Bazar Ramadan Masjid Al-Islah tawar hidangan klasik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bazar Ramadan Masjid Al-Islah tawar hidangan klasik

Mar 6, 2026 | 2:27 PM

Bazar Ramadan Masjid Al-Islah tawar hidangan klasik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kaki Makan, bazar Ramadan, Masjid Al-Islah
Pemilik Dapur Affair, Cik Nani Shariff (tengah), dibantu oleh anaknya Encik Muhammad Indra Muhammad Shaiful, dan Cik Insyira Putri Muhammad Shaiful, di bazar Ramadan di Masjid Al-Islah di Punggol. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dalam kawasan Masjid Al-Islah di Punggol, terdapat bazar Ramadan kecil dengan sekitar 10 peniaga yang menarik kunjungan jemaah dan penduduk sekitar yang mencari hidangan untuk berbuka puasa.

Walaupun berskala kecil, suasananya terasa meriah dengan sentuhan kejiranan dan semangat gotong-royong.

Tanpa muzik latar, kemeriahan bazar itu datang daripada perbualan pelanggan, aroma makanan yang dimasak segar di lokasi, serta peniaga yang saling membantu satu sama lain.

Ramai peniaga di situ juga menampilkan pelbagai produk dan sajian unik.

Pemilik Balang Kepalang, Encik Andy Idris, berkata bazar di masjid mengingatkannya kepada suasana bazar lama ketika beliau membesar.

Menurut beliau, bazar Ramadan kini semakin berskala besar, tetapi bazar di masjid masih mengekalkan suasana asal yang lebih sederhana.

Di gerainya, beliau menawarkan pelbagai minuman air balang dan minuman ‘ice blended’ dengan perisa unik seperti Vanilla Blue, asam boi dan Extra Joss, minuman tenaga yang diolah menjadi minuman ais kisar.

Minuman tersebut dijual pada harga antara $4 dengan $5 untuk air balang biasa; manakala minuman ais kisar dijual sekitar $6.50 dan cawan besar satu liter pada harga $9.50.

Menurut Encik Andy, minuman Vanilla Blue paling popular dalam kalangan belia, manakala pelanggan lebih berusia sering memilih perisa asam boi.

“Kami boleh jual sekitar 200 hingga 250 cawan pada hari yang baik. Lepas tarawih pun masih ada pelanggan yang datang beli minuman,” katanya yang pernah menyertai bazar Kampong Gelam pada 2025.

Beliau berkata bazar di Masjid Al-Islah juga unik kerana peniaga masih boleh menunaikan ibadah.

“Saya sempat solat tarawih lapan rakaat, kemudian keluar sekejap untuk menjual kepada pelanggan. Itu yang indah berniaga di sini,” katanya.

Seorang lagi peniaga, pemilik Dapur Affair, Cik Nani Shariff, berkata bazar di masjid memberikan pengalaman berbeza berbanding bazar besar yang pernah disertainya sebelum ini.

“Saya pernah sertai bazar besar seperti Absolut Bazaar dan beberapa bazar lain, tetapi konsep di masjid ini sangat berbeza kerana ada sentuhan masyarakat,” katanya.

Menurutnya, ramai pengunjung datang bukan sekadar membeli makanan, malah untuk berbuka puasa bersama atau menunaikan solat tarawih.

“Di sini kami rasa semangat kampung.

“Kami sama-sama bantu antara peniaga dengan pegawai masjid,” kata Cik Nani, yang mengendalikan perniagaan makanan dan menawarkan hidangan seperti tauhu bergedel, dendeng yang dibuat sendiri serta cheesy beef popia.

Cheesy beef popia ialah popia moden yang diisi dengan daging lembu cencang berempah dan keju cair, kemudian digulung dalam kulit popia dan digoreng hingga rangup, yang dijual pada harga $4 bagi dua keping.

Tauhu bergedelnya pula dijual pada harga $5 untuk lima biji; manakala dendeng yang diperap dan dipanggang sendiri dijual pada harga $6 bagi 100 gram.

“Dendeng ini saya buat dari awal, perap, gulung dan panggang secara langsung di gerai. Saya hanya buat sekitar lima kilogram sehari,” katanya.

Menurutnya, hidangan yang disediakan dengan sentuhannya sendiri menjadi tarikan kepada pelanggan yang mencari rasa lebih tulen.

“Kalau makanan yang sudah siap, orang boleh dapat di mana-mana. Tetapi saya lebih suka beri makanan daripada air tangan sendiri,” katanya.

Menurutnya, ada pelanggan yang sanggup datang dari jauh untuk membeli hidangannya.

“Ada pelanggan datang dari Sembawang hanya untuk cuba makanan saya. Saya pun terkejut,” katanya.

Di bazar tersebut, pelanggan juga boleh menemui pelbagai hidangan lain seperti jemput-jemput pisang, lauk-pauk Melayu, nasi Arab, nasi beriani, takoyaki serta sushi bake daripada peniaga lain.

Menurut Cik Nani, jika ada makanan yang tidak habis dijual, peniaga sering menginfakkannya kepada orang lain, termasuk pekerja migran yang turut datang ke masjid itu.

“Kalau tidak habis jual, biasanya kami akan infakkan.

“Kalau berniaga di tempat lain, kadang-kadang susah untuk solat tarawih. Tetapi di sini kita boleh berniaga dan pada masa yang sama, menjaga ibadah,” tambahnya.

Masjid Al Islah
Alamat: 30 Punggol Field, Singapura 828812
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 3 petang hingga 6.30 atau habis dijual

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg