Pencuci Mulut & Pastri
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Paparch bawa cheesecake tular dan ‘leleh’ ke Arab Street

Nov 21, 2025 | 2:58 PM
Pengasas Paparch, Encik Saifullah Aziz dan Encik Faizul Helmi Hasnol, di kedai mereka, Paparch, yang baru dibuka di Arab Street, bersama lima variasi cheesecake atau kek keju yang ditawarkan.
Pengasas Paparch, Encik Saifullah Aziz dan Encik Faizul Helmi Hasnol, di kedai mereka, Paparch, yang baru dibuka di Arab Street, bersama lima variasi cheesecake atau kek keju yang ditawarkan. - Foto BH oleh KHALID BABA

Permukaannya perang keemasan, sedikit hangus di tepi, tetapi sebaik sudu itu memotong lapisan cheesecake atau kek keju Paparch, bahagian dalamnya perlahan-lahan meleleh, tanpa perlu dipanaskan.

Jenama tempatan Paparch terkenal dengan Basque Burnt Cheesecake yang kaya dengan rasa keju, tidak terlalu manis, dan memiliki keseimbangan tekstur yang ketara.

Basque burnt cheesecake, ialah kek keju dari Sepanyol yang dibakar pada suhu tinggi sehingga permukaannya hangus secara semula jadi, tetapi bahagian dalam kekal lembut, cair dan tidak keterlaluan dari segi rasa manis.

“Kalau terlalu manis, rasa keju akan hilang. Kita pastikan teksturnya molten (meleleh) tetapi tidak terlalu cair,” jelas pengasas Paparch, Encik Saifullah Aziz, 39 tahun.

Setiap potongan cheesecake berbentuk empat segi, termasuk Original, $8.80, serta Chocolate Praline, Pistachio Berry dan Miso Caramel, $9.80, mengekalkan ciri khas Paparch iaitu tekstur leleh dan permukaan caramel brown yang cantik.

Namun di sebalik rupa cheesecake yang premium itu, perjalanan Paparch bermula secara sederhana pada 2020, sebagai sebuah perniagaan berasaskan rumah (HBB).

Pada ketika ramai masih menyesuaikan diri dengan kehidupan pandemik, Encik Saifullah dan rakan pengasas, Encik Faizul Helmi Hasnol, 30 tahun, bereksperimen di dapur kecil mereka.

“Saiful ini peminat cheesecake dan pencuci mulut, saya pun sama,” kata Encik Faizul, sebahagian daripada pasukan pengasas yang menguruskan branding, pemasaran dan rekaan.

“Beliau nampak jurang dalam pasaran pencuci mulut. Jadi kami mula kongsi dengan keluarga dan kawan-kawan. Bila maklum balas positif, kami yakin masa untuk mula,” tambahnya.

“Kami sangat tekankan konsistensi. Sebab itu kami kekalkan perisa Original agak lama sebelum keluarkan varian lain,” kata Encik Faizul lagi.

Encik Saifullah, yang berpengalaman hampir 10 tahun sebagai cef makanan Barat dan Eropah, tidak pernah benar-benar fokus pada pencuci mulut sebelum Paparch.

Namun proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama tiga hingga empat bulan mengubah segalanya.

“Kami mulakan sebagai HBB sahaja. Tidak ada niat buka kedai atau dapur. Tapi bila sambutan semakin meningkat, saya terpaksa berhenti kerja untuk fokus sepenuh masa,” jelas Encik Saifullah.

Detik tular Paparch bermula tanpa dirancang.

“Kami tak nak pembaziran, jadi kami jual lebihan cheesecake di Instagram Stories,” cerita Saifullah.

Pada awalnya, mereka hanya membuat pengumuman ringkas: “We have 200 cakes today. (Kami ada 200 kek hari ini).”

Hasilnya mengejutkan, sekitar 1,296 komen “I want (Saya mahu).” dalam masa singkat.

Mereka melaksanakan sistem ‘fastest fingers first’, yang bermaksud pelanggan perlu menjadi antara yang paling cepat meninggalkan komen untuk mendapatkan kek sebelum ia habis.

Sistem tersebut membuktikan permintaan sangat luar biasa sebelum perniagaan itu mempunyai laman web sendiri.

Daripada hanya menjual lebihan, Encik Saifullah meningkatkan pengeluaran kek, menggunakan dua ketuhar.

“Saya mula jam 7 pagi sampai 8 malam. Pernah dalam seminggu saya buat 1,000 cheesecake,” jelasnya.

Ia menjadi titik perubahan yang membuatkan beliau meletak jawatan dan memberi fokus sepenuhnya.

Menyedari keperluan kapasiti lebih besar, mereka membuka pusat produksi untuk operasi lebih teratur.

“Pandemik memang rezeki dan nasib kami. Kami pastikan gambar cantik, engagement (interaksi) dengan pembeli kuat,” tambah Encik Faizul.

Walaupun Paparch bermula sebagai jenama digital, mereka turut menyertai pelbagai acara untuk mencapai pasaran lebih luas.

“Kami pernah sertai Boutique Fair untuk capai pasaran bukan Melayu dan pelancong. Sebelum itu, kami juga sertai Celebfest dan Twilight Fest,” kata Encik Faizul.

Populariti Paparch turut melangkaui Singapura. Pada 2022 dan 2023, mereka mengadakan dua pop-up atau gerai sementara di Thailand.

Pop up kedua berlangsung sebulan kerana permintaan luar biasa.

“Stok kek kami habis hampir setiap hari,” kata Encik Saifullah yang berulang-alik dari Singapura untuk memastikan kualiti pembuatan kek di sana.

Malah, selepas tular di aplikasi media sosial China, ramai pelancong dari China dan Hong Kong ingin mencuba cheesecake yang menjadi bualan.

Paparch sedar pengalaman membeli dan visual menjadi semakin penting.

Justeru, kedai fizikal pertama Paparch dibuka di Arab Street, direka minimalis supaya tumpuan hanya pada cheesecake.

“Bila orang masuk, kami mahu mereka fokus pada visual kek,” kata Encik Faizul yang membuka Paparch pada 30 Oktober.

Sebagai sebahagian daripada pembukaan itu, mereka memperkenalkan perisa Ondeh-Ondeh, satu sentuhan tempatan yang mendapat sambutan hangat.

Walaupun bercita-cita untuk berkembang di Asia Tenggara, kedua-duanya berhati-hati kerana mereka masih sangat terlibat dalam operasi, termasuk proses membakar.

“Jangan putus asa. Konsistensi sangat penting, apa yang keluar mesti yang terbaik,” pesan Encik Faizul.

“Kalau percaya pada produk, teruskan walaupun trend sudah habis. Produk yang bagus tetap akan menyerlah dengan sendirinya,” nasihat Encik Saifullah buat HBB yang bermula sepertinya.

Kini, gerai Paparch selalu dilihat mempunyai ramai pelanggan dari pelbagai latar belakang dan negara yang beratur untuk mendapatkan kek keju Paparch yang klasik dan bermutu tinggi.

Paparch
Alamat:  48 Arab Street, #01-03, Singapura 199745
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 12 petang sehingga habis dijual

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg