Pilihan Kaki Makan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bored Tacos perkenal makanan Mexico kaya rempah, rasa

Pengasas Wooly’s Bagel kini buka kedai makanan Mexico untuk penuhi permintaan masyarakat
Nov 30, 2024 | 5:30 AM
Pengasas tempat Mexico terbaru, Bored Tacos, Encik Ahmad Adam, yang juga pengasas bagi sebuah kafe ‘bagel’ halal, Wooly’s Bagel.
Pengasas tempat Mexico terbaru, Bored Tacos, Encik Ahmad Adam, yang juga pengasas bagi sebuah kafe ‘bagel’ halal, Wooly’s Bagel. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Ada sesuatu yang menggiurkan tentang aroma taco yang baru dimasak.

Hidangan tradisional Mexico itu mempunyai aroma daging lembu berempah, limau dan ketumbar, serta cili kering ancho dan guajillo yang terkenal dari negara Latin Amerika tersebut.

Gandingan bahan-bahan yang memikat itu boleh didapati di kedai makanan Bored Tacos di Joo Chiat, yang diasaskan Encik Ahmad Adam, 33 tahun, yang ingin menampilkan makanan Mexico yang halal.

View post on Instagram
 

Encik Ahmad, juga pengasas Wooly’s Bagel, sebuah kafe bagel halal yang popular dengan tiga cawangan, kini mengambil langkah memperkenalkan masakan Mexico dengan Bored Tacos, yang dilancarkan pada September.

Suasana kafe yang terang dan meriah sepadan dengan hidangan Mexico yang kaya dengan rasa.

“Saya mendapat inspirasi untuk membuka konsep ini setelah melihat kekurangan makanan Mexico halal di Singapura.

“Idea di sebalik semua jenama saya adalah untuk mencipta makanan yang tidak mudah mendapat versi halalnya dan menjadikannya mudah diakses oleh masyarakat kami,” jelas Encik Ahmad.

Semangat untuk mengisi jurang dalam pasaran ini bermula pada 2018 dengan jenama Egg Stop, konsep sandwic Korea yang menarik tetapi hanya wujud buat seketika.

Ia diikuti oleh Wooly’s Bagel, yang membuka kedai pertamanya di Rangoon Road pada 2022, dan kemudian berkembang ke Joo Chiat dan Arab Street.

Dengan populariti jenama tersebut, Encik Ahmad mempunyai motivasi untuk bereksperimen lagi – dan ia membawa kepada penciptaan Bored Tacos.

“Kami memulakan dahulu dengan konsep ‘pop-up’ di kedai bagel kami untuk menguji penerimaan taco itu. Sambutan sangat menggalakkan.

“Jelas terdapat permintaan untuk makanan Mexico, jadi kami memutuskan untuk membuka kedai pertama kami di Joo Chiat,” katanya.

Encik Ahmad mengekalkan konsep kedainya yang kecil dan lebih menumpu kepada konsep makanan dibungkus.

“Kami ingin memperhalusi konsep ini sebelum ia dikembangkan. Jika semuanya berjalan lancar, kami mungkin akan membuka ruang yang lebih besar tahun depan (2025), sebaik-baiknya di kawasan Arab Street yang kami sudah biasa,” tambahnya.

Walaupun Bored Tacos bermula secara kecil-kecilan, menu mereka menampilkan pelbagai hidangan Mexico klasik, seperti Birria Beef Tacos, Quesadillas, dan Burrito Bowls.

Hidangan itu diberi sentuhan unik untuk memenuhi selera tempatan tanpa mengubah resipi itu terlalu jauh daripada masakan asli Mexico.

“Kami tidak mahu mengikut 100 peratus resipi Mexico asli. Di Singapura, kami perlu menyesuaikannya sedikit kepada cita rasa masyarakat tempatan.

“Proses penye­lidikan dan pengembangan (R&D) kami mengambil kira-kira lima hingga enam bulan,” ujarnya.

Ini dilakukan berdasarkan maklum balas pelanggan semasa gerai ‘pop up’ mereka.

“Kami membuat beberapa hidangan lebih pedas dan memperkenalkan salsa buatan kami sendiri untuk pelanggan menambahnya sendiri supaya ia boleh dinikmati mengikut cita rasa mereka,” kata Encik Ahmad lagi.

Hidangan Birria Beef, menampilkan daging lembu lembut yang direbus perlahan dengan campuran rempah dan herba termasuk cili kering dari Mexico seperti ancho dan guajillo.

