrizan sudah bersedia membuka kedai sendiri, beliau menghidupkan kembali nama tersebut sebagai Foxy’s Chikn, kali ini dengan ayam goreng, sebagai hidangan utama.

Pilihan itu mempunyai nilai sentimental baginya.

Encik Shahrizan melaburkan $50,000 duit simpanannya untuk memulakan perniagaan Foxy’s Chikn yang terletak di Joo Chiat berhadapan Masjid Khalid.
Encik Shahrizan melaburkan $50,000 duit simpanannya untuk memulakan perniagaan Foxy’s Chikn yang terletak di Joo Chiat berhadapan Masjid Khalid. - Foto BH oleh KHALID BABA

“Ayam goreng itu kenangan semasa zaman kanak-kanak saya.

“Ibu bapa saya akan membelikan kami adik-beradik ayam goreng setiap kali ada sambutan istimewa,” katanya.

Di Foxy’s Chikn, menghasilkan ayam goreng yang diinginkannya bukan semudah mencelup ayam ke dalam tepung sebelum menggorengnya.

Selama dua hari, ayam itu melalui beberapa peringkat penyediaan sebelum akhirnya ‘bertemu’ minyak panas.

“Kita buat sendiri buttermilk (susu mentega) kerana sukar mendapatkan yang halal.

“Pada hari pertama, ayam diperap dalam buttermilk brine, iaitu campuran susu mentega dan air garam.

“Pada hari kedua, ayam disalut dengan campuran tepung dan rempah sebelum digoreng.

“Salutan pula menggunakan tiga jenis tepung dan sekitar 10 hingga 12 rempah.

“Jadi proses ayam goreng sebelum masuk fryer (alat penggoreng) memang sangat rumit,” jelasnya.

Antara rempah yang digunakan ialah paprika, jintan putih dan ketumbar, sementara salutannya menggabungkan tepung gandum, beras dan jagung.

Hasilnya, kulit ayam tampil keemasan dengan tekstur kasar dan rangup, sementara isinya kekal lembut dan berjus.

“Ciri ayam goreng bagi saya, bahagian dalam mesti berjus.

“Isi tidak boleh kering dan tidak boleh digoreng secara berlebihan,” katanya.

Bagi mendapatkan hasil itu, Encik Shahrizan menghabiskan antara enam bulan dengan setahun melakukan R&D, termasuk menguji campuran tepung agar kerangupan ayam dapat bertahan, meskipun dibiarkan pada suhu bilik.

Ketelitian yang sama diberikan kepada hidangan sampingan.

Nasi kuning harum yang menjadi hidangan sampingan pula diolah sendiri daripada resipi nasi kuning Indonesia yang pernah dimasaknya untuk keluarga dan ketika mengendalikan HBB.

Menurutnya, sajian itu turut mendapat sambutan pelanggan dari Malaysia dan pelancong Indonesia yang berkunjung ke restorannya setelah mendengar tentangnya daripada orang lain.

“Mungkin mereka gemar dengan konsep ayam goreng dimakan bersama nasi kuning kerana nasi kuning merupakan resipi Indonesia,” katanya.

NY Deli Coleslaw pula dibuat sendiri menggunakan kubis putih, kubis ungu dan lobak merah yang direndam semalaman bersama cuka, bawang putih dan lada, sebelum dikeringkan dan dicampur mayonis.

Ia kekal rangup, dengan rasa masam dan manis yang diseimbangkan dengan kismis Sultana.

Antara hidangan utama ialah Chikn Set, bermula $11, yang menggabungkan ayam goreng, nasi kuning, NY Deli Coleslaw dan minuman.

Tenders Set, $13.50 pula terdiri daripada tiga keping isi dada ayam tanpa tulang, yang disalut tepung dan digoreng sehingga rangup, kentang goreng, coleslaw, sos ranch (sos berkrim) buatan sendiri dan minuman.

Namun, satu hidangan yang tidak disangka-sangka menjadi kegemaran pelanggan ialah Chikn Sandwich Set, $13.50.

Paha ayam rangup diapit roti brioche (roti yang sedikit manis) bersama hirisan jeruk gherkin (jenis timun kecil) yang tebal, memberikan tambahan tekstur rangup, dan disajikan bersama kentang goreng serta minuman.

Bagi Encik Shahrizan, disiplin yang diterapkan sepanjang 23 tahun sebagai pegawai polis kini turut menjadi bekalan penting dalam mengendalikan perniagaan.

Namun, peralihan daripada dunia polis kepada F&B tetap hadir dengan cabaran tersendiri.

“Memang banyak cabaran dan ada turun naik.

“Pada awalnya kami tidak mempunyai kakitangan. Dua tiga hari pertama, saya kendalikan restoran seorang diri.

“Perlahan-lahan barulah kami dapat mencari kakitangan lain,” katanya.

Kini, lebih tiga bulan selepas membuka restorannya, Encik Shahrizan berharap pertaruhan besar untuk meninggalkan kerjaya polis yang dibina lebih dua dekad itu dapat membawa Foxy’s Chikn jauh dan mendapat sokongan padu daripada masyarakat.

Foxy’s Chikn
Alamat: 95 Joo Chiat Rd, #01-02, Singapura 427389
Waktu Operasi:
  • Selesa hingga Khamis dan Ahad, 11 pagi hingga 9 malam dan Jumaat dan Sabtu, 11 pagi hingga 10 malam

Get therelocation-icon