Topik diikuti
Pergi ke BHku2 sahabat berlainan bangsa buka gerai sarapan Melayu Mee+
2 sahabat berlainan bangsa buka gerai sarapan Melayu Mee+
Tawar hidangan tradisional Melayu dengan harga bawah $4.50
2 sahabat berlainan bangsa buka gerai sarapan Melayu Mee+
Di sebalik deretan kedai yang sunyi di Tampines Street 43, gerai Mee+ menjadi perhatian ramai penduduk apabila pelanggan mula beratur seawal 7 pagi bagi mendapatkan hidangan sarapan Melayu seperti mi rebus, lontong dan nasi lemak pada harga bawah $4.50.
Gerai Mee+ itu diusahakan dua sahabat berlainan bangsa, Encik Adi Rusydi Abdul Rahman, 36 tahun, dan Encik Arrell Tan, 26 tahun, yang berkongsi minat sama terhadap makanan tradisional Melayu.
“Kali pertama saya mengenalinya (Encik Arrell), saya terkejut kerana beliau menggemari hidangan Melayu seperti siput sedut.
“Jarang (saya temui) orang Cina makan hidangan seperti itu.
“Beliau cerita arwah datuknya memang suka makan makanan Melayu dan selalu membawanya makan sejak kecil.
“Sejak itu, kami sering ke Hjh Maimunah untuk menikmatinya bersama.
“Jadi Mee+ merupakan idea kami berdua untuk menjual hidangan asli dan klasik,” jelas Encik Rusydi, atau lebih dikenali sebagai Encik Sydi, semasa diwawancara Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Mereka diperkenalkan antara teman.
Encik Arrell berkata minatnya terhadap masakan Melayu banyak dipengaruhi arwah datuknya yang membesarkannya dengan makanan kampung Melayu.
“Makanan yang kami jual di Mee+ ini memang jenis sarapan yang biasanya dimakan.
“Bila saya datang ke rumah Sydi pula, ibunya masak sambal goreng dan lauk Melayu lain. Saya memang akan habiskan satu pinggan.
“Dari situ kami terfikir, kenapa tidak buka sesuatu bersama,” katanya.
Sebelum ini, Encik Sydi membantu ibunya menjual nasi padang sebelum perniagaan keluarga itu terpaksa ditutup akibat pandemik Covid-19.
Keluarganya kemudian meneruskan perniagaan pes rempah, dikenali sebagai Rempah Mak Long, yang terkenal di media sosial.
“Mee+ juga menjadi sebahagian daripada impian ibu saya yang mahu melihat keluarga kembali berniaga makanan.
“Ibu saya memang ada impian mahu buka gerai makanan sendiri semula. Jadi sebahagian daripada Mee+ ini untuk beliau juga.
“Ibu saya masih datang buat ‘quality check’ (semakan mutu), masuk ke dapur dan rasa makanan jika ada apa-apa yang kurang,” ujar Encik Sydi.
Hidangan yang dijual di Mee+ ialah mi soto, mi rebus, soto ayam dan lontong yang dijual pada harga $3.80, manakala nasi lemak dijual pada harga $4.50.
Lontong pula hanya dijual pada hujung minggu dan menjadi antara hidangan paling mendapat sambutan sehingga pelanggan mula beratur panjang seawal 7 pagi, walaupun gerai dibuka pada 8 pagi.
Walaupun dijual pada harga dimampui, setiap hidangan disediakan dalam saiz besar dan mengenyangkan.
Encik Sydi turut menekankan setiap hidangan disediakan menggunakan resipi turun-temurun tanpa penggunaan serbuk atau pes segera.
“Kami mahu mengekalkan rasa asli. Semuanya dibuat daripada asas.
“Kami masih menggunakan keledek dalam mi rebus kami kerana rasanya lebih sedap dan kuah lebih pekat.
“Kalau guna tepung atau kanji, rasanya lain dan cepat cair.
“Sambal pula mengambil masa empat jam untuk dimasak.
“Lauk Melayu ini memang rumit kerana banyak proses, perlu kupas, kisar, tumis dan potong satu per satu (bahan-bahan),” jelas Encik Sydi.
Encik Arrell mengakui pengalaman membuka gerai itu membuatkannya lebih menghargai usaha di sebalik masakan Melayu tradisional.
“Saya tidak sangka sambal boleh mengambil masa empat hingga lima jam untuk disiapkan.
“Saya menjadi lebih menghormati cara masakan Melayu disediakan kerana semuanya perlukan kesabaran,” katanya.
Walaupun kos bahan mentah semakin meningkat dan ia merupakan antara cabaran utama mereka, kedua-dua sahabat itu tetap berusaha mengekalkan harga murah demi membantu penduduk sekitar, terutama warga emas.
“Kami memang ‘mati-mati’ tidak mahu naikkan harga walaupun barang semua naik.
“Kawasan ini ramai warga emas, jadi kami mahu mereka masih boleh makan sedap tanpa terbeban.
“Margin keuntungan memang kecil, tetapi kami percaya kalau jaga rasa dan mutu, pelanggan akan datang balik,” kata Encik Sydi.
Menurut Encik Arrell, walaupun beliau pernah bekerja sebagai kru kabin dan terdedah kepada pelbagai jenis makanan antarabangsa, beliau tetap percaya hidangan klasik tempatan akan terus mendapat tempat di hati masyarakat.
“Saya pernah lihat macam-macam trend makanan di luar negara, tetapi akhirnya orang tetap akan kembali cari makanan tradisional mereka sendiri.
“Trend makanan mungkin sementara, tetapi makanan seperti mi rebus, lontong dan nasi lemak ini akan sentiasa relevan.
“Sebab itu kami mahu kekalkan resipi asli dan mutu rasa supaya ia boleh bertahan untuk jangka masa panjang,” katanya.
Selain dalam proses mendapatkan pensijilan halal, pasangan sahabat itu juga memasang impian mengembangkan Mee+ ke kawasan kejiranan lain di Singapura.
“Memang dalam rancangan kami untuk berkembang besar dan mungkin jadikan Mee+ sebagai francais satu hari nanti. Tetapi kami tidak mahu masuk pusat beli-belah.
“Kami mahu fokus kawasan perumahan sebab makanan ini makanan rakyat, makanan sarapan harian masyarakat. Yang penting kena jaga rasa dan standard sebab itu yang akan buat pelanggan datang semula,” kata Encik Sydi.
Gerai Mee+ juga menjadi lambang perpaduan budaya melalui makanan Melayu yang menghubungkan pelbagai pelanggan.
“Saya Melayu dan beliau Cina. Disebabkan itu, di dalam kedai, kami memainkan lagu P. Ramlee dan lagu Cina lama.
“Mee+ ini tentang kebersamaan dan bagaimana makanan boleh satukan semua orang,” katanya.
“
“Makanan yang kami jual di Mee+ ini memang jenis sarapan yang biasanya dimakan... Dari situ kami terfikir, kenapa tidak buka sesuatu bersama.”“
“Kami mahu mengekalkan rasa asli. Semuanya dibuat daripada asas. Lauk Melayu ini memang rumit kerana banyak proses, perlu kupas, kisar, tumis dan potong satu per satu (bahan-bahan).Mee+
Alamat: Blok 477, Tampines Street 43, #01-154, Singapura 520477Selesa hingga Sabtu, 8 pagi hingga 3 petang dan Ahad 8 pagi hingga 12 tengah hari
