Dua beradik cilik asah kemahiran niaga ‘cornflakes’ madu
Dua beradik cilik asah kemahiran niaga ‘cornflakes’ madu
Belajar nilai usaha, kongsi rezeki sambil perkukuh ikatan keluarga melalui snek kegemaran ramai
Hubungan adik-beradik sering kali merupakan ikatan terkuat dalam keluarga.
Walaupun diselangi usikan nakal, di situlah juga mereka kembali mencari sokongan, kasih sayang dan kekuatan sejati.
Demikian gambaran dua beradik, Alya Inara Azhar, 12 tahun, dan adiknya Azra Alesha Azhar, 10 tahun.
Di dapur rumah mereka, kedua-dua murid sekolah rendah itu tekun menyiapkan botol kuih emping jagung atau cornflakes madu yang rangup.
Murid Sekolah Perempuan Haig itu mengendalikan perniagaan kecil, Honey Cornflakes SG, menjual snek cornflakes madu menerusi Instagram.
“Saya suka kacau bahan-bahan dan gaulkan cornflakes dengan madu. Selepas itu saya tampal pelekat pada botol,” cerita Azra.
Menurutnya, mereka membawakan kelainan pada resipi dengan meletakkan lebih banyak madu.
Dengan harga $19 sebotol, kuih mereka juga lebih besar daripada yang di pasaran, agar kenikmatan kuih klasik itu lebih dirasai.
Bagi si kakak, Alya, idea memulakan perniagaan kecil itu tercetus daripada keinginannya untuk mempelajari sesuatu yang tidak diajarkan di sekolah.
“Saya mahu belajar kemahiran berniaga kerana di sekolah kami tidak diajar tentang itu.
“Apabila sudah dewasa nanti, kami perlu tahu cara mengurus wang, membayar rumah dan keperluan lain,” jelasnya penuh visi.
Pada awalnya, Alya terfikir untuk menjual penanda buku.
Namun, kerana bimbang sambutan kurang memberangsangkan, dia mencari idea lain yang lebih menarik.
Akhirnya, dia dan adiknya memilih untuk menjual snek kegemaran keluarga, cornflakes madu, yang sering dibuat oleh ibu mereka, Cik Syra Gulam, pada setiap musim perayaan.
“Seorang kawan pernah beli satu botol cornflakes madu dan berkongsi dengan seluruh kelas.
“Mereka kata rasanya manis dan rangup. Selepas itu, ramai pula yang mahu membeli,” cerita Alya terharu.
Selain menyimpan sebahagian keuntungan, kedua-dua beradik itu turut belajar erti berkongsi rezeki.
“Saya sendiri pernah dermakan $50 untuk membantu membersihkan laut daripada pencemaran plastik demi menyelamatkan haiwan laut,” kata Alya.
Bagi Azra pula, beliau menderma $30 untuk menyelamatkan koala daripada kepupusan.
Di samping membantu isu sosial dan alam sekitar, menurut mereka, proses membungkus dan menyiapkan tempahan juga mengajar mereka erti kesabaran, usaha dan rasa syukur.
Ibu mereka menjadi sumber inspirasi.
“Sebelum ini, mereka tahu mereka perlukan $20 untuk membeli sesuatu.
“Tetapi mereka tidak tahu usaha di sebalik mendapatkan wang itu.
“Saya mahu mereka belajar bahawa untuk mendapatkan sesuatu, kita perlu bekerja keras,” kata Cik Syra, 36 tahun.
Beliau sendiri menguruskan perniagaan seni inai bersama kakaknya di bawah jenama SyraSkins, yang diasaskan pada 2009.
“Usia saya dan kakak berbeza 17 tahun, tetapi kami saling melengkapi.
“Saya lebih fokus pada seni inai, manakala kakak saya menguruskan bahagian perniagaan,” katanya.
Menurut Cik Syra, minat terhadap seni inai sudah wujud sejak kecil.
Kini, SyraSkins dikenali dengan rekaan inai yang halus, penggunaan inai semula jadi, serta usaha mendidik masyarakat mengenai seni tersebut.
Lebih daripada sekadar perniagaan, Cik Syra berkata hubungan adik-beradik adalah perkara paling penting yang ingin beliau tanamkan dalam diri anak-anaknya.
“Sebagai ibu tunggal, saya percaya hubungan adik-beradik adalah kekuatan terbesar mereka.
“Saya selalu beritahu mereka, bila ada adik-beradik, sebenarnya ada seseorang yang akan sentiasa berada di sisi mereka,” katanya.
Menurutnya, walaupun adik-beradik kadangkala bergaduh, hubungan itu tetap istimewa.
“Apabila ada adik-beradik, rasanya seperti boleh menentang dunia bersama,” tambahnya.
Setakat ini, Alya dan Azra menyediakan sekitar 100 botol cornflakes madu sempena Hari Raya.
Walaupun masih kecil, ia menjadi motivasi yang cukup bermakna bagi mereka, bukan sahaja dalam dunia perniagaan, malah sebagai dua beradik yang sentiasa menyokong satu sama lain dan kekal kuat dalam menghadapi apa sahaja, asalkan sahaja mereka bersama.
Tempahan kuih cornflakes madu mereka dibuat melalui pautan, honeycornflakes.sg di Instagram.
Honey Cornflakes SG
Alamat: 970 Geylang Road, Tristar Complex, #01-08, Singapura 423492Isnin hingga Jumaat, 12 petang hingga 10 malam

