Pada kemuncaknya, nama Bakes by NY cukup dikenali dalam kalangan pelanggan Melayu, khususnya penggemar bomboloni iaitu donat Italy berbentuk bulat, gebu, lembut dan berinti.

Encik Anwar masukkan inti Nutella ke dalam bobolini sejenis donut yang gebu. Perisa Nutella merupakan antara pilihan yang laris dijual.
Encik Anwar masukkan inti Nutella ke dalam bobolini sejenis donut yang gebu. Perisa Nutella merupakan antara pilihan yang laris dijual. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Di kedainya di Blok 201E Tampines Street 23, pelanggan sanggup beratur panjang untuk mendapatkan bomboloni dengan inti seperti Nutella dan Chocolate Fudge.

Malah, pada hari pertama kedai itu dibuka pada 2019, pelanggan sudah menunggu sebelum pintunya dibuka.

“Bidainya baru separuh buka, tiba-tiba ada makcik ketuk dan tanya kenapa tak nak buka. Saya cakap kita buka pukul 10 pagi. Bila buka, orang dah beratur,” kenang pengasasnya, Encik Muhammad Khairul Anwar, 41 tahun.

Pada waktu paling sibuk, hingga 30 adunan disiapkan sehari, dengan setiap adunan menghasilkan sekitar 30 bomboloni, atau kira-kira 900 biji sehari.

Bombolini yang padat diisi dengan Nutella.
Bombolini yang padat diisi dengan Nutella. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Namun, di sebalik barisan panjang dan populariti jenama itu, ada cabaran yang tidak dilihat pelanggan.

Daripada kedai pertamanya di CentraPod, Geylang, Bakes by NY berkembang ke East Village, Yishun dan Tampines, selain mempunyai dapur lebih besar di Simpang Bedok serta cawangan di Sultan Gate.

Namun, Encik Khairul mengakui perniagaan berkembang terlalu pantas, sedangkan mereka belum mempunyai pengalaman mengurus operasi sebesar itu.

“Kami tidak pernah urus perniagaan bila ia dah berkembang macam itu. Banyak benda kami terlepas pandang, seperti kos dan pekerja,” katanya.

Kos sewa, gaji pekerja, bahan mentah dan utiliti terus meningkat sehingga, menurutnya, perbelanjaan boleh melebihi hasil.

“Bila tengok balik, mungkin kami berkembang terlalu cepat. Sepatutnya slow and steady,” katanya semasa ditemui Berita Harian.

Akhirnya, satu demi satu kedainya ditutup pada 2023, dengan penutupan Tampines paling berat dirasakan.

“Kedai itu banyak kenangan. Saya dengan isteri bermula berdua saja. Kami nak buat renovasi pun dulu duit tak cukup. Di situlah kita pelan-pelan bina nama,” katanya.

Perjalanan mereka bermula pada 2016, selepas Encik Khairul dibebaskan daripada penjara di bawah Skim Tahanan di Rumah. Beliau dijatuhi hukuman dua tahun lapan bulan atas kesalahan menyeludup rokok dari Indonesia.

Ketika itu, beliau bekerja sebagai penghantar dengan pendapatan sekitar $1,000 sebulan, sementara isterinya, Cik Nazira Yunos, 36 tahun, yang pernah bekerja sebagai jururawat, mengikuti kelas membuat kek.

Sekitar 2018, pasangan itu melihat populariti bomboloni di Malaysia lalu memandu ke Kuala Lumpur untuk mempelajari cara membuatnya sebelum menyempurnakan resipi mereka di Singapura.

Kini, selepas lebih dua tahun tanpa kedai fizikal, bomboloni itu kembali menerusi jenama Ninetynyne, dengan TikTok Live menjadi ‘kedai’ baharu pasangan itu sejak Disember 2025.

Pada mulanya kekok bersiaran di hadapan telefon, Encik Khairul terkejut apabila pelanggan lama mula menyapa.

“Ramai kata, ‘Eh, you are back, you are back.’ Rupanya pelanggan semua dekat sini. Ada pelanggan dulu belum kahwin, sekarang dah ada anak. Mereka masih cari bomboloni kami sampai sekarang.”

Malah, menerusi ulasan di TikTok, ada pelanggan yang memberitahu rasa bomboloni mereka masih sama seperti dahulu.

Kini, rutin pasangan itu bermula seawal 5 hingga 6 pagi kerana setiap adunan memerlukan sekitar dua hingga tiga jam untuk disiapkan.

Bomboloni perlu melalui beberapa proses termasuk merehatkan doh dalam peti sejuk, membiarkannya doh naik sebelum digoreng, disejukkan dan diisi.

Antara perisa yang ditawarkan ialah Nutella, Chocolate Fudge, Cream Cheese, Biscoff dan Oreo, dengan Nutella dan Chocolate Fudge kekal paling laris.

TikTok turut menguruskan penghantaran pesanan, berbanding dahulu apabila pasangan itu perlu menguruskannya sendiri.

Tanpa sewa dan kos mengendalikan kedai, Encik Khairul berkata pendapatan daripada TikTok Live boleh dibandingkan dengan salah satu cawangan fizikalnya dahulu.

“Dari segi kewangan, ia lebih masuk akal, tetapi dari segi kepuasan, saya masih rasa nak ada kedai fizikal,” katanya yang masih merindui interaksi bersemuka dengan pelanggan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti