Kedai kopi lebih daripada sekadar tempat untuk mengisi perut.

Malah, ia menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat.

Di situlah ibu bapa membawa anak-anak bersarapan pada hujung minggu, warga emas menghabiskan masa beramah mesra selepas solat subuh, dan keluarga besar berkumpul menikmati makan malam.

Sebahagian kedai kopi di Singapura kini diurus oleh pengendali besar seperti Kopitiam, Food Republic dan sebagainya.

Walaupun pilihan makanan semakin pelbagai, pelanggan Islam masih sering berdepan dengan kekangan pilihan, kerana selalunya hanya terdapat satu atau dua gerai halal.

Malah ada kedai kopi yang langsung tidak mempunyai gerai halal.

Melihat keadaan itu, usahawan makanan dan minuman (F&B) Melayu tampil menghidupkan semula konsep kedai kopi milik masyarakat Melayu sendiri.

Bagi pemilik The Shakehouse dan Restoran Mas Ayu, Encik Suhari Mustaffa, usaha itu bermula daripada satu kenangan yang dekat padanya.

“Saya membesar dengan selalu mengunjungi kedai kopi Afghanistan di Tampines.

“Semua makanan di situ halal.

“Orang datang bukan semata-mata untuk makan, tetapi untuk berjumpa kawan, berinteraksi dan meluangkan masa bersama keluarga,” katanya.

Membuka Warung Samaarah bersama seorang lagi pemilik Restoran Mas Ayu, Encik Mohd Ismail Mohd Hussain, adalah salah satu rancangan mereka untuk terus berkembang.

Encik Mohd Ismail merupakan adik kepada pemilik asal Restoran Mas Ayu, Encik Abdul Kadir Mohd Hussain.

Restoran Mas Ayu cukup dikenali dalam kalangan pelanggan setianya, khususnya mereka yang sudah mengikuti jenama itu sejak ia mula beroperasi di Siglap pada awal 1983.

Menurut beliau, sambutan di media sosial membuktikan masih ramai yang merindui suasana kedai kopi.

“Ramai tinggalkan komen mengatakan mereka rindu suasana kedai kopi Melayu sekitar 80-an dan 90-an.

“Saya sendiri tak sangka masih ramai yang menyimpan kenangan itu.

“Apabila baca komen-komen tersebut, saya rasa apa yang kami lakukan ini berlaku pada waktu yang tepat.”

Dijangka dibuka pada Julai ini, di 218 Bedok North Street 1, Warung Samaarah bakal menjadi sebuah kedai kopi halal yang menempatkan lapan gerai makanan di bawah satu bumbung.

Ruang itu sedang menjalani pengubahsuaian menyeluruh, selepas mengambil alih sebuah kedai kopi yang sebelum ini dikendalikan pengusaha lain.

Menurut Encik Suhari, Bedok dipilih kerana kawasan itu mempunyai ramai anggota masyarakat Melayu Islam, namun pilihan kedai kopi halal yang dikendalikan sepenuhnya oleh pemilik Muslim masih terhad.

“Di Bedok terdapat ramai penduduk Melayu, tetapi kebanyakan kedai kopi di kawasan Bedok North dikendalikan oleh pengusaha yang tidak menawarkan pilihan makanan halal.

“Tempat yang kita selalu berkumpul pula adalah di Simpang Bedok atau Bedok Corner.

“Jadi kami fikir, kenapa tidak wujudkan sebuah kedai kopi milik usahawan Muslim yang menjadi tempat masyarakat Melayu berkumpul semula?”

Encik Suhari menegaskan Warung Samaarah bukan hanya untuk masyarakat Melayu, malah untuk setiap lapisan masyarakat.

“Di kedai kopi lain, ada yang akan bertanya kalau makanan dijual halal atau tidak.

“Dengan sebuah kedai kopi milik Islam, pelanggan boleh makan dengan lebih tenang.

“Pada masa yang sama, kami mahu memberi peluang kepada jenama tempatan berkembang bersama kami,” ujarnya.

Setakat ini, sekitar 80 peratus ruang gerai telah diisi dan beliau masih mencari beberapa lagi penyewa bagi melengkapkan pilihan makanan seperti mi dan makanan laut, agar tawaran lebih pelbagai serta memenuhi selera penduduk setempat.

Menariknya, model perniagaan Warung Samaarah juga berbeza daripada kebanyakan pengendali kedai kopi lain.

Menurut Encik Suhari, beliau tidak mengenakan bayaran kepada penyewa berdasarkan hasil jualan mereka, yang biasa dilakukan oleh kedai kopi lain.

“Kalau mereka berjaya, itu rezeki mereka. Kalau mereka menghadapi kesukaran, saya akan cuba membantu.

“Saya mahu kami membina kejayaan bersama,” tambahnya.

Selain itu, Warung Samaarah turut menyediakan ruang solat, sesuatu yang jarang ditemui di kebanyakan kedai kopi, sebagai kemudahan kepada pelanggan.

“Saya harap konsep ini berjaya dan masyarakat menerimanya dengan baik,” jelasnya.

Pelanggan bakal menikmati pelbagai pilihan termasuk kedai nasi ayam terkenal, makanan Melayu, makanan Barat, makanan India dan makanan laut.

Inspirasi konsep kedai kopi

“Saya membesar dengan selalu mengunjungi kedai kopi Afghanistan di Tampines. Semua makanan di situ halal. Orang datang bukan semata-mata untuk makan, tetapi untuk berjumpa kawan, berinteraksi dan meluangkan masa bersama keluarga.”
Encik Suhari Mustaffa, Pengasas, Warung Samaarah.
Warung Samaarah (bakal dibuka akhir Julai)
Alamat: 218 Bedok North Street 1, Singapura 460218
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 6 pagi hingga 3 pagi

Get therelocation-icon