“Rempah-rempah itulah yang menjadikannya asli. Selain itu, kami perlahan-lahan memasak daging lembu selama enam hingga lapan jam. Persiapan ini akan dibuat malam sebelumnya.

“Selain itu, aroma rempah cili, ketumbar, dan limau membangkitkan rasa yang tidak boleh dilupakan,” tambah Encik Ahmad.

Bored Tacos beroperasi sebagai konsep makanan dibungkus untuk dibawa pulang, keputusan strategik yang dibuat olehnya berdasarkan pengalamannya dengan Wooly’s Bagel.

“Kami mahu memberi tumpuan kepada usaha membolehkan orang ramai untuk ‘grab and go’ terutamanya di kawasan sibuk seperti Joo Chiat,” katanya.

“Sekiranya konsep itu terbukti berjaya, kami akan mempertimbangkan kedai utama yang lebih besar dengan ruang tempat makan.”

Namun, kedai itu kini mempunyai beberapa meja tinggi untuk pelanggan menikmati hidangan Mexico di situ.

Pemilihan lokasi juga dipilih secara teliti. Joo Chiat, kawasan yang kaya dengan warisan dan mempunyai masyarakat yang rapat, sememangnya sesuai untuk usaha baru Encik Ahmad.

“Apabila kami membuka Wooly’s Bagel di sini, kami disambut seperti keluarga. Masyarakat di Joo Chiat menyebarkan berita itu, dan kami amat tersentuh. Itulah sebabnya kami memilih untuk membuka Bored Tacos di sini juga.”

Bagi Encik Ahmad, daya tarikan masakan Mexico terletak pada kesederhanaan dan rasa yang dihasilkan daripada masakan secara perlahan dan penggunaan bahan-bahan bermutu.

“Elemen penting yang membuat makanan Mexico itu baik adalah rempahnya dan cara anda merebus daging selama berjam-jam sehingga ia lembut,” jelasnya.

“Untuk taco kami, kami menggunakan tortilla (roti leper) jagung, yang memberikan tekstur dan rasa yang unik.”

Menu ini menampilkan masakan Mexico klasik seperti Birria Beef Quesadilla ($14), dengan daging lembu lembut yang direndam dalam consommé dan keju cair.

Consommé ialah sup yang kaya dengan rasa daging lembu dengan pelbagai rempah.

Grilled Cheese Birria Beef ($13.50), menggabungkan keju panggang gaya New York dengan sentuhan Mexico.

Selain itu, Bored Tacos telah memperkenalkan hidangan seperti Cajun Chicken Bowl ($9.90) dan Lamb Burrito Bowl ($10.90) iaitu daging bersama nasi dan sayuran.

Walaupun baru dilancarkan beberapa bulan lalu, Bored Tacos telah mempunyai ramai pengikut, sebahagian besarnya melalui saranan oleh pelanggan.

“Kami tidak banyak melakukan pemasaran,” akuinya.

“Saya lebih suka membiarkan pelanggan menemui kami secara organik. Jika mereka suka, mereka akan kembali dan sebarkannya kepada rakan atau keluarga mereka.

“Saya tidak mahu mencipta trend yang besar kerana ia akan meletakkan jangkaan terlalu tinggi dari awal,” katanya lagi.

Memandang ke hadapan, Encik Ahmad berharap untuk membuka sehingga 10 cawangan Bored Tacos di seluruh Singapura.

“Kami menyasarkan untuk berkembang sebanyak mungkin, tetapi kami tahu ia terhad di Singapura,” katanya.

“Jika pasaran bagus, kami mungkin berkembang ke Malaysia dan Indonesia. Kami mahu mencipta konsep makanan segera seperti jenama Guzman Y Gomez, tetapi khusus untuk masyarakat Islam.”

Harga: Garlic Prawn Tacos ($15 untuk dua keping taco), Birria Beef Burrito Bowl ($10.90), Cajun Chicken Quesadilla ($12 untuk tiga keping), Birria Beef Grilled Cheese ($13.50) dan Birria Beef Taco ($14.50 untuk dua keping)

Bored Taco’s
Alamat: 315 Joo Chiat Road, #01-01, Singapura 427566
Waktu Operasi:
  • Isnin hingga Ahad, 11 pagi hingga 8 malam

Get therelocation-icon
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg