Hipsterbakes teruskan warisan keluarga meski lawan barah
Hipsterbakes teruskan warisan keluarga meski lawan barah
Dengan sambutan menggalakkan terhadap tempahan kuih Hari Raya, dapur Hipsterbakes di Upper East Coast kini dipenuhi aroma kuih yang harum, hasil daripada lebih 1,000 botol kuih Raya yang berjaya dihasilkan.
Pengasas Hipsterbakes, Encik Muhammad Hisham Bakri, dan kakaknya, Cik Nurlizawati Bakri, bangga melihat titik peluh mereka.
“Kami berdua bermula dengan membantu ibu dan nenek.
“Hipsterbakes diasaskan di rumah pada 2014, sebelum membuka kedai pertama di Siglap Centre.
“Ketika itu, banyak yang perlu disesuaikan,” jelas Encik Hisham.
Kuih raya seperti tart nanas dan tart hazelnut (kacang hazel) menjadi pilihan wajib setiap tahun.
“Tart nanas sentiasa dicari, sama ada pada Hari Raya atau Tahun Baru Cina.
“Dari situ, kami tambah pula kek lapis dan tapak kuda. Setiap kuih menuntut ketelitian, tetapi ia mengajar kami kesabaran,” tambahnya.
Bagi Cik Nurlizawati, bekerja bersama adik bukan sekadar urusan niaga, malah memelihara tradisi keluarga.
“Nenek dulu mahu semuanya sempurna. Kalau tidak cantik, kena buat semula.
“Jadi, kami belajar (membuatnya dengan) teliti.
“Nenek selalu berpesan, ‘Kita buat dia, bukan dia buat kita’. Itu menjadi moto kami,” ceritanya.
Namun, perjalanan mereka tidak mudah.
Pada 2021, Encik Hisham disahkan menghidap leukemia mieloid akut (AML), sejenis barah darah.
“Sebelum dikesan, saya cuma perasan tompok merah pada lengan, badan dan kaki, gusi berdarah, luka berdarah sukar berhenti dan mudah lebam bila tersentuh benda keras,” kata Encik Hisham.
“Diagnosis itu membuatkan saya lebih bersyukur. Dulu, apabila selesai projek besar, saya akan fikir, ‘Apa lagi selepas ini?’
“Kini, setiap kejayaan, walau kecil, amat saya hargai,” tambahnya.
Apabila Encik Hisham terlantar di hospital, Cik Nurlizawati mengambil alih urusan harian kedai seorang diri.
“Hari pertama adik masuk hospital, saya terkejut perlu menguruskan segalanya sendirian.
“Namun, untuk kebanyakan kek dan roti yang biasa adik buat, saya terpaksa membuat panggilan video dan meminta panduan daripadanya semasa beliau sedang dirawat.
“Sebaik sahaja keluar hospital, beliau terus datang ke kedai tanpa berehat,” imbau Cik Nurlizawati.
“Semasa ketiadaannya, memang saya seorang diri di kedai.
“Walaupun kadangkala ada rakan yang membantu, saya tetap perlu memastikan pesanan Shopee dan roti seperti cinnamon rolls (gulungan kayu manis) dapat disiapkan,” terangnya.
Encik Hisham pula bersyukur atas usaha gigih kakaknya.
“Saya sangat berterima kasih kerana beliau sudi menjaga kedai sewaktu saya tiada.
“Kadangkala hal ini tidak dirancang, dan kita tak tahu bagaimana nak mengurusnya.
“Walaupun di hospital, saya tetap risau dan memerhatikan keadaan kedai dari jauh.”
Selain sokongan kakak, semangat mereka turut diperkukuh dengan sokongan pelanggan.
“Saya rasa lebih kuat kerana ramai yang mendoakan saya, sama ada secara terang-terangan atau secara senyap.
“Ada juga yang memberi cadangan suplemen.
“Hubungan baik dengan pelanggan sangat membantu. Tidak kira hadiah itu besar atau kecil, ia amat bermakna,” ujar Encik Hisham.
Kini, Hipsterbakes menguruskan pesanan melalui Shopee.
“Yang paling popular ialah tart hazelnut dan tart onde-onde, tetapi kami suka mencuba perisa baru, kadangkala sehingga 15 hingga 16 jenis.
“Menggunakan Shopee membolehkan kami menarik pelanggan bukan sahaja dalam kalangan Melayu/Muslim malah kaum lain juga.
“Roti seperti cinnamon rolls dan garlic buns (ban bawang putih) turut menarik pelanggan bukan Melayu,” jelas Encik Hisham.
Kuih mereka berharga dalam lingkungan $18 hingga $22 sebotol.
Perisa menarik yang boleh didapati adalah tart rose lychee (tart laici mawar), tart mango peach (tart pic mangga) dan tart raspberry ripple (tart riak raspberi).
“Sejak akhir Januari, kami buka tempahan dan biasanya tutup hujung Februari.
“Walaupun ramai tempah saat akhir, kami cuba penuhi semua (permintaan).
“Ada kalanya sakit belakang, tetapi kami kuatkan mental. Ini semua tentang amanah dan kepercayaan pelanggan,” tambah Cik Nurlizawati.
Walaupun Encik Hisham masih mempunyai 0.5 peratus sel barah di sumsum tulang, beliau tidak membiarkan penyakit itu menghalang kerjanya.
“Secara umum, saya cuma rasa penat sahaja.
“Tetapi rasa itu biasa dalam setiap pekerjaan. Saya masih berfungsi seperti biasa dan tidak membiarkan diagnosis itu menghalang saya.”
Dengan setiap kuih yang dihasilkan setiap perayaan, adik-beradik itu menghargai kerjasama, kasih sayang dan ketabahan demi menghasilkan kuih Hipsterbakes dengan teliti.
“Apabila kita buat sesuatu dari hati, orang boleh rasakannya. Itu yang membuatkan segalanya berbaloi,” kata Encik Hisham.
Hipsterbakes
Alamat: 568 Upper East Coast Road, #01-12 The Daffodil, Singapura 466584Isnin hingga Jumaat, 10 pagi hingga 7 malam

