Pencuci Mulut & Pastri
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fluff Bakery tampil dengan pilihan ‘gelato’ sentuhan artisan

Bermula sebagai satu eksperimen, ia kini berkembang sebagai antara pilihan di kedai roti kegemaran ramai
Jan 4, 2025 | 5:30 AM
Pengasas bersama dan ketua bakeri, Fluff Bakery, Cik Nursyazanna Syaira Md Suhimi, di kedainya di North Bridge Road.
Pengasas bersama dan ketua bakeri, Fluff Bakery, Cik Nursyazanna Syaira Md Suhimi, di kedainya di North Bridge Road. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Apabila Cik Nursyazanna Syaira Md Suhimi dan suaminya, Encik Mohammad Ashraf Mohammad Alami, membuka Fluff Bakery pada 2013, mereka tidak tahu bahawa mereka akan memulakan jenama bakeri halal yang sangat digemari dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Terkenal dengan kek cawan mereka yang dipenuhi dengan hiasan atas berkrim, ia sesuatu yang jarang didapati pada masa itu.

Sambutan yang menggalakkan itu telah mendorong pasangan itu membuka kedai pertama mereka di Jalan Pisang.

View post on Instagram
 

“Pada 2012, saya mula membuat kek cawan di rumah untuk menabung bagi perbelanjaan perkahwinan saya. Saya membakar di dapur rumah ibu bapa saya, dan kemudiannya, rumah mentua saya.

“Apabila kami mula membekalkan kek cawan ke kafe seperti Penny University, permintaan semakin bertambah.

“Ramai yang sanggup beratur demi mendapatkan kek cawan itu. Ketika itulah kami memutuskan untuk membuka kedai roti,” jelas Cik Syaira, pemilik bersama dan ketua pembakar di Fluff Bakery.

Hari ini, sedekad kemudian, Fluff Bakery berkembang pesat di lokasi barunya di North Bridge Road, yang menawarkan bukan sahaja kek cawan, malah penambahan manisan terbaru, gelato.

Gelato ialah sejenis pencuci mulut serupa aiskrim yang berasal dari Italy. Ia dikatakan mempunyai kandungan lemak mentega yang lebih rendah berbanding aiskrim biasa.

Pada awalnya, Fluff Bakery mula terkenal kerana mencipta perisa yang diilhamkan berdasarkan pengembaraan Cik Syaira dan rasa cintanya terhadap bahan-bahan yang terdapat di Asia.

Perisa kek cawan seperti, Red Velvet, Salted Caramel dan perisa kompleks seperti, Mango Sticky Rice dan Strawberry Basil mencerminkan cita rasanya dalam menghasilkan sesuatu yang kreatif.

“Kek cawan kami menyerlah kerana ia gebu, tidak terlalu manis dan penuh dengan rasa yang menarik.

“Ketika itu, kedai roti halal yang menawarkan kepelbagaian seperti itu jarang didapati,” tambah Cik Syaira, yang berkongsi bahawa tidak ada perniagaan dari rumah (HBB) pada masa itu.

Apa yang bermula sebagai sebuah eksperimen pada era prapandemik telah berkembang menjadi rangkaian produk yang lengkap dalam penerokaan Fluff Bakery dalam menyediakan pencuci mulut pada 2018.

“Saya sentiasa tertarik dengan gelato. Sebelum wabak itu, apabila saya berasa seperti tidak lagi diperlukan di dapur, saya mula meneliti cara menghasilkan pencuci mulut yang lain.

“Saya membuat ujian dengan resipi gelato dan mengubahnya mengikuti gaya saya.

“Saya tidak mahu menggunakan telur kerana ia menyusahkan dan juga kerana sesetengah pelanggan tidak boleh makan telur.

“Sebaliknya, saya meneroka kaedah yang digunakan di Sicily, Italy, yang dibuat dengan kanji untuk memekatkan asas,” terang beliau.

Setiap gelato Fluff Bakery dibuat sendiri, dengan Cik Syaira sendiri mengawasi proses tersebut.

Daripada mencipta asas kepada menggabungkan komponen unik, beliau memastikan setiap perisa menawarkan pengalaman makan yang unik dan berbeza.

“Bagi saya, gelato memerlukan tiga komponen, iaitu asas berperisa, bahan swirl dan unsur tekstur.

“Salah satu ciptaan kegemaran saya ialah gelato bunga kantan dengan potongan laici dan swirl mangga. Ia segar, dengan perisa yang berbunga dan bertekstur kompleks,” kongsinya.

Menu gelato di Fluff Bakery menampilkan pilihan seperti French Cream Gelato dengan bahan swirl karamel susu.

“Karamel bukan campuran gula dan krim biasa. Ia dibuat dengan mengurangkan susu dengan vanila dan kayu manis sehingga ia pekat menjadi sos yang lazat.

“Proses membuat sos itu memang sangat rumit, tetapi rasanya berbaloi,” katanya.

Cik Syaira juga bercerita tentang pelanggan tetapnya, seperti seorang wanita yang datang bersemangat dengan basikal elektriknya.

“Wanita itu membeli satu pain, duduk di kedai dan menghabiskannya di situ juga. Ia sungguh luar biasa untuk melihat bagaimana gelato kami dapat membuat pelanggan gembira, seolah-olah membuat semua kerja keras membuat gelato itu berbaloi,” kongsi Cik Syaira.

Perjalanan itu bukan tanpa cabaran.

Pasangan itu mengakui bahawa mengekalkan perniagaan dalam industri makanan dan minuman (F&B) dalam jangka masa panjang memerlukan penyesuaian yang berterusan.

“Membuka perniagaan adalah mudah, sebaliknya, mengekalkannya adalah aspek yang sukar.

“Anda perlu mengekalkan mutu, memastikan kakitangan anda gembira dan berkembang mengikut keutamaan pelanggan.”

Perubahan Fluff Bakery daripada kedai roti yang hanya menjual kek cawan kepada pelbagai jenis tawaran pencuci mulut seperti biskut, donat, kek dan kini, gelato, mencerminkan semangat inovasi itu.

“Sebagai pemilik perniagaan, saya tidak mengikuti trend tetapi lebih kepada memberi tumpuan kepada kekuatan saya dan membuat apa yang saya tahu terbaik, sambil menambah kelainan saya sendiri pada rangkaian produk pencuci mulut,” ujar Cik Syaira.

Fluff Bakery
Alamat: 795 North Bridge Road, Singapura 198763
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Sabtu, 11.30 pagi hingga 7 malam dan Ahad 11 pagi hingga 6 petang

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg