Rangup sehingga menghasilkan bunyi ‘krak’ pada gigitan pertama, namun bahagian dalamannya kekal lembap dan empuk dengan inti daging lembu berempah yang harum.

Itulah tarikan roti Cina halal oleh Ameen Roti, yang mencuri perhatian pengunjung di Bazar Ramadan Kandahar baru-baru ini.

Selepas mencetuskan fenomena dengan barisan pelanggan yang sanggup beratur panjang di bazar itu, Ameen Roti kini membuka cawangan tetap pertamanya di Haji Lane bagi memperkenalkan roti Cina halal itu kepada lebih ramai pelanggan tempatan dan pelancong.

Terletak di Haji Lane, kedai yang boleh memuatkan sekitar 20 hingga 25 pelanggan itu mengambil alih bekas tapak, I Am Cafe, yang terkenal.

“Sambutan yang kami terima di Bazar Ramadan sangat baik. Ramai pelanggan memberitahu roti kami sangat rangup dan sedap.

“Maklum balas positif itulah yang memberi keyakinan kepada saya untuk mengembangkan perniagaan ini,” kata Pengasas Ameen Roti, Encik Harun Min, kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Walaupun kos sewa mencecah lebih $10,000 sebulan, beliau yakin lokasi strategik di tengah-tengah kawasan Haji Lane mampu membantu memperluaskan jenama tersebut.

Setiap keping roti digoreng di dalam kuali selama kira-kira tujuh minit pada setiap bahagian bagi mendapatkan tekstur garing di luar, namun kekal lembut, empuk dan lembap di dalam.
Setiap keping roti digoreng di dalam kuali selama kira-kira tujuh minit pada setiap bahagian bagi mendapatkan tekstur garing di luar, namun kekal lembut, empuk dan lembap di dalam. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sebelum ini, gerai mereka dikenali sebagai De Yuan Imperial Crispy Beef Roti di Bazar Ramadan Kandahar yang sering menarik perhatian pengunjung sehingga pelanggan sanggup beratur panjang walaupun ketika hujan.

Kini di cawangan Haji Lane, orang ramai bukan sahaja datang untuk menikmati roti tersebut malah turut berhenti menyaksikan sendiri proses penyediaannya yang dilakukan sepenuhnya hasil buatan tangan.

Menariknya, Encik Harun yang berasal dari Gansu, China, bukan daripada industri makanan dan minuman (F&B), sebaliknya pernah bertugas sebagai seorang guru.

Menurutnya, sebelum memulakan perniagaan, beliau meneliti peluang dan pasaran di Singapura, Malaysia serta Indonesia sebelum memilih Singapura sebagai tempat terbaik untuk memperkenalkan hidangan itu.

“Saya melihat persekitaran perniagaan di Singapura sangat baik dan selamat.

“Pada masa yang sama, saya dapati pilihan makanan Cina halal seperti ini masih belum banyak di sini. Sebab itulah saya memilih untuk memulakan perniagaan di Singapura,” ujarnya.

Setiap hari, beliau bersama pasukannya memulakan persiapan seawal 10 pagi selama kira-kira dua jam.

Mereka memotong bawang, memerap daging lembu serta ayam dengan adunan enam rempah – termasuk lada Sichuan yang memberikan sensasi pedas dan kebas pada lidah – selain menyediakan doh segar setiap hari.

“Bagi saya, roti yang baik bergantung kepada bahan-bahan bermutu seperti tepung gandum, minyak, daging yang diperap dengan sempurna serta bawang dan daun bawang.

“Setiap kumpulan roti mengambil masa sekitar 15 minit untuk disiapkan, manakala setiap keping roti digoreng di dalam kuali selama kira-kira tujuh minit pada setiap bahagian bagi mendapatkan tekstur yang garing di luar tetapi kekal lembap di dalam,” jelasnya.

Setiap keping ‘beef roti’ dijual pada $6 dan ‘chicken roti’ pada $5.50.
Setiap keping ‘beef roti’ dijual pada $6 dan ‘chicken roti’ pada $5.50. - Foto BH oleh KHALID BABA

Ameen Roti menampilkan roti daging lembu, $6 dan ayam, $5.50.

Bagi mereka yang belum pernah mencubanya, roti Cina atau Xiang Su Niu Rou Bing merupakan makanan jalanan tradisional masyarakat Islam Hui dari barat laut China.

Ia diperbuat daripada doh nipis yang diregang dan dilipat berulang kali seperti roti perata bagi menghasilkan lapisan berkerak sebelum diisi dengan daging cencang yang diperap seiring rempah, bawang dan daun bawang.

Apabila digoreng di dalam kuali, lapisan luarnya menjadi nipis, keemasan dan sangat rangup, manakala bahagian dalamnya kekal lembut, empuk dan lembap.

Menurut Encik Harun, makanan itu dipercayai mempunyai sejarah sejak zaman Dinasti Tang dan kini boleh ditemui di gerai makanan halal di bandar seperti Xi’an sebelum menjadi semakin popular di Malaysia dan negara Asia Tenggara.

Versi asal roti Cina itu hanya dimakan begitu tanpa minyak cili.

“Perkataan ‘Ameen’ sering diucapkan selepas kita berdoa. Ia membawa harapan agar segala doa dan kebaikan diterima Allah.

“Saya berharap perniagaan ini juga membawa manfaat kepada lebih ramai orang,” jelas Encik Harun atas pilihan nama Ameen Roti, selain nama barunya yang lebih mudah diingati.

Dengan pembukaan kedai tetap di Haji Lane serta cawangan keduanya di Century Square, Tampines, Encik Harun berharap lebih ramai pelanggan dapat mengenali hidangan tradisional masyarakat Islam China itu.

“Saya berharap Ameen Roti dapat menjadi jenama yang dikenali kerana khusus dalam roti Cina halal dan memperkenalkan makanan tradisional ini kepada lebih ramai orang di Singapura,” tambahnya.

Ameen Roti (Haji Lane)
Alamat: 674 North Bridge Road, Singapura 188804
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 12 petang hingga 10 malam

Get therelocation-icon